Cagu pada bahagian tangan mahupun bahagian kaki tentunya membuatkan kita rasa tidak selesa. Hendak pegang pun rasa tidak selesa. Apabila tersentuh sedikit pun, sakitnya hanya mereka yang mengalaminya sahaja tahu.
Sebenarnya apakah penyebab berlakunya cagu? Bagaimana untuk mencegah cagu ini daripada berlaku berulang-kali dan bagaimana cara untuk merawatnya.
Berikut perkongsian Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan
SALAH CARA POTONG KUKU, PATUTLAH KENA CAGU
Rasanya ramai yang pernah kena cagu(cengkam). Ramai juga yang pernah kena lebih daripada sekali. Ini saya nak beri sedikit tip macam mana nak cegah, dan rawat cagu.
Cagu berlaku apa bila sisi kuku tumbuh ke sisi dan menekan isi(tisu) di tepi jadi. Ini mengakibatkan isi jari itu menjadi sakit. Nak pakai kasut pun tak boleh.
Macam mana nak tahu kita kena cagu?
TANDA-TANDA
1. Isi di sisi kuku jari kaki mengalami keradangan. Tanda-tandanya adalah: sakit, bengkak, merah dan panas bila disentuh.
2. Jika kuku pada jari yang sakit itu kelihatan kelabu, dan berubah bentuk, ia tanda kuku itu ada jangkitan kulat. Jangkitan kulat adalah risiko mendapat cagu.
3. Isi di sisi kuku bernanah dan busuk. Ini tandanya isi (tisu) di sekitar cagu itu telah dijangkiti kuman. Jika cagu bernanah, anda perlu segera berjumpa doktor.
PUNCA-PUNCA
1. Potong kuku terlalu pendek dan membulat di hujungnya menambah risiko terkena cagu. Potongan begitu menyebabkan sisi kuku tumbuh mencengkam isi tepi jari.
2. Kasut yang terlalu ketat atau tirus boleh mengakibatkan sisi kuku menekan tisu di tepi jari. Jika keadaan ini berpanjangan mengakibatkan keradangan pada tisu itu.
3. Trauma(kecederaan) berulang kali pada jari kaki. Ini berkaitan dengan kerja atau aktiviti seseorang. Contohnya pada pemain bola sepak, pendaki gunung,
4. Jangkitan kulat pada kuku boleh menjadikan kuku berubah bentuk, dan boleh menyebabkan kuku tumbuh ke arah isi di tepi jari.
5. Jangkitan kuman pada isi(tisu) di sisi kuku, mengakibatkan tisu itu mengalami keradangan dan adakalanya bernanah.
RAWATAN
1. Rendam dan cuci kuku dengan air suam 2 kali sehari. Namun, penghidap kencing manis disarankan agar berhati-hati prosedur ini. Pastikan air suam, bukan panas.
2. Splint (penyendal) boleh diletakkan di bawah kuku yang ada cagu. Boleh guna gauze sebagai penyendal. Ia akan beri masa kuku tumbuh melepasi tisu yang keradangan.
3. Ubat tahan sakit dan anti-keradangan. Agar pesakit lebih selesa menjalani aktiviti harian, ubat tahan sakit diberi. Contoh: mefenemic acid.
4. Antibiotik. Jika doktor dapati ada tanda-tanda jangkitan kuman, antibiotik sapuan atau tablet akan diberi untuk membunuh kuman.
5. Antifungal. Jika doktor dapati ada tanda-tanda jangkitan kulat di kuku, ubat antifungal jenis sapuan(topikal) akan diberi untuk rawat jangkitan kulat.
6. Pembedahan. Jika semua rawatan di atas masih tidak berhasil, pembedahan akan dilakukan. Keseluruhan kuku atau sebahagian kuku yang terlibat akan dibuang.
PENCEGAHAN
1. Potong kuku dengan betul.
Cara yang betul adalah potongan lurus di hujungnya dan tidak terlalu pendek. Semak gambar.
2. Pilih kasut yang sesuai.
Pilih kasut yang mempunyai kotak jari (toe box) yang luas. Jika bekerja di kawasan berisiko kemalangan, pakai but keselamatan. Jika bersukan, pakai kasut sukan.
3. Jaga kebersihan kaki.
Basuh kaki sebersihnya setiap kali mandi. Pastikan tiada kekotoran berada di bawah kuku. Elakkan ulang-pakai sarung kaki yang tidak dibasuh.
4. Jangan curi kasut/selipar di masjid
Tak ada kena mengena dengan cagu. Cuma nak ingatkan sahaja. Kalau tak pernah buat, tak perlu terasa.
Sumber kredit: Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan