Bagi anda yang sukakan makanan pedas, pasti akan rasa kekurangan atau ‘tidak puas’ makan tanpa ada sambal atau makan pedas lain. Cili juga dapat membantu melancarkan pembuangan air besar yang kadangkala sukar bagi sesetengah orang terutama ketika berpuasa.
Namun ketika makan makanan pedas adakalanya rasa pedas yang menyegat itu akan menimbulkan rasa kurang selesa. Keadaan ini tentunya membuat anda rasa kurang selesa. Berikut perkongsian Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan
Kalau tak pedas, tak sedap, tapi kalau terlebih pedas, merana! Pijar lidah, berpeluh-peluh dahi, dan kadang-kadang tak tahu kenapa, sampai gatal kepala. Apa yang perlu dilakukan jika termakan makanan yang terlalu pedas? Minum air? Kemam air? Itu tak berapa berkesan. Ada cara lebih cepat dan efektif untuk kurangkan pijar lidah.
Rasa pedas pada cili dan cabai adalah disebabkan bahan yang dipanggil capsaicin. Ia mempunyai sifat tidak larut air, sebab itu minum air atau kemam ais tak berapa efektif kurangkan kepedasan.
Capsaicin adalah bahan yang mudah larut dalam bahan berminyak atau berlemak. Oleh itu, bahan-bahan berikut sangat efektif untuk kurangkan kepedasan di lidah.
SUSU
Susu dan keju mengandungi lemak serta casein( protein) yang boleh memisahkan capsaicin dari tunas rasa. Santan dan soya pun boleh.
COKLAT
Ini sedap! Coklat, terutamanya coklat susu mempunyai banyak minyak dan lemak, maka ia efektif larutkan capsaicin.
MENTEGA KACANG
Ini pun sedap! Kacang mengandungi minyak, ia membuatkan rasanya berlemak dan berkesan untuk basmi kepedasan.
ASID
Makanan Thai banyak gunakan cili padi, serta limau, cuka dan mangga muda. Kenapa? Sebab bahan berasid boleh mengurangkan rasa pedas.
GULA/MADU
Biasa dengar bukan, tambah gula dalam masakan untuk kurangkan kepedasan? Rasa manis boleh membantutkan pedas. Nak sihat, guna madu.
ROTI
Roti serta makanan berkanji seperti nasi boleh serap capsaicin. Mungkin sebab itu makan makanan pedas, mesti nasi bertambah.
Makanan pedas-pedas memang nikmat, tapi hendaklah berpada-pada. Makanan terlalu pedas boleh menyebabkan gastritis, cirit birit, dan masalah kesihatan yang lain. Paling molek, bersederhana itu lebih baik.
Untuk elakkan sebarang masalah kepada sistem pencernaan dan tubuh, hadkan pengambilan makanan pedas dengan sebaik-baiknya. Bukan tidak boleh makan langsung tetapi biar dalam kuantiti yang terkawal dan tidak memudharatkan.
HIJABISTA: Mungkin tidak ramai yang tahu, ada kalanya rasa sakit kepala akan berkurang jika kita makan makanan pedas. Namun perlu tahu, elakkan makan cili berlebihan atau jangan makan jika kita ada masalah pencernaan.
Sumber kredit: Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan Top image: Photo by Artem Beliaikin from Pexels