Apabila menyarung hijab, benda paling tidak selesa adalah apabila anak rambut mula menjalar keluar dari hijab. Ini berlaku apabila kita memakai hijab untuk satu jangka masa yang lama. Kadang kala kita punya masa untuk membuka hijab dan memperbetulkan ikatan rambut tetapi selalunya masa yang kita ada sangat terhad. Lebih-lebih lagi jika kita mengenakan inner neck yang sudah longgar. Hijabi usah risau kerana ada beberapa trik boleh dilakukan dalam menyelesaikan masalah rambut terkeluar dari hijab dan memastikan aurat tetap terjaga.
Hanya mengikat rambut tidak mencukupi untuk mengelakkan anak rambut dari terkeluar. Gunakan klip rambut, bobby pin ataupun cekak getah untuk memastikan rambut sentiasa dalam keadaan rapi. Tapi jangan pin terlalu ketat ya. Sakit nanti!
Ada juga di antara kita yang tidak biasa memakai anak tudung tatkala berhijab. Bagi anda yang lebih sukakan selendang, pilih anak tudung yang berleher dan pakai cekak getah di dalam agar rambut anda kekal rapi. Jika anda mahu bersukan, penggunaan bandana sangat sesuai. Ia bukan sahaja menyerap peluh, rambut anda tidak akan mudah terlihat jika hijab anda basah. Kalau boleh anda perlu tukar anak tudung yang sudah longgar kerana boleh membuatkan rambut lebih banyak terkeluar.
Jika rambut anda tetap terkeluar walaupun sudah berklip rambut dan beranak tudung, cuba periksa stail rambut anda. Jika rambut anda panjang dan ‘layer’, cuba ikat tocang. Ia mungkin akan membantu sedikit. Sebolehnya elakkan dari rambut anda terkeluar tatkala berhijab. Rambut itu aurat yang wajib ditutup jadi peka akan keadaan hijab anda. Pastikan anda selesa sebelum melangkah keluar dari rumah.
Jika anda tidak mahu menggunakan inner neck, boleh terus membeli tudung yang direka dengan menyertakan inner neck sekaligus. Ini memudahkan anda terus menyarung dengan kemas tanpa memikirkan masalah anak rambut yang akan keluar. Biasanya tudung instan
begini sangat selesa dan mudah sekali digayakan.Boleh juga gunakan inner neck yang mempunyai tali di kiri kanan dan boleh diikat dengan kemas di belakang. ada juga tudung yang mempunyai inner neck rekaan begini dan memudahkan penggunanya untuk menggayakan hijab tanpa ada sebarang rambut terkeluar.