Ibadah solat merupakan rukun Islam yang utama selepas dua kalimah syahadah. Pengertian solat dari sudut syarak bermaksud, solat itu merupakan beberapa ucapan atau perbuatan yang dimulai dengan takbir, disudahi dengan salam, dilakukan untuk beribadah kepada Allah dengan menurut segala syarat/rukun yang telah ditentukan.

APAKAH TUJUAN ANDA MENDIRIKAN SOLAT?
Tujuan mendirikan solat adalah untuk manusia sebagai hamba mengingati Allah selaku pencipta. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud;
“Sesungguhnya Akulah Allah, tiada Tuhan melainkan Aku. Sembahlah Aku dan dirikanlah sembahyang untuk mengingatiKU!” (Surah Taha: 14)

Diantara manfaat solat adalah untuk mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar. Dengan kata mudah, solat itu mampu menghalang seseorang melakukan kesalahan dan dosa. Firman Allah S.W.T dalam Al Quran yang bermaksud;

“Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.” (Surah Al Ankabut : 45)
Tetapi, kita lihat pada hari ini, ramai manusia yang solat, namun pada masa yang sama mereka tetap juga melakukan kemungkaran. Contohnya seperti tidak menutup aurat dengan sempurna, mengumpat, memfitnah, melakukan maksiat dan mencuri.

Walaupun kemungkaran itu kelihatan biasa, tetapi setiap daripada itu tetap diiringi dengan dosa. Lalu, mengapa ini boleh terjadi sedangkan Allah menegaskan dalam Al Quran bahawa solat itu mampu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar?

Adakah maksud Allah itu sekadar ditujukan kepada para Nabi dan Rasul semata? Jawapannya, tidak bukan begitu.

Percayalah. Semua yang dikatakan atau dijanjikan oleh Allah itu pastinya benar. Tidak akan ada satu pun kesilapan dalam penilaian Allah S.W.T.

IKLAN

Jika seorang manusia itu sudah melaksanakan solat tetapi masih tidak mampu meninggalkan perkara keji dan mungkar, maka ianya berpunca daripada diri manusia itu sendiri. Salah satu sebab utamanya adalah, kerana solat yang didirikan adalah tidak sempurna.

BAGAIMANA MENYEMPURNAKAN SOLAT
Diriwayatkan daripada Hatim Al-Ashom. Dia ditanya tentang solatnya. Maka dia menjawab;

“Ketika tiba solat, ku sempurnakan wudukku. Aku pergi ke tempat solat, aku diam sejenak kerana hendak mengumpulkan seluruh jiwaku, lalu, aku dirikan solat. Aku jadikan Kaabah di depan mataku, sirat dibawah tapak kakiku, syurga dikananku, neraka dikiriku, malaikat maut dibelakangku, dan kukira itu solatku yang terakhir. Kemudian, aku berdiri di antara berharap dan takut, aku takbir dengan bersungguh-sungguh, membaca dengan tartil, rukuk dengan tawadhuk, sujud dengan khusyuk, aku duduk tahiyat awal dan akhir dengan ikhlas dan aku tidak tahu, apakah solatku itu diterima ataupun tidak.” (Kitab Imam Al Ghazali dari terjemahan kitab Mukashafah Al Qulub)


Mari sama-sama kita perhatikan solat kita. Solat anak-anak kita. Ahli keluarga kita. Apakah selama ini, solat yang didirikan itu cukup sempurna untuk dihadiahkan kepada Ilahi? Ataupun sekadar solat kerana ianya wajib dilaksanakan atas tuntutan sebagai orang yang beragama islam semata?

IKLAN

SEMPURNA ATAU TIDAK SOLAT KITA
Cuba buat satu checklist. Sempurna atau tidak wuduk kita? Tahu atau tidak tentang rukun solat? Sudah betul dan lancarkah membaca Surah Al Fatihah?

Lakukan atau tidak perkara sunat dalam solat? Faham atau tidak maksud bacaan dalam solat? Bagaimana pula halnya dengan tomaqninah? Sempurna atau tergesa-gesa?

Walaupun solat itu dilakukan sebanyak 5 kali sehari, yakinkah kita bahawa solat itu diterima Allah S.W.T? Sedangkan usai solat saja, kita sudah berani mengumpat orang lain.

IKLAN

“Orang mendirikan solat diancam dengan neraka Wail, bagi yang melupakan tujuan solatnya, mereka solat hanya semata kerana manusia (riak) dan enggan membantu orang lain, yakni dengan solat yang tidak mampu mengubah sifat buruknya.” (Surah Al- Ma’un: 4-7)

PERBAIKILAH SOLAT
Wahai manusia! peliharalah solat. Perbaikilah solat. Kerana dengan solat yang khusyuk dan sempurna barulah solat itu dapat mencegah dirimu daripada melakukan hal keji dan mungkar.

Perbanyakkan menghadiri majlis ilmu yang mengajar tentang fekah, dalamilah ilmu agama dengan sebaiknya supaya boleh membersihkan hati dan ilmu yang dipelajari boleh diterapkan dalam diri sendiri,keluarga serta dalam kehidupan seharian.


Cubalah solat dengan seikhlas hati. Perhatikan bacaan, biasakan diri melakukan perkara sunat dalam solat, bacalah sambil menghayati maknanya sekali.
InsyaAllah kita akan dapati, bahawa kita tiada masa untuk mengingati perkara lain selain daripada Allah sahaja.

Berusahalah sedaya upaya untuk perbaiki solat kita dari semasa ke semasa. Sama ada Allah menerimanya ataupun tidak, bukanlah itu menjadi urusan kita. Yang paling penting, kita sudah pun melaksanakan perintah Allah dengan sesempurna mungkin.

Sumber kredit: tzkrh.com

Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI