Pelakon popular Indonesia, Oki Setiana Dewi kelihatan begitu aktif di laman Instagram miliknya. Pasti ada sahaja aktiviti yang dilakukannya. Dalam masa yang sama, Oki juga turut melakukan dakwah dengan cara yang tersendiri. Senyuman manis yang terukir dibibir dengan kata-kata lembut yang dilontarkan sudah cukup membuatkan setiap individu terpaku dan terpesona melihatnya.
Oki merupakan salah seorang juri bagi program Gema Gegar Vaganza ini cukup popular dengan watak Ana dalam filem Ketika Cinta Bertasbih. Watak itu ternyata meninggalkan kesan yang cukup mendalam ke dalam hati penonton.
Ketika ditemui di Majlis Pelancaran Butik HIJUP di Malaysia yang lalu, Oki turut berkongsi kisah penghijrahannya kepada tetamu yang hadir. Cukup meruntun jiwa dan buat hati menjadi sebak. Apa tidaknya, kisah hijrah Oki rupanya mempunyai kaitan dengan penyakit yang dihidapi oleh ibunya.
Mula berhijab pada tahun 2005, Oki diduga apabila ibunya menghidap penyakit kulit yang agak parah dan dikatakan sudah tidak punya harapan untuk sembuh. Pada waktu itu, Oki tidak mempunyai wang yang cukup untuk membawa ibunya ke hospital.
Akhirnya dia bertanya kepada ibunya apakah bantuan yang boleh diberikan untuk meringankan beban ibunya.
Lalu ibunya menjawab, “Bantu ibu jadi anak yang solehah sahaja. Jadi anak yang baik dan taat kepada Allah sahaja. Tak perlu bantu yang lain.
”Memikirkan permintaan ibunya, akhirnya Oki mula berhijab pada tahun 2005 tanpa sebarang ilmu agama yang mencukupi. Itu merupakan ujian pertama di dalam hidupnya.
Setelah berhijab, Oki diduga lagi apabila mendapat tawaran lakonan yang memerlukan dirinya membuka hijab. Alhamdulillah, Oki tegas dengan pendiriannya dan tidak akan sesekali membuka hijab meskipun mendapat tawaran yang agak lumayan. Oki yakin Allah akan membantu jika dia mengikut jalan Allah.
Walaupun ibunya tidak mendapat rawatan di hospital, tetapi Allah telah membantunya secara perlahan-lahan untuk menjadi seorang hamba yang bertaqwa. Alhamdulillah, semoga Oki kekal istiqomah dan dikuatkan hati untuk menempuh segala dugaan Allah.
Tidak dapat dinafikan, HIJUP merupakan antara jenama Indonesia yang popular di Malaysia. Mengambil singkatan bagi ‘Hijab Up’, HIJUP.com merupakan laman web Indonesia yang mengetengahkan fesyen Islamik sejak tahun 2011 lagi. Berkonsepkan online mall, HIJUP.com menjual pelbagai jenis produk rekaan pereka fesyen muslimah Indonesia.
Menariknya, hjabi kini tidak perlu lagi beli menerusi online kerana HIJUP telah membuka butik fizikal pertama mereka di Malaysia yang terletak di Level G, The Curve, Mutiara Damansara. Dibuka sekitar awal Mei yang lalu, butik HIJUP sesuai untuk hijabi yang mahu tampil menawan dan bergaya dan dalam masa yang sama, masih mahu kekalkan gaya anggun dan sopan.