Mungkin anda tidak percaya jika ada yang memasang impian untuk ke Kota London dengan menaiki motosikal. Namun, pasangan suami isteri ini berjaya membuktikan bahawa tiada yang mustahil dalam dunia ini apabila mereka berjaya menjelajah 23 negara hanya dengan menaiki sebuah motor ‘kapcai’.
Pasangan suami isteri, Mohd Alfishahrin Zakaria dan Diana Latief telah memulakan misi mereka ke Kota Londan pada 28 April yang lalu dan berakhir sekitar September lepas.
Pasangan ini telah menjelajah ke 23 buah negara dengan sebuah motosikal berkuasa 150cc demi mahu mengibar jalur gemilang di London pada 31 Ogos sempena Hari Kemerdekaan Malaysia demi mengingati kemerdekaan Malaysia diperoleh hasil pemeteraian perjanjian di kota raya tersebut.
Pasangan ini menjelajah melalui program inspirasi Anak Muda Bebas Dadah Persatuan Mencegah Dadah Malaysia Selangor. Mereka turut mendapat sokongan daripada beberapa syarikat permotoran antarabangsa seperti GIVI Malaysia, STT SPROCKET dan MYBIKERZ. Modal sendiri yang dikeluarkan untuk jelajah ini mencecah hampir RM40,000.
Jangan terkejut jika Hijabista katakan bahawa Mohd Alfishahrin Zakaria merupakan seorang bekas pekerja bank dan dia bersama isterinya, Diana Latief sanggup berhenti kerja semata-mata mahu melakukan misi menjelajah ini.
Tipulah kalau jelajah ini tiada cabarannya. Mereka terpaksa berdepan dengan ribut salji serta jalan yang licin kerana berais ketika melalui laluan Changla di Ladakh, India. Laluan Changla merupakan antara jalan paling berbahaya dan kedua tertinggi di dunia yang bersempadan dengan utama Jammu, India dengan ketinggian 5,391 meter.
Menurut Alfishahrin, dia terpaksa berhenti setiap tiga minit ketika melalui jalan tersebut kerana perlu mengelap salji tebal pada cermin depan topi keledar kerana ia mengganggu penglihatan.
Ia memang satu pengalaman yang tak dapat dilupakan dan paling mendebarkan sepanjang perjalanan 25,00 kilometer (km).
“Dalam hati hanya Tuhan yang tahu betapa risaunya saya dengan keselamatan kami berdua apabila tidak nampak jalan tetapi terpaksa melalui laluan off road (jalan tidak berturap), merentas sungai kecil, jalan licin berais dan dilitupi salji. Sebelah kanan kami pula ialah kawasan pergunungan atau lautan salji. Manakala sebelah kiri gaung yang tidak pasti berapa ke dalamnya,” ujarnya kepada Metro Ahad.
Tambahnya lagi, mereka terpaksa memulakan perjalanan pada tengah malam ketika berada di Jammu, Kashmir kerana laluan hanya dibuka pada waktu malam. Kawasan tersebut merupakan kawasan bergolak dan bahaya kerana banyak berlaku rusuhan di sana. Ketika itu, mereka sudah terkandas selama empat hari dan tidak boleh menunggu lebih lama lagi kerana tidak mahu membuang masa.
Alfishahrin bersyukur kerana isterinya sentiasa memberi semangat untuk meneruskan perjalanan. Tidak mungkin mereka akan berpatah balik. Sebaliknya perlu meredah apa sahaja cabaran yang mendatang.
Bercerita tentang jelajah mereka, Alfishahrin berkata kebanyakan perjalanan dilakukan pada waktu siang selama 10 hingga 11 jam, bergantung pada keadaan cuaca dan laluan yang dilalui.
Diari perjalanan mereka telah dimuatkan dalam laman sosial (FB) masing-masing, disertakan gambar menarik di setiap lokasi. Setiap status dan gambar yang diupload telah mendapat reaksi positif daripada para pengikut akaun. Para pengikut juga turut teruja dengan jelajah mereka itu.
Pasangan pengantin baru ini telah diijabkabulkan dalam satu majlis di Pejabat Agama Islam di Selangor pada Mac yang lalu. Mungkin jelajah ini nampak romantis pada pandangan mata orang luar. Namun, ia merupakan satu kebetulan sahaja kerana objektif asalnya adalah untuk mengaspirasikan anak muda bebas dadah serta sempena sambutan Hari Kebangsaan 2017.
Ayuh, Hijabista kongsikan momen-momen sepanjang jelajah mereka.
Sumber: Metro Ahad
Foto: FB Mohd Alfishahrin Zakaria & Diana Latief