Setiap orang pasti mempunyai sebuah cerita mengenai kejayaan mereka sendiri. Tidak kiralah sama ada kejayaan yang besar mahupun kecil, pastinya ia memberikan sebuah inspirasi kepada diri sendiri untuk menjadi yang lebih baik dari semalam. Malah, ia juga bisa dijadikan sumber aspirasi kepada orang lain untuk mengubah diri mereka ke arah yang lebih positif.
Zulkhairi, 36 tahun, memiliki sebuah cerita yang begitu menarik untuk dikongsikan bersama. Berjaya menurunkan berat badan bukanlah sebuah proses yang mudah. Namun, bagi pemuda ini, ia merupakan sebuah perjalanan dan pengalaman manis yang harus disimpan untuk dijadikan sebagai motivasi hidupnya.
Pernah memiliki berat badan mencecah 105 kg, hasil usahanya yang tidak pernah kenal erti penat, berjaya menurunkan berat badannya sehingga 73 kg! Ikuti sebuah bingkisan cerita menarik Zulkhairi, pemuda yang pernah digelar sebagai ‘gendut’.
Permulaan perubahan hidup
Berbicara tentang titik permulaan yang membuatkan dirinya ingin berubah, Zulkhairi ataupun lebih mesra dengan panggilan Zul, mengatakan bahawa dia mula berasa tidak selesa dengan keadaan dirinya ketika itu. Berat badannya yang mencecah sebanyak 105 kg menyebabkan dia sukar untuk melakukan aktiviti harian serta berasa kurang yakin dengan dirinya.
Diejek ‘gendut’ dan ‘monster’..
Menurut Zul, ketika badannya bersaiz besar, dia seringkali diejek oleh rakan-rakannya dengan panggilan ‘gendut’ dan ‘monster’. Jujurnya, ia merupakan momen yang amat memalukan dan menyebabkan dirinya hilang keyakinan diri.
Langkah diatur untuk mengubah kehidupannya ke arah yang lebih baik. Hanya dalam masa tiga bulan sahaja, Zul berusaha keras menurunkan berat badannya dengan melakukan rutin senaman yang teratur serta pelan diet yang sihat.
“Saya melalukan senaman lima hingga enam hari seminggu. Setiap hari saya akan membakar minimun 500 kalori dengan melakukan senaman berbentuk kardio. Selalunya, saya akan mengambil masa selama 45 minit hingga ke satu jam senaman bebasan bagi toning. Dari segi diet pula, sarapan pagi saya ialah roti bakar dua keping disapu bersama mentega dan kopi tanpa gula. Kemudian, bagi makan tengahari, saya akan mengambil nasi 1/2, bersama-sama sayur-sayuran dan ayam ataupun ikan bakar. Pada waktu malam, saya hanya makan buah-buahan sahaja untuk memastikan proses menurunkan berat badan saya berjaya”, terang Zul terperinci.
Jenis senaman yang dilakukan?
Menurut Zul, antara jenis senaman yang dilakukan sepanjang prosesnya menurunkan berat badan adalah seperti berlari dan berbasikal setiap hujung minggu, Sabtu dan Ahad. Bagi senaman jenis bebanan pula, dia akan melakukannya mengikut hari-hari tertentu, pada hari bekerja sahaja.
Tambahnya lagi, biarpun dia sudah berjaya menurunkan sebanyak 32 kg, namun dia mempunyai misi yang seterusnya untuk menurunkan peratusan lemak dari 14 peratus ke 11 peratus.
Cara untuk kekal motivasi?
Sudah terang lagi bersuluh, untuk menurunkan berat badan bukanlah perkara yang mudah. Ada kalanya, rasa malas menyelubungi diri sehingga kecundang lari dari tujuan.
Akui pemuda ini, dia juga seperti manusia biasa yang lain. Rasa malas itu sentiasa wujud ketika dirinya ingin menurunkan berat badan. Namun, dia cepat tersedar dari lamunan dan menuruskan misi yang ingin dicapai.
“Jujurnya, saya pernah berasa malas. Namun saya sering berpesan kepada diri sendiri untuk sentiasa menjaga kesihatan demi kehidupan saya dan juga kebaikan di masa hadapan. Jika saya ditakdirkan jatuh sakit, saya mungkin akan kurang berasa kecewa kerana saya telah mencuba sehabis baik untuk memiliki corak gaya hidup yang lebih sihat dari sebelum ini.”
Faktor dorongan perubahan diri?
“Diri saya sendiri merupakan faktor utama yang mendorong saya untuk berubah kerana mahukan yang terbaik. Malah antara perkara yang saya suka dan gembira apabila perubahan yang diusahakan ini membuahkan hasil ialah saya dapat memberi inspirasi kepada orang untuk berubah ke arah kebaikan. Nasihat saya kepada mereka yang ingin menurunkan berat badan, pilihlah aktiviti yang anda suka. Kawal pemakanan dan yang paling penting, jika anda ingin menurunkan berat badan, lakukan untuk diri sendiri. Bukan untuk org lain,” kongsinya menutupi kalam bicara penulisan ini.
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.
Bulan ini, Hijabista menghasilkan Majalah Hijabista Edisi Jawi menampilkan Nur Fazura sebagai penghias wajah hadapan. Menariknya, dengan setiap pembelian para pembeli akan menerima dua helai tudung istimewa.
Majalah ini boleh dibeli di laman Shopee Karangkraf Mall Official Store dengan harga RM29.90 sahaja. Berbaloi-baloi, beli majalah dapat pula dua tudung istimewa. Boleh dibeli di sini: Shoppe
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI