Perunding Imej Ini Kongsi Tip Baju Raya Yang Sesuai Musim PKPB, Ye Lah Banyak Masa Di Dapur Sis!

Share

Hari lebaran tinggal beberapa hari sahaja lagi. Bagi mereka yang belum membeli baju raya atau mungkin masih tercari-cari baju raya yang sesuai, ada beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian. Usah sekadar membeli baju raya kerana terpikat dengan fesyen baju tersebut. Ada beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian.

Perunding imej ini, Azie Sam berkongsi tip pemilihan baju raya dalam suasana kita menyambut hari raya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

TIP PEMILIHAN PAKAIAN RAYA UNTUK HIJABI DI RUMAH.

Selain untuk nampak cantik semasa hari raya, jangan lupa kekalkan praktikaliti dalam pemilihan baju raya anda lagi-lagi beraya di musim PKP ini. Banyak masa kita habiskan di rumah jadi tentulah kita perlu pakai baju yang selesa.

FABRIK YANG SELESA
Ini sangat penting kerana pemilihan fabrik menentukan keseluruhan keselesaan pemakaian anda. Pilih jenis fabrik yang ringan, serap peluh dan tidak panas seperti chiffon, cotton atau lycra. Elakkan fabrik jenis songket dan polyester.


PERINCIAN YANG SEDERHANA
Sedia maklum jika sebut tentang baju raya, ada yang membayangkan pakaian yang glamor penuh dengan labuci atau manik. Apa kata tukar pemikiran tersebut dengan ‘less is more’ kerana apabila di rumah ianya tidak sesuai untuk aktiviti banyak pergerakan dan agak mengganggu produktiviti kita di pagi raya. Kekalkan 1 titik fokus (focal point) dalam pemakaian anda cukup membuatkan diri anda tampak elegan dan eksklusif.

POTONGAN REKABENTUK
Elakkan pemilihan pakaian yang rekabentuknya agak meleret seperti di kain mahupun lengan baju. Ini membuatkan anda susah untuk berjalan atau melakukan kerja kerja penyediaan makanan di pagi raya. Silap silap lengan baju kena kuah rendang.

KEKALKAN CIRI MUSLIMAH
Fabrik yang jarang mahupun potongan pakaian yang terlalu ketat hanya membuatkan anda nampak jangkal apabila dikenakan dengan hijab. Sebaiknya pilih fabrik yang selesa dan potongan mengikut kesesuaian dengan tubuh anda.


WARNA TIDAK MELEBIHI TIGA
Kekalkan prinsip Pemakaian warna bahawa maksimum pemilihan hanya 3 warna sahaja. Baju raya bukan alasan untuk kita berfesyen seperti ‘runway’ Dengan pemilihan kurang dari tiga warna, anda akan kelihatan lebih manis, anggun, dan elegan.

Tips pemakaian raya yang praktikaliti untuk hijabi di rumah ini boleh juga di bawa ke pejabat kerana ia mengekalkan ciri ciri pemakaian yang profesional dan sesuai untuk melakukan kerja kerja pejabat. Tidak keterlaluan selain ianya selesa dipakai sepanjang hari.

Published by
webadmin