Ramai dikalangan kita yang mempunyai stigma bahawa permainan elektronik atau ‘game’ adalah satu perkara yang boleh melalaikan, melekakakan, tidak berfaedah dan hanya membuang masa!
Namun, hijabi pemilik nama Sharifah Alia Husna Syed Fakrurrozi atau lebih mesra disapa Aria ini telah membuktikan bahawa persepsi berkenaan adalah salah! Dan tidak benar sama sekali.
Ini demikian kerana beliau yang merupakan, atlet sukan elektronik (e-sukan) yang dikenali sebagai ‘Mobile Legends’ sebenarnya seorang hafizah al-Quran 30 juzuk pada usia 14 tahun dan juga sememangnya individu yang cemerlang dalam pendidikan!
Hijabista difahamkan bahawa Aria mula berkecimpung dalam dunia ‘gamers’ seawal usianya 16 tahun lagi. Lapor akhbar tempatan, Aria dahulunya adalah bekas pelajar Maahad Tahfiz Alquran Sri Al Amin Bangi itu, mengikuti jejak langkah abangnya yang juga bermain permainan elektronik Mobile Legends.
Lebih menarik lagi, apabila bakat Aria ini mula dihidu, serta mendapat sokongan dan dorongan penuh daripada ahli keluarganya agar dia melebarkan sayapnya dengan menyertai pelbagai kejohanan di dalam sukan e-sport kegemaranya itu.
“Pada mulanya memang takut tapi saya jenis yang suka meneroka perkara baru dan saya mula melibatkan diri dengan menyertai pelbagai kejohanan.
“Selepas beberapa kali masuk kejohanan, saya rasa macam seronok kalau boleh memang setiap minggu nak pergi masuk pertandingan walaupun kalah awal sebab kita nak cari pengalaman,” katanya.
Sekadar info, selain pencapaian mewakili Malaysia dalam acara Mobile Legends Wanita pada Sukan Sea Phnom Penh Kemboja 2023 dan mengahrumkan nama negara dengan membawa pulang pingat gangsa.
Aria juga merupakan seorang pelajar yang cemerlang, meski sibuk menyertai kejohanan dan berlatih dengan bermain ‘game’. Aria membuktikan bahawa dia tidak sesekali mengabaikan pelajaranya dan memperolehi keputusan 4.0 bagi lima semester berturut-turut dalam bidang Diploma Pengajian Perniagaan Kolej Professional Mara, Beranang.
Artikel berkaitan: Hijabi Ini Bangga Jadi ‘Pemain Bola’ Berhijab, Mahu Cetus Inspirasi Wanita Dunia!
“Pada pendapat saya, walaupun kita beragama dan berpendidikan tak semestinya kita boleh pandang rendah pada esports.
“Sebenarnya banyak manfaat bila kita bermain permainan elektronik seperti meningkatkan fokus, pengendalian masa, critical thinking, dan boleh jadi lebih disiplin.
“Selagi kita berjaya seimbangkan agama dan bermain game, saya rasa ia tidak menjadi masalah besar. Asalkan, kita masih ingat akan Allah dan laksanakan tanggungjawab kita sebagai umat Islam,” ujar Aria.
Justeru, Aria berharap agar generasi muda dapat mengambil inspirasi dan ikhtibar dari kisahnya. Khususnya golongan wanita dan hijabi di luar sana yang mempunyai minat sama sepertinya agar dapat keluar dari zon selesa dan menceburi bidang e-sports bertujuan untuk memajukan negara.
Sumber: Harian Metro
Artikel berkaitan: Hijabi Hafaz Quran Cetus Inspirasi! Raih Tempat Kedua Peperiksaan Acca Dunia!
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.