Kata orang, sediakan payung sebelum hujan. Terkesan dengan apa yang terjadi kepada masyarakat Greece dan di Malaysia sendiri pada ketika ini menyaksikan nilai mata wang ringgit menjunam jatuh, kita harusnya sedar akan kepentingan membuat simpanan lain selain daripada simpanan tunai di bank semata-mata. Simpanan emas antara yang paling disyorkan dan ayuh ketahui setiap kelebihan dan keistimewaan yang bakal diperoleh.
#1 – Emas Kalis Inflasi
Ketika zaman Nabi dahulu, 1 dinar (emas 4.25 gram) boleh membeli seekor kambing. Sekarang ini, harga 1 dinar sekitar RM670. Secara relatifnya, ia masih mampu membeli seekor kambing. Andaikan 30 tahun dulu, anak-anak sekolah boleh membawa duit 50 sen sehari, cukup untuk mereka makan kenyang. Tetapi hari ni, 50 sen itu hanya mampu untuk beli segelas air sirap sahaja. Nampak atau tidak kesan inflasi ke atas emas berbanding duit kertas?
– Maka analoginya 1 dinar seekor kambing zaman nabi Nisbah emas 1 dinar dengan kambing, tak berubah sampai bila-bila. Nilainya terletak pada fizikalnya. Tapi di manakah pula nilai sebenar duit kertas?
#2 – Senang Ditukar Kepada Tunai
Emas senang ditukar kepada tunai. Sebenarnya, emas seperti duit tunai juga. Ia aset fizikal yang paling mudah dicairkan. Bila menyimpan emas, kita tak perlu risau kalau-kalau mahu menggunakan duit. Emas tersebut boleh dijual pada bila-bila masa, dan di mana sahaja. Kalau membawa emas itu ke luar negara pun, ia tetap laku. Ia “international money” yang diterima sejak zaman berzaman. Sekiranya sayang untuk menjual emas tersebut, anda boleh pajak di Ar-Rahnu untuk dapatkan pinjaman. Selepas itu cari semula wang untuk tebus kembali emas itu.
#3 – Kekayaan Di Tangan Kita
Bila simpan emas, hakikatnya kekayaan itu ada di tangan kita sendiri. Apa pun berlaku di luar sana, selagi emas tersebut ada di tangan kita, kekayaan itu memang ada dengan kita sendiri kerana nilai emas terletak pada berat dan ketulenan emas itu sendiri. Berbeza dengan duit kertas. Nilai sebenar duit kertas bukan pada kertasnya, tapi ia terletak pada jaminan kerajaan, kestabilan ekonomi dan politik negara.
**Opps!
Masih ingat akan duit syiling RM1 dulu? Bank Negara telah membuat penetapan, ia tak lagi sah untuk digunakan sebagai duit hari ini. Ia hanya sekeping logam yang tidak lagi bernilai.
#4 – Boleh Dijadikan Modal Pusingan
Bila membuat simpanan duit di bank, sebenarnya duit kita itu dipusing oleh bank dengan memberikan pinjaman kepada orang lain (atau kepada kita sendiri!) dengan caj keuntungan yang tinggi. Bank-bank mempunyai sasaran mereka sendiri. Mereka mesti pinjamkan duit itu untuk menjana keuntungan. Kerana itu bank pun mempunyai ‘sales person’ sendiri untuk ‘jual’ pinjaman-pinjaman mereka.
– Berbeza dengan emas. Kita boleh pusing kekayaan kita sendiri. Bagi orang berniaga, emas tersebut boleh dijadikan modal pusingan. Bila perlukan duit untuk ‘rolling’, pajak sahaja emas itu di Ar-Rahnu untuk dapatkan pinjaman. Apabila selesai urus niaga, tebus semula emas itu. Akhir sekali, kita masih ada emas (yang dijadikan modal pusingan) dan keuntungan tunai (hasil bisnes). Dan yang paling penting, duit modal kita tidak akan bocor.
#5 – Emas Aset Mudah Alih
Emas ialah aset fizikal yang paling mudah alih. Kalau membeli tanah atau rumah-rumah sewa, ia memang tidak boleh dialihkan. Kalau mahu menjual pun, ia memakan masa untuk terjual. Ia berbeza dengan emas. Katakanlah anda bertugas di pedalaman Sabah, tiba-tiba dapat berpindah balik ke Semenanjung, anda boleh membawa pulang emas-emas tersebut. Kalau berpindah lagi, kita boleh bawa emas itu ke mana sahaja.
**Tahu atau tidak?
Masa peperangan panjang antara US dan Vietnam, ramai rakyat Vietnam lari meninggalkan negara dan menjadi pelarian. Mereka menjual segala harta yang ada dan ditukarkan kepada kepingan-kepingan emas yang dinamakan Vietnam Kim Thant. Kepingan emas tu bentuknya nipis. Mereka boleh sorokkan di dalam jahitan baju. Bila sampai ke negara lain, mereka boleh memulakan hidup baru bermodalkan emas yang mereka bawa. Pada saat peperangan begitu, pastinya duit kertas tak lagi bernilai.
.#6 – Kekayaan Bertahan Lama
Antara sebab kenapa pentingnya simpan emas ialah kekayaan kita akan bertahan lebih lama. Salah satu rahsianya, emas boleh dijadikan sebagai “simpanan untuk dilupakan”. Simpan dan lupa. Dari sudut kewangan, kita harus mempunyai “simpanan untuk dilupakan”. Kalau selalu teringatkan simpanan yang ada, simpanan itu takkan bertahan lama kerana rasa keinginan mahu berbelanja.
– Kesan psikologi berbeza bila simpan emas. Dari sudut psikologi, bila simpan emas, kita rasa sayang untuk menjualnya. Naluri manusia sejak zaman berzaman memang suka kumpul emas sebab ia cantik. Berbeza dengan duit kertas. Seronoknya emas terletak pada kaedah mengumpul dan menyimpannya, tapi seronoknya duit terletak pada cara membelanjakannya. Tak ada orang simpan emas yang fikir mahu belanjakan emas mereka, tapi orang yang simpan duit mesti terfikir-fikir, di mana hendak dibelanjakan duit itu! Jadi itulah sebab kenapa bila simpan emas, kekayaan kita lebih bertahan lama.
SUMBER: www.mohdzulkifli.com