“Pernah Terlupa Ambil Anak Di Sekolah”- Rasa Penat Urus 6 Orang Anak, Dr. Sheikh Muszaphar Masih Ingin Tambah Cahaya Mata!

Share

Kata orang, anak merupakan kurniaan sebuah rezeki yang diturunkan oleh Allah SWT. Walaupun penat menguruskan, namun begitulah amanah yang diutuskan oleh-Nya kepada ibubapa. Begitulah jua yang dilakukan oleh angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar yang tidak culas menjaga keenam-enam orang anaknya.

Menerusi perkongsian yang dimuatnaik dalam akaun Instagramnya, Dr. Sheikh Muszaphar berkongsikan tentang rutin hariannya bersama isteri yang begitu padat dan sibuk. Bermula dari jam 5.30 pagi sehinggalah jam 10 malam, dia dan isteri, Dr. Datin Halina benar-benar komited menguruskan perihal anak-anak mereka.

Kongsi Dr. Sheikh Muszaphar, rutin mereka bermula seawal jam 5.30 pagi apabila salah seorang dari anak kembarnya bangun. Dari situlah bermulanya ‘kekecohan’ di awal pagi.

Selalunya kekecohan akan bermula pada jam 5.30 pagi apabila salah seorang daripada anak kembar kami bangun dan mengejutkan yang lain. Itulah ‘jam loceng’ kami di waktu pagi.

Penulis boleh gambarkan keadaan di waktu pagi dalam rumah Dr. Sheikh Muszaphar seperti ‘bersilat’ untuk menguruskan perihal anak-anaknya seperti menyediakan sarapan dan menguruskan pakaian sekolah mereka.

Tambahnya lagi, anak-anaknya juga turut tidak ketinggalan untuk mengikuti kelas agama, kelas tambahan dan juga aktiviti riadah seperti kelas Taekwando dan kelas renang pada waktu petang. 

Pada waktu malam pula, Dr. Sheikh Muszaphar dan Dr. Datin Halina akan memfokuskan kepada pelajaran anak-anak mereka  sehinggalah pada jam 10 malam.

Selalunya pada jam 9 malam, saya akan mengajar Adam dan Noah subjek Matematik dan Bahasa Inggeris. Manakala Dr. Halina akan membantu anak-anak perempuan mengulang kaji pelajaran samaada dari SJKC atau Islamic School

“Terlupa jemput anak kat sekolah..”

Bukan mudah sebenarnya untuk menguruskan enam orang anak. Adakalanya, sebagai ibubapa, ada juga kekhilafan yang dilakukan saat menguruskan anak. Seperti Dr. Sheikh Muszaphar dan isteri, mereka pernah terlupa untuk menjemput anak di sekolah.

Pernah sekali terlupa jemput anak kat sekolah. Nasib baik cikgu hubungi saya. Saya ingatkan Dr Halina yang akan ambil anak di sekolah, dan dia pula ingatkan saya yang ambil anak di sekolah.

Biarpun penat menguruskan anak-anak, namun baginya, ia berbaloi kerana adalah sebuah tanggungjawab. Saat anak peluk kemas dan meluahkan kata-kata ‘I Love You Daddy’, ia membuatkan airmatanya berlinangan kegembiraan. 

Pun begitu, Dr. Sheikh Muszaphar menyimpan hasrat ingin menambah zuriat lagi.

Saya masih mahu lebih ramai anak..

Sumber gambar: Instagram Dr. Sheikh Muszaphar

Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.

 

Published by
Putra