Berita

“Perancangan Ke Hadapan Masih Panjang” DATO’ SRI SITI NURHALIZA Diiktiraf Sebagai Biduanita Negara

Share

Gelaran ‘Biduanita Negara’ yang diraih menjadi pengiktirafan terbesar bagi penyanyi nombor satu negara, Dato’ Sri Hajah Siti Nurhaliza Tarudin sepanjang 30 tahun penglibatannya dalam industri seni.

Kredit Foto: ctdk

Bintang legenda kesayangan ramai ini dinobatkan dengan gelaran itu selepas menerima Anugerah Khas Biduan Negara pada majlis Anugerah Seni Negara (ASN) 2024 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Rabu. Anugerah disampaikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan.

Kredit Foto: ctdk

Lebih membanggakan, DS Siti Nurhaliza merupakan individu keempat yang menerima Anugerah Biduan Negara selepas Allahyarham Saloma (1978), Allahyarham Datuk Sharifah Aini (2006) dan Allahyarham Tan Sri SM Salim (2013).

Kredit Foto: ctdk

DS Siti Nurhaliza tampil manis dan sopan dalam persalinan istimewa rekaan Ezuwan Ismail. Manakala wajahnya yang jelita dirias sempurna oleh jurusolek profesional tersohor, Epie Temerloh.

Kredit Foto: ctdk

BACA JUGA: “Dia Dah Siap Bertelekung Sebab Tunggu Waktu Solat” Pereka Fesyen EZUWAN ISMAIL Kongsi Momen Belakang Pentas Konsert Siti Nurhaliza

Tatkala berkongsi momen gembira itu dengan para peminat dan pengikutnya, platform media sosial milik penyanyi berusia 45 tahun ini dihujani ucapan tahniah serta pujian.

“Lafaz syukur dan setinggi penghargaan saya kepada semua pihak yang telah memberikan kepercayaan untuk saya menerima anugerah ini.

“Jujur dari lubuk hati terdalam, perancangan ke hadapan masih panjang, sejauh mana pun karier ini dilalui, saya memahami akar yang kuat mengikat hati dan jati diri.

“Terima kasih di atas doa dan ucapan daripada semua pihak, platform dan individu, saya dengan rendah hati mendoakan agar kita semua dikurniakan kebaikan dunia akhirat.”

DS Siti Nurhaliza turut berterima kasih kepada semua yang mendukung dan melihat detik jatuh bangunnya sebagai anak seni.

“Alhamdulillah. Dengan penuh kerendahan diri, saya bersyukur kehadrat Allah swt di atas apa yang dipinjamkan kepada saya selama ini. Terima kasih buat semua yang melihat jatuh bangun saya dan berada mendukung karier saya dalam apa jua keadaan.”

Kredit Foto: ctdk

Memetik kata-kata DS Siti Nurhaliza ketika memberikan ucapan pada majlis berprestij itu, seni bukan semata-mata untuk mencipta nama tetapi dapat mendekatkan dirinya dengan masyarakat.

“Saya berpeluang bertemu peminat dari pelbagai bangsa dan latar belakang termasuk memperkenalkan Malaysia apabila membuat persembahan di luar negara. Saya bersyukur kerana karier seni ini mematangkan diri saya seterusnya memberikan inspirasi serta pengaruh yang baik kepada masyarakat.”

Kredit Foto: ctdk

DS Siti Nurhaliza turut menyatakan komitmennya untuk terus memberikan yang terbaik demi industri seni tanah air.

“Insya-Allah saya akan terus memberikan yang terbaik untuk industri muzik tanah air dan bawa muzik kita ke peringkat lebih jauh lagi, lebih tinggi,”

ujarnya.

Selaku penerima Anugerah Khas ASN 2024: Biduan Negara beliau menerima wang tunai RM30,000 di samping kain songket, watikah serta trofi dan status sebagai Seniman Tamu.

 

Published by
Amy Mohd