Pernah tak anda merasa diri lebih baik dari orang lain? Untuk pengetahuan anda, sifat ini sudahpun termasuk dalam salah satu sifat tercela dan harus dibersihkan dari hati manusia.
Menurut Imam al-Ghazali, sifat yang tercela ada banyak bilangannya dan untuk membersihkannya, ia memerlukan usaha yang berterusan. Di dalam kitab Bidayah al-Hidayah, Imam al-Ghazali memberitahu kaedah untuk membersihkannya dengan cara memfokuskan kepada tiga sifat tercela yang utama. Tiga sifat tersebut ialah hasad, riyak dan ujub. Bahkan, tiga sifat ini juga sering menjadi masalah bagi golongan yang alim kerana mereka juga tewas berhadapan dengan ujian ini.
Sesungguhnya secara fitrahnya, manusia memang suka akan pujian dan sehingga mendambakan pujian. Tetapi berhati-hati, secara tidak sedar pujian juga boleh mendorong kepada perasaan bangga diri.
Definasi ‘ujub’
Menurut Kamus Dewan, ujub bermaksud kagum terhadap diri sendiri, angkuh, bongkak dan ego. Menurut Imam al-Ghazali pula, hakikat ujub itu merujuk kepada pengagungan diri sendiri antaranya dari aspek kenikmatan yang dimiliki tanpa melihat kepada pemilik nikmat yang sebenar iaitu Allah SWT.
Ujub merupakan penyakit hati yang tiada ubatnya. Perasaan ini menyebabkan seseorang itu memandang diri sendiri dengan pandangan kemuliaan sebaliknya memandang orang lain dengan pandangan penghinaan.
Tanda-tanda orang yang bersifat ujub ini ialah ia selalu berkata ‘aku begini…. begini’. Ia menuruti sikap sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT dalam surah al-A’raf ayat 12 yang bermaksud:
“(Iblis berkata): Aku lebih baik daripadanya (Nabi Adam AS) kerana Engkau ciptakan aku daripada api dan Engkau ciptakannya daripada tanah.”
Takrif ujub menurut para ulama
Menurut para ulama, ujub ialah seorang yang beranggapan bahawa kemuliaan amal soleh disebabkan adanya sesuatu perkara atau sebab bukan kerana Allah SWT. Ujub itu mempunyai tiga wujud iaitu diri sendiri, makhluk dan barang.
- Abdullah Ibn al-Mubarak ketika ditanya tentang ujub atau bangga diri, beliau menjawab: “Engkau melihat di dalam dirimu sesuatu yang tidak ada pada diri orang lain.” (Lihat Syu’ab al-Iman, 7/50)
- Bisyr bin al-Harith al-Hafi menyebut: “Ujub itu ialah engkau merasa memiliki amal yang banyak dan menganggap amal orang lain sedikit.” (Lihat Hilyah al-Auliya’, 8/348)
- Imam Ghazali berkata, ujub ertinya mengagungkan diri, atau menganggap agung amal yang dilakukan. Misalnya dengan mengatakan: “Akulah orang paling soleh, tidak ada orang yang melebihi kesolehanku.”
ARTIKEL BERKAITAN: Teruja Dapat Sampah Atau Hadiah, Ini Hukum Jual Beli ‘Mystery Box’ Menurut Mufti Wilayah
Cara untuk membersihkan perasaan ujub
Antara cara mengatasi perasaan ujub ialah:
- Menyedari bahawa amal soleh yang kita lakukan hanyalah kerana pertolongan, taufik dan kurniaan Allah SWT. Allah SWT berfirman:
وَمَا بِكُم مِّن نِّعْمَةٍ فَمِنَ اللَّـهِ
Maksudnya: Dan apa-apa nikmat yang ada pada kamu maka adalah ia dari Allah.
Surah al-Nahl (53)
- Sedar bahawa ujub boleh membinasakan amalan yang kita lakukan. Daripada Anas bin Malik R.A, katanya, sabda Rasulullah SAW:
ثَلَاثٌ مُهْلِكَاتٌ شُحٌّ مُطَاعٌ وَهَوًى مُتَّبَعٌ وَإِعْجَابُ الْمَرْءِ بِنَفْسِهِ
Maksudnya: Tiga perkara yang membinasakan: Orang yang kedekut ditaati, hawa nafsu yang diikuti da seseorang itu merasa kagum pada dirinya.
Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (731) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsat (5915)
- Mengingati bahawa walaupun kita hebat, maka di sana ada yang lebih hebat. Kami nukilkan sebuah kisah sejarah ulama’ silam yang bernama al-Sya’bi. Suatu hari beliau ditanya tentang suatu masalah, lantas dijawabnya: “Aku tidak tahu.” Seorang yang lain bertanya kepadanya: “Apakah tuan tidak merasa malu berkata ‘aku tidak tahu’, walhal tuan adalah seorang ulama besar di Iraq?” Jawab al-Sya’bi: “Para malaikat juga tidak merasa malu ketika mereka berkata sepertimana firman Allah SWT:
قَالُوا سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا ۖ إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ
Maksudnya: Malaikat itu menjawab: “Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.
(Surah al-Baqarah: 32)
- Mengetahui dan meyakini bahawa kurniaan ilmu kepada kita amatlah sedikit. Dengan sebab itu, benarlah firman Allah SWT:
وَمَا أُوتِيتُم مِّنَ الْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا
Maksudnya: dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja”.
Surah al-Isra’ (85)
Al-Sobuni berkata: Kamu tidak dikurniakan ilmu hai manusia kecuali amat sedikit. Ini kerana ilmu kamu jauh amat sedikit berbanding dengan ilmu Allah. (Lihat Sofwah al-Tafasir, 2/159)
ARTIKEL BERKAITAN: Puasa Daripada Berkata-kata Seperti Saidatina Maryam A.S, Apakah Hukum Di Sebalik Ibadat Ini?
MasyaAllah. Semoga Allah SWT menyucikan niat dan amalan kita daripada sifat-sifat yang boleh menyebabkan amalan tertolak serta menjauhkan kita daripada sifat tercela ini. Amin.
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI