Sebagai anak kelahiran Pahang, penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menyatakan rasa hiba berhubung keadaan banjir teruk yang melanda tempat kelahirannya di Kuala Lipis, Pahang.
Menerusi perkongsian di laman Instagram, penyanyi kesayangan ramai ini memuatnaik beberapa keping gambar yang mana memperlihatkan keadaan bekas sekolahnya iaitu SMK Clifford yang teruk ditenggelami air sehingga hanya menampakkan bahagian bumbung sahaja.
Tidak betah duduk diam melihat keadaan itu penyanyi berusia 41 tahun itu mengambil inisiatif untuk membantu menghantar bekalan makanan dan keperluan asas ke sana bagi meringankan beban mereka yang terkesan dek banjir.
Menurutnya, “Bekalan barangan keperluan dihantar dari Kuala Lumpur kerana beberapa hari ini sukar mendapatkan bekalan yang cukup dari daerah sekitar di Pahang yang mengalami banjir. Semoga perjalanan team kami ke sana dipermudahkan Allah, fasa pertama dan moga dilapangkan terus rezeki untuk fasa seterusnya.”
Selain itu, pelantun lagu popular Aku Bidadari Syurgamu ini juga turut menyeru pengikutnya, rakan-rakan dan juga alumni SMK Clifford untuk memberikan sedikit bantuan demi pembangunan semula sekolah tersebut yang terjejas teruk.
“Bangunan kelas saya belajar hanya nampak sayup sahaja bumbungnya. Allah! Semoga usaha ini akan diberkati dan saya juga mengajak followers, rakan-rakan, alumni sekolah serta sesiapa saja yang mahu menyumbang bagi membantu meringankan beban sekolah akibat bencana banjir. Ada ni akaun di bawah,” ujarnya.
***P/S- Semoga usaha murni yang dilakukan ini dipermudahkan Allah SWT.