Cara masak makanan bukan semuanya memerlukan minyak masak sepenuhnya. Dengan keadaan kenaikan harga minyak masak, kita perlu kreatif dalam menyediakan hidangan makanan untuk seisi keluarga.
Ayam mahal, minyak mahal, maka kita makan kentang bakar sahajalah. Kita guna air-fryer atau oven untuk buat hidangan ini. Mudah, tapi anak-anak pasti suka. Sesuai buat kudapan.
Marilah kita cuba resipi sihat yang dikongsikan oleh Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan
BAHAN-BAHAN: (3-4 orang makan)
½ kg kentang kecil
1 sudu besar empingan cili
1 sudu besar serbuk lada hitam
1 sudu kecil daun parsli kering
1 sudu kecil daun basil kering
3 sudu besar minyak masak
2 sudu serbuk keju parmesan
Garam secukup rasa
CARA MEMBUAT:
2. Agar cepat empuk, potong kentang kepada 2 atau 4 bahagian, basuh dan rebus. Terpulang pada kalian nak kupas kulitnya atau tidak, tapi pada saya kulit itu yang akan buat sedap nanti.
3. Setelah kentang empuk, tos kentang, dan masukkan dalam mangkuk. Taburkan rempah ratus kita tadi serta minyak masak ke atas kentang. Saya gunakan minyak rendaman tomato (masakan sebelum ini).
4. Minyak rendaman tomato bakar itu akan menyedapkan lagi kentang kita ini.
5. Susun kentang, kulit di bahagian bawah. Jangan letak banyak sangat nanti tak garing luaran kentang itu.
6 Set suhu sekitar 120-150°C dan masa 15-20 minit. Sejujurnya, hasil gorengan air fry tak sesedap deep fry, tapi apa boleh buat, keadaan memaksa. Kena jimat minyak masak.
7.Ini hasil selepas 20 minit. Belum cukup garing. Kita terbalikkan kentang ini. Nak kulit dia pula garing. Biar luarnya rangup dan berempah, dan dalamnya empuk-empuk manis.
8. Kali ini kita set 200°C untuk 10 minit. Jika tak ada air-fryer atau oven, boleh goreng tohor (pan fry) guna kuali leper. Cuma kena rajin balik-balik kentang agar tak rentung.
9. Inilah hasilnya. Nampak menyelerakan. Sudah boleh dihidangkan tapi saya terbalikkan semula, dan tambah lagi 5-10 minit untuk dapatkan kerangupan yang saya mahukan.
10. Letak atas pinggan, tabur keju parmesan sikit, hias dengan tomato ceri, dan hidang dengan mayonis atau sos kegemaran kalian. Gurih! Pedas, masin, manis dan berlemak.
Sumber kredit: Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.