Mencipta nama dalam rekaan kasut seperti Jimmy Choo menjadi impian kepada Fawa atau nama sebenarnya Noor Farahida Rosli,28. Berasal dari Senawang, Negeri Sembilan, kesusahan hidup banyak mengajarnya untuk terus maju ke hadapan hinggalah munculnya jenama kasut miliknya sendiri iaitu The Flick Store.
“Fawaa merupakan anak kedua daripada tiga orang adik beradik. Ayah bawa lori dan ibu seorang rumah. Tahap pendidikan Fawa pun hanyalah setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja disebabkan kekangan wang.
“Banyak pekerjaan telah Fawa lakukan seperti menjadi ahli terapi di spa dan kerja berkaitan freelance sales. Pada usia 19 tahun, Fawaa ada juga melakukan perniagaan dalam talian tetapi secara sambilan dahulu.
“Pada mulanya Fawa menjual kasut tiruan jenama terkemuka namun kerana memikirkan sampai bila hendak menjual produk tersebut, Fawa akhirnya mengambil keputusan membuat kasut di bawah jenama sendiri,” jelas isteri kepada Muhamad Faisal Suhaimi ini.
Itulah merupakan titik permulaan buat dirinya untuk mencari material dan rekaan tersendiri bagi perniagaan yang diasaskannya iaitu The Flick Store.
Sudah berada di pasaran hampir tujuh tahun, Fawa pada mulanya mengusahakan sendiri sebelum bekerjasama bersama suami tercinta bagi mengembangkan lagi perniagaannya.
“Fawa sering ke China dan Thailand bagi mencari material. Pernah pada masa itu ketika masih hijau dalam dunia rekaan kasut ini,Fawaa ke Thailand selama seminggu untuk mencari kilang kasut.
“Sepanjang waktu itu, Fawa memang tidak jumpa apa yang diinginkan. Rasa stress mula menguasai diri. Namun, Fawa bersyukur kerana akhirnya pada hari kelima barulah Fawa jumpa kilang yang tepat untuk menghasilkan kasut sendiri.
“Memang pada awalnya Fawa sudah menangis hingga rasa mahu berputus asa.Tetapi, Fawaa sedar bukan mudah untuk mencapai cita-cita dan dugaan ini hanyalah sedikit,” kata ibu kepada Muhamad Farhat ini.
Bercerita mengenai cabaran dalam rekaan kasut ini, Fawa akui jalannya ada liku yang tersendiri.
“Masalah utama adalah berkenaan modal yang banyak kerana setiap kasut ada pelbagai saiz dan warna. Bukan semuanya terjual begitu sahaja.
“Selain itu, kilang juga mengambil masa yang lama iaitu lebih kurang tiga bulan untuk penghasilan kasut. Itu tidak termasuk lagi bila ada staf yang membuat masalah sejurus selepas cawangan baru yang dibuka,” ujarnya lagi.
Tidak mudah mengalah dengan segala rintangan dan sentiasa memotivasikan diri, Fawa menganggap kejayaan terbesarnya adalah apabila melakukan kolaborasi untuk koleksi kasut bersama pelakon Lia Natalia pada tahun 2019.
“Rasa seronok sangat apabila berjaya melakukan pertunjukan fesyen kasut yang pertama seumpamanya di Malaysia bersempena dengan Aidilifitri yang lalu. Lebih menarik lagi, segala dirancang dalam tempoh yang singkat iaitu sekitar dua minggu sahaja.
Walaupun pernah dipandang rendah sebelum ini, Fawa tidak pernah menjadikannya kudis malah tetap fokus pada matlamat yang ingin dicapainya.
“Ramai yang memperkecilkan usaha Fawa pada awalnya. Tambahan lagi Fawa hanyalah seorang pelajar lepasan SPM sahaja. Ada yang memberi komen negatif terhadap rekaan kasut kami dan perkara itu memang membuatkan Fawa sedih.
“Tetapi apabila mengenangkan impian Fawa adalah untuk memberi kesenangan kepada keluarga dan juga memikirkan apa nasib pekerja jika Fawa mengalah, maka Fawa terus kuatkan hati. Ternyata semua itu berbaloi,” jelasnya yang mendirikan rumah tangga pada usia 23 tahun ini.
Berharap dapat membuka butik kasutnya di setiap negeri di Malaysia, Fawa juga mahu membantu orang ramai untuk menjana pendapatan dengan menjadi agen dan juga dropship di bawah jenamanya.
“Istimewanya kasut The Flick Store ini adalah kasut platform tebal dua inci yang menjadi rekaan signature butik ini dan menjadi kegilaan ramai hingga terjual lebih seribu pasang pada satu bulan.
“Rekaannya juga sangat terhad kerana apabila habis dijual, ia tidak akan dikeluarkan lagi. Kami akan sering mengikut trend dan inilah yang menjadikannya lain daripada yang lain.
“The Flick Store merupakan trend setter bagi kasut platform di negara ini. Oleh itu, Fawa berharap jenama ini dapat menembusi pasaran antarabangsa pula suatu hari nanti ,” jelasnya sebelum mengakhiri bicara.