PKP 3.0 Dilanjutkan Lagi, Usah Megeluh! Positifkan Diri Di Awal Pagi Mengikut Al-Quran.

Share

Ramai yang terkesan apabila kerajaan melaksanakan ‘total lockdown’ di seluruh negara. Namun begitu, ia adalah salah satu insiatif yang harus kita lihat dari sudut positif untuk mengurangkan peratusan kes Covid-19 di Malaysia. Baru-baru ini, kerajaan juga baru sahaja mengumumkan tentang tempoh PKP 3.0 dilanjutkan selama dua minggu lagi. Sudah tentu ia memberi kesan kepada masyarakat kita untuk menstabilkan status kewangan dan ekonomi kehidupan mereka.

Sebagai umat Islam, setiap apa yang berlaku itu pasti ada sudut kebaikannya yang harus kita cari dan hayati. Sudah pasti, Allah S.W.T menurunkan sesuatu dugaan kepada hamba-hamba-Nya untuk sebuah kebaikan. Maka, kita haruslah sentiasa bersabar dan berfikiran positif untuk terus memperjuangkan kehidupan kita.

Antara cara terbaik untuk terus kekal semangat ialah dengan sentiasa berfikiran postif dan setiap kali kita bangun pagi.

Diriwayatkan dari Sakhr Al-Ghamidi bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Ya Allah, berkatilah umatku di pagi hari mereka (iaitu, apa yang mereka lakukan pada awal pagi).” (Sunan Ibnu Majah)

Selain itu juga, kita juga harus sentiasa memikirkan tentang kehidupan akhirat kelak dah usah terlalu rakus mengejar harta dunia kerana sesungguhnya ia tidak kekal lama. Apabila kita mempunyai fikiran seperti itu, maka hati dan minda kita akan sentiasa tenang.

Allah berfirman dalam Al-Quran: “Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?” [Surah Al-An’aam (6), ayat 32]

Untuk permulaan hari yang baik, adalah molek sekiranya kamu menunaikan solat tahajud sebelum menunaikan solat Subuh. Selepas itu, kamu juga boleh membaca Al-Quran sebelum memulakan aktiviti kerja kamu. Jadikan segala sunnah Rasulullah S.A.W itu sebagai amalan harian kita. Hal-hal ini sudah dinyatakan di dalam Al-Quran tentang kelebihannya.

Allah berfirman dalam Al-Quran: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” [Surah Al-Ahzaab (33), ayat 21]

Tidak susah sebenarnya untuk kekal positif. Namun apa yang menyukarkan adalah untuk kita tanamkan niat untuk berubah menjadi positif. Mohon doa kepada Allah S.W.T dan insyaAllah kita akan dipelihara. Selamat beramal!

Published by
Putra