Berita

Perjalanan Sebagai Seorang Mualaf AYANA MOON Tidak Gentar Biarpun Ibu Bapanya Menentang

Share

Ayana Jihye Moon atau terkenal dengan panggilan Ayana Moon merupakan seorang mualaf yang juga selebriti cantik dari Korea Selatan. Sepanjang bergelar mualaf, Ayana Moon tidak gentar biarpun ibu bapanya menentang.

Kredit Foto: xolovelyayana

Ayana Moon yang dilahirkan di Korea Selatan pada 28 Disember 1995 meminati agama Islam sejak di bangku sekolah lagi. Datuknya yang sering melancong ke luar negara memberitahunya tentang Islam di Timur Tengah dan membuatkan Ayana Moon ingin tahu.

Pada masa itu, maklumat tentang Islam di Korea Selatan masih minima. Justeru, Ayana Moon mula mencari maklumat tentang Islam melalui internet.

“Saya cuba mencari tentang Islam di internet. Saya lihat mereka memakai pakaian longgar dan bertudung,” ujar Ayana Moon seperti dipetik daripada video YouTube peribadinya, Xolovelyayana.

Apabila Ayana Moon memasuki sekolah menengah, rasa ingin tahunya tentang Islam semakin mendalam. Dia memutuskan untuk mengambil bahagian dalam Kem World Assembly of Muslim Youth (WAMY) yang diadakan di Korea Selatan.

BACA JUGA: Kisah Inspirasi AYANA MOON Mualaf Cantik Dari Korea Selatan, Rela Hidup Miskin Untuk Belajar Islam

Selama tiga hari dua malam Ayana Moon mempelajari agama Islam dengan orang Islam di Korea. Gadis cantik ini tetap berani dan yakin untuk menyertai WAMY Camp walaupun ketika itu ibu bapanya sangat risau.

“Saya sudah cukup tahu tentang Islam, tetapi saya akui, saya takut dan bimbang kerana imej Islam di Korea teruk. Ibu bapa saya sangat risau apabila saya menyertai majlis itu,” jelasnya.

Ayana Moon bersama ibunya. Kredit Foto: xolovelyayana

Majlis berjalan lancar. Ayana Moon gembira mengikutinya sehingga tamat.

“Kem WAMY berjalan lancar dan saya banyak belajar tentang Islam,” katanya.

Selepas itu, Ayana Moon kerap mengikuti pengajian di masjid. Dia terus belajar tentang Islam ditemani seorang mentor.

Kredit Foto: xolovelyayana

“Pada masa itu saya semakin ingin tahu tentang Islam. Maka, saya mengambil bahagian dalam program setiap minggu di masjid. Saya bertemu mentor saya Uncle Amin, saya belajar banyak daripadanya,” kata Ayana Moon.

“Semakin saya belajar, semakin saya jatuh cinta dan ia membuatkan saya memeluk Islam,” tambahnya.

Ayana Moon memeluk Islam secara rasmi pada 2012 dan melafazkan syahadah di Korea.

Kredit Foto: xolovelyayana

“Apabila saya mengucapkan syahadah, saya hanya mampu menangis kerana suasananya sangat menyentuh perasaan,” kata Ayana Moon yang dipetik daripada video YouTube yang dimuat naik di saluran Oki Setiana Dewi.

IBU BAPA MENENTANG
Untuk mendalami lagi agama Islam, Ayana Moon mengambil keputusan untuk menyambung pengajian di Malaysia. Bagaimanapun, laluan Ayana Moon sebagai mualaf tidak selalunya mudah.

Keluarga gadis Korea ini tidak bersetuju dan bimbang dengan keputusannya untuk beragama Islam. Apabila dia ke Malaysia dan belajar di sana, keluarganya menghentikan sokongan kewangan.

Kredit Foto: xolovelyayana

Namun begitu, Ayana tetap teguh dengan pendiriannya. Dia mencari wang sendiri dengan bekerja sambilan untuk mencari rezeki di Malaysia. Dengan kegigihannya bekerja, Ayana bergelar selebriti dan bintang iklan terkenal di Malaysia serta Indonesia.

Sehinggalah beberapa tahun berlalu, keluarga Ayana Moon mula menerima bahawa dia telah menjadi seorang wanita Islam. Adiknya, Aydin Moon juga mengikut jejaknya bergelar mualaf.

Kredit Foto: xolovelyayana

“Selepas saya mengambil keputusan untuk menjadi Muslimah, saya rasa seperti mendapat hidayah. Kini saya sangat gembira, tenang dan redha dengan apa yang telah saya putuskan, alhamdulillah,” akhiri Ayana Moon.

Semoga Ayana Moon kekal istiqamah dan menjadi seorang Muslimah sejati.

Published by
Amy Mohd