Lain orang lain citarasanya. Ada yang gemar melancong ke destinasi menarik seorang diri dan ada juga yang gemar bercuti bersama teman baik atau buddy masing-masing.
Keseronokkannya tambah berganda apabila dapat menikmati keindahan negara orang sambil bertukar-tukar pandangan. Tidaklah rasa canggung pabila bercuti dengan sahabat baik yang boleh sama-sama menanggung kala berdepan saat susah dan senang.
Bagi tiga sahabat baik, Farah, 28 tahun, Nadiah Izzaty Azmi 33 tahun dan Syafiqah Hashim, 27 tahun memang sering bercuti bersama-sama. Antara destinasi yang kerap disinggahi mereka adalah sekitar negara di Asia Tenggara dan tidak dinafikan banyak momen terindah dirakam sepanjang percutian bersama.
Bagi Farah yang juga seorang blogger memberitahu selalunya jika travel bersama buddy, mereka akan rancang sendiri perjalanan serta itinerary bersama.
“Untuk memudahkan perjalanan, biasanya kami banyak baca perkongsian percutian orang lain di laman sosial, blog ataupun di group Facebook. Daripada situ kita akan buat perbandingan destinasi mana akan dilawati dan bajet yang perlu dikeluarkan setiap seorang.
“Kami kemudiannya akan berjumpa dan diskus perancangan yang telah dibuat. Keistimewaan pergi dengan buddy ini berbanding melalui agen kita akan rasa lebih selesa dengan kawan yang telah lama dikenali. Maklumlah kita lebih kenal cara masing-masing setiap kali travel. Lagi satu kawan baik adalah cameraman terbaik kerana mereka tahu angle terbaik untuk diri kita,” ujarnya yang turut memberi pesanan kepada pasangan buddy agar tidak terlalu berkira ketika travel.
Komunikasi penting walau bagaimanapun terdapat cabaran yang perlu dihadapi ketika travel bersama buddy ini. Bagi Nadiah Izzaty walaupun mereka kenal satu sama lain, tetapi ada kalanya berlaku perselisihan faham antara mereka.
“Biasalah bila berjalan bersama buddy ini ada kalanya mood seseorang itu akan bertukar. Jika berlaku situasi seperti ini, kita perlu slow talk dengan buddy kita dan cuba kembalikan semula mood. Ini bagi mengelakkan masalah perselisihan faham berlarutan dan menjejaskan mood sepanjang percutian nanti.
“Tidak semua pendapat kita akan diterima oleh travel buddy sebab lain orang lain pandangannya. Tetapi perlu buka minda seluasnya yang kita pergi secara berkumpulan jadi kena ada persefahaman agar segala yang dirancang berjalan lancar. Apa yang penting bagi saya adalah komunikasi antara satu sama lain,” ujarnya yang sering mengingatkan teman lain untuk mengamalkan sikap bantu membantu antara satu sama lain.
Pernah makan sebuku roti kongsi 3 orang dalam pada itu, Farah juga bersetuju dengan pandangan Nadiah yang perlunya ada komunikasi serta sikap bantu membantu satu sama lain ketika berada di rantau orang.
“Tidak dinafikan setiap kali travel pasti ada masalah akan timbul. Dan kita akan cuba selesaikan secara bijak. Saya terkenang saat kami pergi travel bersama dan berdepan masalah duit yang tidak mencukupi.
“Waktu itu kami tidak makan lagi dan semua tempat tukar duit sudah ditutup. Waktu itu masing-masing gigih korek beg dan keluarkan semua syiling yang ada. Akhirnya kami dapat membeli sebuku roti dan kongsi makan bertiga. Walaupun bukan masalah besar tetapi agak kelam kabut juga bila masing-masing tidak berduit. Inilah yang dikata susah senang bersama dan momen ini tidak akan dilupakan sampai bila-bila,” tambah Farah yang turut berkongsi barangan yang wajib dibawa ketika travel bersama buddy.
Barangan wajib perlu dibawa pesannya yang berasal dari Kuantan Pahang ini memberitahu barangan wajib dibawa adalah tripod untuk memudahkan mereka bergambar bersama-sama. Ini juga boleh mengelakkan masalah berkecil hati jika salah seorang tidak masuk dalam frame.
“Barangan lain seperti earphone untuk kegunaan dalam flight sambil berehat menikmati muzik kegemaran. Lagi satu item penting adalah telefon pintar yang telah di install segala aplikasi berkaitan travel.
“Bagi yang tak tahan panas pula, boleh bekalkan portable kipas menggunakan bateri atau yang boleh dicaj dengan power bank untuk memudahkan proses pengecasan. Satu lagi usah lupa untuk membawa mini first aid kid yang mengandungi item kecemasan dan bekalan minyak gamat,” jelas Farah lagi.
Bagi Syafiqah Hashim, 27 tahun yang juga seorang influencer turut memberitahu barangan lain yang wajib dibawa ketika travel.
“Paling penting selain pasport, item kosmetik, sunscreen dan juga kaca mata hitam. Kita tidak tahu cuaca ditempat orang. Walaupun sudah boleh melihat sebelum pergi, tetapi cuaca boleh berubah tanpa kita jangkakan. Jadi wajib kalau bawak sunscreen dan juga kaca mata untuk melindungi wajah dari cuaca panas.
“Kami memang gemar sekali pergi ke negara Indonesia dan antara destinasi yang menarik adalah seperti Lombok, Jogjakarta dan juga Lombok. Banyak aktiviti menarik boleh kita terokai di sini dan paling menyeronokkan tidak menghadapi masalah untuk mencari makanan halal,” tambahnya yang merasakan travel bersama buddy itu lebih selamat dan senang untuk berkongsi pelbagai idea menarik.
Jaga Solat Oleh kerana sering bercuti bersama, ketiga-ketiganya juga tidak lokek berkongsi beberapa tip menarik jika travel bersama buddy ini.
“Untuk yang merancang bercuti bersama buddy masing-masing, perlu untuk fikirkan perancangan dengan teliti. Ini termasuk soal pengangkutan, bajet dan aktiviti yang akan dilakukan bersama-sama nanti. Walau bagaimanapun setiap dari kita kena tahu info berkaitan supaya tidak rasa ketinggalan dengan apa yang telah dipersetujui.
“Kena sentiasa bersikap positif agar segala yang dirancang menjadi dan beri pengalaman menyeronokkan. Setiap orang perlu bersikap tolak ansur, bertimbang rasa dan banyakkan komunikasi dua hala agar trip berjalan lancar.
“Lagi satu paling penting jaga solat. Walaupun sedang bergembira di negara orang, bab yang satu ini jangan sesekali dilupakan. Di mana sahaja berada perlu ingat Allah agar kita sentiasa berada dalam lindunganNya. Islam itu mudah dan doa orang yang bermusafir ini selalunya akan dimakbulkan, insya-Allah,” ujar Nadiah yang bekerja di sebuah bank dan juga sebagai part time blogger.
Pendapatnya ini turut dipersetujui rakan buddy, Farah dan juga Syafiqah. Untuk trip akan datang, tiga sahabat ini merancang bercuti ke Korea ataupun negara Balkan yang sudah pastinya menjanjikan pengalaman serta pelbagai lokasi menarik untuk diterokai kelak.