Penting Tidur Sekejap Supaya Jasad Tak Letih, Ibadat Tak Lesu, Kerja Pun Menjadi Tapi Kenapa Syaitan Marah

Share

Ada segelintir yang beranggapan tidur sebentar pada waktu siang adalah tabiat buruk atau dikaitkan dengan sikap malas, sedangkan tabiat lelapkan mata seketika iaitu sekitar 15 minit hingga ke 30 minit boleh mengembalikan kecergasan jasmani dan mental sebelum menyambung semula rutin harian.

National Sleep Foundation Amerika Syarikat menggalakkan amalan tidur sedemikian yang dipraktikkan beberapa tokoh negara itu seperti John F Kennedy, Ronald Reagan, Albert Einstein, Thomas Edison dan George W Bush selain Napoleon.

Berikut perkongsian Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

TIDUR SEKEJAP UNTUK JADIKAN SYAITAN MARAH?

Kelas lepas zohor jam 2 petang sangat mencabar minda kerana cuaca yang membahang dan tubuh yang sudah keletihan dek seharian berkerja. Oleh itu, ambil-lah waktu seketika untuk tidur pendek. Ia dipanggil qaylulah atau tidur pendek pada waktu tengahari terutama sekali sebelum zohor. Tambahan pula Waktu tidur siang ini diiktiraf sendiri oleh Allah dalam firman-Nya:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لِيَسۡتَـٔۡذِنكُمُ ٱلَّذِينَ مَلَكَتۡ أَيۡمَٰنُكُمۡ وَٱلَّذِينَ لَمۡ يَبۡلُغُواْ ٱلۡحُلُمَ مِنكُمۡ ثَلَٰثَ مَرَّٰتٖۚ مِّن قَبۡلِ صَلَوٰةِ ٱلۡفَجۡرِ وَحِينَ تَضَعُونَ ثِيَابَكُم مِّنَ ٱلظَّهِيرَةِ وَمِنۢ بَعۡدِ صَلَوٰةِ ٱلۡعِشَآءِۚ ثَلَٰثُ عَوۡرَٰتٖ لَّكُمۡۚ لَيۡسَ عَلَيۡكُمۡ وَلَا عَلَيۡهِمۡ جُنَاحُۢ بَعۡدَهُنَّۚ طَوَّٰفُونَ عَلَيۡكُم بَعۡضُكُمۡ عَلَىٰ بَعۡضٖۚ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمُ ٱلۡأٓيَٰتِۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٞ

Ertinya: Wahai orang yang beriman, hendaklah hamba kamu dan anak yang belum baligh dalam kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa; (iaitu) sebelum solat subuh, DAN KETIKA KAMU MEMBUKA PAKAIAN KERANA KEPANASAN TENGAH HARI (UNTUK BEREHAT ATAU TIDUR), dan sesudah sembahyang Isyak; itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya).

Kamu dan mereka tidaklah bersalah kemudian daripada tiga masa yang tersebut, (kerana mereka) orang yang selalu keluar masuk kepada kamu, dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu dengan yang lain. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-Nya (yang menjelaskan hukum-Nya); dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (al-Nur 24:58).

Tidur ini juga akan memulihkan tenaga dan menjadikan syaitan marah. Marah? Sabda Rasulullah SAW:

قِيلوا فإنَّ الشَّيطانَ لا يَقِيلُ

Ertinya: Tidurlah seketika (pada waktu tengahari) kerana sesungguhnya syaitan tidak tidur pada waktu tengahari (Mu’jam Kabir Imam al-Tabrani).

Menurut Dr Umar Sulayman dalam bukunya – Alam Jin dan Syaitan – satu cara melawan syaitan adalah dengan menyanggah kebiasaan mereka. Antara kebiasaan mereka adalah tidur siang. Sama juga seperti menggunakan tangan kanan untuk makan serta minum kerana menurut Sebuah hadith mereka biasa berurusan dengan tangan kiri.

Apa pula signifikannya tidur siang dengan kemarahan syaitan? Mudah sahaja. Syaitan adalah musuh manusia dan mereka suka sekiranya manusia pasif keletihan. Apabila jasad letih, ibadat pun lesu, kerja pun serba tak menjadi. Apabila tubuh segar pencapaian akan lebih menyerlah. Tidur ini juga boleh menjadi bekal badan untuk bangun solat malam nanti.

Sumber kredit: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Published by
Norhasliza