Beberapa hari lalu seluruh warganet di laman sosial tersentuh dan meluahkan rasa simpati kepada Nur Athirah Abdul Latiff yang tular akibat kehilangan motosikal kerana dicuri. Dia yang bekerja sebagai penghantar makanan Food Panda kelihatan menangis dalam gambar yang dimuat naik kerana kenderaan itulah yang digunakan olehnya untuk menjana pendapatan.
Hari ini dia boleh tersenyum gembira, menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office hari ini, DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyampaikan sumbangan peribadi kepadanya yang berupa sebuah motosikal bagi menggantikan motosikal lama Nur Athirah yang telah dicuri.
Menurut kenyataan itu lagi, “DYMM Tengku Permaisuri Norashikin berharap dengan sumbangan ini Nur Athirah akan dapat kembali meneruskan kerja harian dengan sempurna seterusnya membantu keluarga.
Titah Baginda lagi, di waktu kita semua sedang diuji dengan pelbagai dugaan ketika ini, Baginda amat berharap agar masyarakat di luar sana lebih bersifat perikemanusiaan dan bertimbang rasa di antara satu sama lain. Baginda turut mendoakan agar sekalian rakyat terus dimurahkan rezeki dan sentiasa di dalam perlindungan Allah S.W.T.”
Nur Athirah, 23, merupakan anak kedua dari tiga adik beradik tinggal bersama ibunya di Batu Caves dan menyara keluarganya menerusi kerja penghantaran makanan sepenuh masa.
***P/S- Tersentuh dengan keprihatinan Tengku Permaisuri terhadap Nur Athirah. Semoga Athirah lebih bersemangat selepas ini untuk terus bekerja. Kita semua pun patut ambil iktibar dari berita ini, sentiasalah berbuat baik kepada semua orang di sekeliling kita.
Sumber: Selangor Royal Office
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI