Rekaan Fesyen Aidilfitri Terbaik Hasil Dari Pereka Jenama Termpatan Yang Harus Kamu Tahu!

Share

Walaupun Syawal tahun ini disambut dalam keadaan yang serba sederhana dan juga berbeza, namun ia tidak mengehadkan idea kreativiti pereka jenama tempatan untuk berkarya menghasilkan rekaan Aidilfitri yang begitu menarik, cukup untuk memeriahkan suasana Syawal kali ini.

Setiap pereka berlumba-lumba menghasilkan rekaan menarik yang setiap satunya mempunyai kelainan dari pelbagai sudut termasuklah siluet, warna, perincian dan juiga material. Kami bawakan kepada anda 5 barisan jenama tempatan yang menghasilkan rekaan menarik sempena Syawal tahun ini!

1. Alia Bastamam

                 

Sumber gambar: Instagram Alia Bastamam

Tidak pernah menghampakan dalam setiap rekaan yang dihasilkan, jenama Alia Bastamam tampil dengan rekaan yang sarat dengan teknik ‘drape’ sesuai untuk meraikan sisi anggun wanita. Setiap satu rekaannya memperhalusi elemen klasik dalam siluet moden serta dihiasi dengan perincian manik yang tidak keterlaluan. Dalam setiap rekaan lebaran, Alia Bastamam sentiasa meraikan rona warna yang sentimental serta seksi, sesuai dalam mengangkat ciri-ciri feminin si pemakai.

Apa yang menariknya, kali ini jenama ini tampil dengan rekaan Abaya yang memiliki fabrik jenis pleats yang tampak lebih elegan dan berbeza. Penggunaan material yang volumnya tidak terlalu berat benar-benar memberi keselesaan buat si pemakai.

Pilihan kami ialah rekaan bernama Afzan. Dihiasi indah dengan rona hijau emerald dan juga berkonsepkan one-piece dress, sangat sempurna buat si pemakai. Less is more!

2. Teh Firdaus

Sumber gambar: Teh Firdaus

Kali ini, Teh Firdaus menghasilkan rekaan yang serba sederhana! Sederhana dari sudut siluet dan potongan rekaan yang sesuai untuk digayakan biarpun hanya di rumah sahaja. Rasanya, jenama muda ini benar-benar memberi keselesaan dan kebebasan fesyen kepada kaum wanita dalam meraikan Syawal yang serba ringkas dek kerana Covid-19 yang melanda negara.

Jika diperhatikan satu-persatu halusan seni rekaannya untuk koleksi raya kali ini, ia seolah-olah seperti memandang wanita melayu terakhir yang klasik namun berada dalam dunia maju serba moden. Baju Kurung Moden, Kebaya, Kurung Pahang dan juga Abaya, semuanya seperti mengimbau kembali zaman nenek moyang kita namun diperhalusi dengan sentuhan moden hasil inspirasi si pereka. Warna-warnya juga sangat indah dan lembut, tidak terlalu berat untuk disarungkan.

Pilihan kami ialah kebaya hitam, Serena. Rekaanya sangat bersih, potongan sangat mudah difahami cuma permainannya pada fabric lace yang menampakkan lagi elemen mahal dalam rekaan ini!

3. Jovian Mandagie

Sumber gambar: Instagram Jovian Mandagie

Seperti mengimbau kembali abad ke-17 zaman English yang popular dengan fesyen ‘baroque’, pereka popular ini mengajak kita untuk selami unsur-unsur English dalam rekaannya sempena Syawal tahun ini. Menang dengan pilihan fabric yang menarik, tidak perlu disangkal lagi bahawa jenama Jovian Mandagie menghargai konsep kesederhanaan dalam setiap rekaanya. Sukar untuk membuat pilihan kerana kesemua rekaan jenama ini memiliki unsur menarik yang akan menjadikan si pemakai tampak mahal ketika meraikan Syawal tahun ini. Biarpun perincian butirannya tidaklah berat dan sarat dengan manik, namun corak fabriknya sudah memainkan peranan penting dalam menjadikan koleksi ini antara koleksi yang harus kamu cuba!

4. Carmelita

Sumber gambar: Instagram Carmelita

Sesuatu yang baru apabila keseluruhan penggayaan dihiasi dengan fabrik jenis pleats! Mudah digosok antara kunci dalam penghasilan rekaan milik jenama Carmelita ini. Bijak menggunakan kunci utamanya dalam memperkenalkan fabrik jenis pleats kepada sebuah baju kurung, jenama ini benar-benar memahami kehendak kaum wanita di luar sana yang inginkan rekaan yang menawan, mudah dan ringkas! Hadir dalam dua rekaan berbeza, Mahalia serta Malika, kedua-duanya memiliki ciri-ciri unik tersendiri.

Saat pelakon Intan Najuwa menyarungkan Mahalia dalam rona putih, rekaan ini menjadi buruan ramai! Maka terang lagi bersuluh bahawa rekaan dari jenama ini berbaloi untuk dimiliki. Tambahan pula variasi warnanya pelbagai, pasti memudahkan kamu untuk bergaya di pagi Syawal!

5. Mimpi Kita

Sumber gambar: Instagram Mimpi Kita

Dari pemilihan warna hinggalah kepada potongan rekaanya, semua segar malar! Tambahan pula hijau ‘mint’ itu sudah cukup meggambarkan keseluruhan rekaan ini yang mengangkat elemen ringkas, lembut dan tidak berat. Apa yang menariknya, tambahan sulam pada rekaan milik jenama Mimpi Kita ini menjadikan rekaanya lebih mahal biarpun tampak tradisional. Mungkin itu yang cuba dibawakan oleh pereka ini, tradisional dalam moden. Penggunaan fabriknya yang selesa serta mudah digosok, antara kunci utama dalam koleksi ini!

Published by
Putra