Jika orang lain bertemu hidayahnya ketika sudah menginjak usia dewasa, tetapi bagi penyanyi bersuara unik, Wani atau nama sebenarnya NurSyazwani Selamat, seawal usia 12 tahun sudahpun memakai hijab. Dia memakainya kerana menurut arahan ibu bapa selain ia adalah hukum yang wajib diturut bagi seorang wanita. Biarpun masih kecil, tetapi Wani tetap utuh dengan pendiriannya hinggalah kini setelah bergelar penyanyi.
Menurut Wani yang mula dikenali dengan lagu Alhamdulillah duet bersama Juzzthin, ibunya yang juga seorang Ustazah mengajar dia untuk memakai tudung ketika bersekolah dalam darjah enam.
MULA-MULA PAKAI SINGKAT, LAMA-LAMA LABUH
“Oleh kerana waktu itu masih kecik, jadi ada sekali dua kejap buka kejap pakai. Tetapi bila masuk tingkatan 1, Wani sudah mula berhijab sepenuhnya.
“Biasalah masa tu budak kecil bila pakai ada rasa rimas tetapi pada masa sama kita kena belajar untuk bertudung secara sempurna. Ummi juga selalu pesan supaya kekal istiqomah dan tidak buat main-main apabila sudah berhijab,” ujarnya.
Tambah Wani juga dulu masa mula-mula berhijab, dia juga pakai tudung agak singkat, tetapi lama kelamaan cuba melabuhkan hijab yang dipakainya agar memenuhi tuntutan yang disyariatkan.
“Masa itu Wani masih belum jadi artis lagi. Wani mula berkecimpung dalam bidang seni selepas habis SPM. Wani sign kontrak dengan syarikat pengurusan FMC selepas bakat dicungkil di laman youtube.
“Walaupun sudah bergelar artis, Alhamdulillah Wani tetap istiqomah berhijab. Tidak ada pula berdepan dugaan supaya Wani buka tudung. Istiqomah ini juga disebabkan faktor orang sekeliling seperti sepupu dan juga kawan-kawan yang kebanyakannya juga berhijab.
“Wani akui sangat selesa dan rasa selamat dengan berhijab. Dengan berhijab kita rasa tdak ada risiko yang membahayakan (insya-Allah) selagi kita pandai jaga diri. Bagi Wani Islam itu agama yang cukup indah kepada semua insan,” jelas Wani lagi yang menggemari gaya yang ‘simple’ untuk pakaian seharian.
“Tetapi ada kalanya ikut mood juga. Kadang-kadang suka pada gaya elegan seperti penambahan manik pada baju yang digayakan. Warna pula Wani sukakan pastel yang memang sesuai dengan usia Wani.
SUKA PAKAI SELENDANG
“Untuk tudung pula, Wani ikut mood. Bawal boleh, selendang pun boleh. Tetapi paling senang untuk Wani gayakan adalah seledang kerana ada awning yang boleh buat ia terletak cantik di kepala.
“Wani sebenarnya tdak berapa gemar tudung instan kerana muka jenis bulat. Kadang-kadang tudung instan jenis ikut bentuk muka,” ujarnya yang turut mengakumi Neelofa yang juga menjadi idola buat semua wanita berhijab untuk bijak bergaya.
Dia juga menolak tanggapan jika berhijab itu menyebabkan penampilan seseorang itu seperti ‘kampung’, kerana menurutnya berhijab juga sebenarnya masih boleh bergaya cantik.
UMMI JADI PERUNDING IMEJ
“Banyak fesyen lain yang boleh kita cuba. Misalnya ada palazzo dan blaus yang menepati gaya wanita Muslimah.
“Wani juga tidak selesa untuk menggunakan khidmat perunding imej kerana takut depan dikata cantik tetapi dalam hati kita sebenarnya tidak selesa dengan imej yang ditampilkan.
“Wani lebih selesa dengan cara begini. Tersendiri dan bersederhana sudah memadai. Jika mahukan pendapat tentang fesyen, biasanya Wani akan minta pandangan Ummi. Kalau Ummi kata tak sesuai Wani tak akan memakainya,” cerita Wani lagi.
TOLONG KELUARGA BERNIAGA DI BAZAR RAMADAN
Menurut penyanyi yang baru berusia 21 tahun ini, dia juga turut mengambil kesempatan membantu keluarga berniaga sempena Ramadan ini di Batu Pahat Johor.
“Setiap tahun memang keluarga Wani berniaga di situ. Wani akan membantu keluarga yang menjual makanan seperti Chicken Chop dan Ayam Penyet.
“Allhamdulillah setelahbergelar artis, sambutan lebih menggalakkan. Malah Wani jiga gunakan medium sosial untuk mempromosikan bisnes keluarga ini.
“Sejak keluar dari program Gema Gegar Vaganza musim lalu, follower di instagram juga makin betambah,” jelasnya yang masih lagi menuntut di Open Universiti di tahun akhir sebelum mengakhiri perbualan.
MYDIN LANCAR KEMPEN ‘GIRANG SYAWAL TIBA’
Wani atau nama penuhnya NurSyazwani Selamat ditemui ketika Majlis Pelancaran Kempen ‘Girang Syawal Tiba’ di Mydin Subang Jaya baru-baru ini.
Dalam majlis berkenaan, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Wira Dr Ameer Ali MYdin berkata kempen ini bertujuan menyediakan pengunjung dengan pakaian raya dengan harga yang rendah berkualiti tinggi.
“Kami di Mydin menyediakan koleksi baju raya dengan harga yang rendah dengan kualiti yang cantik bagi membolehkan golongan yang berpendapatan rendah bergembira di hari raya di samping peraduan dan aktiviti menarik yang telah dirancang.
“Mydin juga telah mengeluarkan lagu hasil kerjasama dengan FMC Music yang berjudul Girang Syawal Tiba,”katanya pada sidang media.
Girang Syawal Tiba 2018 ini juga akan menampilkan koleksi-koleksi baju raya Mydin yang pelbagai dengan jenama Mikayla untuk pakaian wanita dan Mikhail untuk pakaian lelaki yang diperagakan oleh model dan artis-artis terkenal tanah air seperti Haqiem Rusli, Zoey Rahman, Tajul, Sissy Iman, Ernie Zakri dan Wani.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI