Penting Pilih Warna Tudung Ikut Tona Kulit Bukan Asal Pakai Walaupun Tak Sesuai

Share

Penting untuk memilih warna tudung yang sesuai mengikut tona kulit. Bukan semua warna sesuai dengan setiap orang. Tidak dapat dinafikan memadankan tudung dengan baju adakalanya sukar.

Sebenarnya ada tip khusus untuk membantu wanita memilih tudung. Tip paling kerap dikongsi ramai adalah berkait dengan suhu tona kulit.

Kenali tona kulit sendiri dengan mengenakan perhiasan emas dan perak. Jika rona emas lebih menaikkan seri pemakai, bermakna anda mempunyai suhu tona panas dan jika warna perak untuk suhu tona sejuk.

Bagi yang memiliki suhu tona panas, anda digalakkan memilih warna terang seperti merah, oren dan pic. Pilih tudung daripada fabrik jenis sifon yang bersifat lembut dan polos tanpa corak untuk panduan lebih tepat.

Sekiranya anda memiliki suhu tona sejuk, pilih warna asas seperti biru, hijau dan ungu. Tona sebegini lebih sesuai untuk menaikkan seri di wajah. Paduan warna biru royal dan putih pastinya membuatkan anda lebih nampak ‘outstanding’ dan versatil!

BERIKUT TIP MEMILIH WARNA TUDUNG MENGIKUT TONA WARNA KULIT 

1. KULIT GELAP/HITAM MANIS

Wanita berkulit gelap bukan tidak cantik tapi bijak memilih padanan warna yang sesuai bakal menyerlahkan lagi tona kulit anda.

Untuk hijabi yang berkulit gelap, anda sesuai dengan warna-warna pastel atau keemasan kerana warna ni mencerahkan lagi kulit anda.

Semestinya anda yang berkulit gelap lebih cerewet dalam pemilihan warna tudung. Oleh itu  anda harus mengelakkan warna tudung yang gelap seperti hitam dan coklat. Hal ini kerana warna ini membuat kulit anda nampak lebih malap.

2. KULIT SAWA MATANG

Untuk anda yang berkulit sawa matang, pemilihan warna pastel dan warna gelap merupakan pilihan yang terbaik kerana akan membuatkan kulit anda cerah dan ayu. Misalnya warna pink belacan dan biru gelap dapat menyerlahkan kulit anda.

Awas! Warna yang harus anda elakkan adalah warna yang terlampau lembut atau cair kerana warna tersebut boleh menyebabkan kulit anda kelihatan bertambah gelap.

3. KULIT KUNING LANGSAT
Untuk anda yang berkulit kuning langsat, anda sesuai mengayakan warna-warna cerah seperti kuning ataupun biru cair. Hal ini kerana warna tersebut menambahkan seri wajah anda dan menyebabkan kulit anda segar sekaligus menaikkan seri kecantikan anda. Elakkan warna oren ataupun warna krim kerana warna tersebut akan membuatkan anda kelihatan pucat.

4. KULIT PUTIH
Untuk anda yang berkulit putih biasanya anda sesuai dengan kebanyakan warna. Tak kisah warna gelap ataupun cerah. Warna ang paling sesuai untuk anda adalah warna-warna solid seperti merah, hijau dan hitam.

Jangan disangka orang yang berkulit putih tiada masalah dalam pemilihan warna tudung. Ada juga warna yang harus dielakkan iaitu warna yang terlampau lembut seperti baby blue ataupun soft pink. Ini kerana ia akan menyebabkan kulit anda bertambah pucat. Warna putih juga harus dielakan.

Pemilihan warna yang tepat dan sesuai sangat penting bukan sahaja untuk kelihatan cantik tapi untuk mengekalkan mood seharian.

Sumber kredit: Scarfsweethoney

Published by
Norhasliza