Keistimewaan bulan Muharram perlu diketahui kerana ia diangkat sebagai bulan pertama dalam kalendar hijrah dan dikenali sebagai bulan Allah atau ‘syahrullah.’ Ia disebut sebagai salah satu bulan yang mulia dalam Islam selain tiga bulan lainnya, iaitu Zulkeadah, Zulhijjah dan Rejab.
Selain itu, pada bulan Muharram juga terdapat puasa sunat yang kadarnya hanya dikira satu tingkat di bawah puasa Ramadan. Maka sebab itulah puasa di bulan Muharram sangat dianjurkan bagi umat Islam.
Bermula esok, Khamis hingga Sabtu adalah Puasa Hari Putih iaitu 13,14 & 15 Muharram (pahala ibarat puasa sepanjang tahun). Bulan ini adalah antara bulan yang terbaik berpuasa selepas bulan Ramadan.
Daripada Abu Hurairah r.a., beliau bersabda:
سُئِلَ أَيُّ الصَّلَاةِ أَفْضَلُ بَعْدَ الْمَكْتُوبَةِ وَأَيُّ الصِّيَامِ أَفْضَلُ بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ فَقَالَ أَفْضَلُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الصَّلَاةِ الْمَكْتُوبَةِ الصَّلَاةُ فِي جَوْفِ اللَّيْلِ وَأَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ صِيَامُ شَهْرِ اللَّهِ الْمُحَرَّمِ
Maksudnya: Rasulullah SAW pernah ditanya, “Solat apakah yang paling utama setelah solat fardhu? Dan puasa apakah yang paling utama setelah puasa Ramadlan?” Maka Baginda SAW menjawab: “Solat yang paling utama setelah solat fardhu adalah solat pada sepertiga akhir malam. Dan puasa paling utama setelah puasa Ramadhan adalah puasa di bulan Muharram.”n(HR Muslim, hadis sahih)
Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda:
تُعْرَضُ الأَعْمَالُ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَالخَمِيسِ، فَأُحِبُّ أَنْ يُعْرَضَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ
Maksudnya: “Amalan dibentangkan pada hari Isnin dan Khamis, maka aku lebih suka amalanku dibentangkan ketika aku sedang berpuasa.” (HR Tirmizi, hadis hasan gharib)
Dalam sebuah hadis yang lain, Saidatina Aisyah r.a. berkata:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَحَرَّى صَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَالخَمِيسِ
Maksudnya: “Adapun Nabi SAW sentiasa berpuasa pada hari Isnin dan Khamis.” (HR al-Tirmizi, hadis hasan)
Berdasarkan hadis, daripada Ibnu Milhan al-Qaisi daripada ayahnya, dia berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرُنَا أَنْ نَصُومَ الْبِيضَ: ثَلاَثَ عَشْرَةَ، وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ، وَخَمْسَ عَشْرَةَ. وَقَالَ: هُنَّ كَهَيْئَةِ الدَّهْرِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW memerintahkan kami agar berpuasa pada hari putih (bidh) iaitu pada tiga belas, empat belas, dan lima belas. Beliau berkata; hari-hari tersebut umpama setahun.” (HR Abu Daud, hadis sahih)
نَوَيْتُ صَوْمَ اَيَّامَ الْبَيْضِ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: Sahaja aku puasa sunat hari putih kerana Allah Taala.
Marilah sama-sama kita pasang niat dan ambil peluang untuk berpuasa pada hari yang terpilih ini. Semoga asbab kita berpuasa ini, Allah sentiasa pelihara kita daripada godaan nafsu dan kurniakan rahmatNya. Allahumma ameen.
Sumber kredit: Ustazah Asma’ Harun Top image: Photo by shahbaz-akram from Pexels.
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.