Selain suami dan keluarga, orang yang gembira menerima berita kehamilan Datuk Siti Nurhaliza (DCT) hamil adalah pengurusnya yang juga kakak ipar, Rozi. Wanita kecil molek inilah yang selama ini menguruskan kerjaya seni sejak beliau masih anak dara lagi hingga sekarang. Di mana ada Siti pasti kelibat Rozi juga akan ada di sisinya. Cuma setelah Siti berkahwin, Rozi hanya akan menemani jika ada urusan membabitkan kerjaya seninya.
Sebelum itu, Rozi ketika hari sama Siti mengumumkan dirinya hamil, dia mengucap rasa lega setelah sebelum ini berfikir cara paling baik berkongsi berita kehamilan Siti dengan semua peminatnya. Malah Rozi turut memohon maaf sekiranya ada yang tak diundang kerana majlis kesyukuran itu hanya kecil sahaja dan sekadar mahu memberitahu perkembangan terkini DCT.
Dan sebagai insan paling rapat dengan Siti, pastinya beliau banyak menyimpan rahsia penyanyi nombor 1 negara ini. Hubungan mereka cukup akrab, tidak hanya sebagai pengurus dengan artis dan juga adik ipar juga kakak ipar, tetapi lebih dari itu.
Semalam juga Rozi telah mendedahkan di laman instgram pengorbanan dan usaha penyanyi tershor ini selama 11 tahun untuk hamil. Ternyata sepanjang tempoh itu seperti wanita lain, Siti tidak pernah berputus asa untuk mencuba menjalani pelbagai rawatan kesuburan.
Bukan senang untuk hamil kerana dalam masa sama Siti juga perlu menjaga penampilan badannya agar kekal menarik setiap kali ada persembahan pentas. Jika ada konsert besar, Siti akan meninggalkan rawatannya dan memberi komitmen dengan kerjanya. Kita melihat Siti aktif melakukan pelbagai kerja dan dalam masa sama sebenarnya dia sedang dalam rawatan. Walaupun jika keputusan diterima negatif, Siti akan kembali bekerja seperti biasa.
Begitu besar sekali pengorbanan Siti untuk mendapatkan zuriat. Biarpun dirinya mahukan anak, tetapi dalam masa sama Siti juga tidak mahu menghampakan peminat yang setia menyokongnya dan terus bekerja sebagai penghibur. Berkat kesabaran dan doa, akhirnya Siti disahkan hamil empat bulan dan ia merupakan anugerah ‘agung’ daripada Allah SWT.
Ikuti luahan Rozi ini dan sejak berita Siti hamil tersebar ramai wanita yang menghubungi Siti bertanyakan mengenai rawatan yang dilakukan. Ia bagai memberi harapan bagi wanita yang masih belum dikurniakan cahayamata lagi.
Sebelum @ctdk berkahwin, kami merancang untuk bercuti ‘pantang’ bersama-sama. Maklum saja, kami sering bekerja bersama dan bercadang untuk bercuti pantang juga bersama. Memang agak lucu tetapi begitulah perancangan kami.
Bulan demi bulan, tahun demi tahun, belum ada rezeki beliau untuk dikurniakan cahayamata dan anak bongsu saya juga kini sudah berusia 10 tahun. Saya ringkaskan cerita panjang @ctdk, beritahulah apa saja cara, namakan petua dan rawatan, sebut saja kaedahnya, beliau terus mencuba, ya, tanpa henti.
Bila orang bercakap tentang saiz badannya selepas berkahwin, saya kata, wanita di luar sana mesti faham. Tubuh wanita pasti akan mengalami perubahan saiz kerana inilah proses rawatan kesuburan, mungkin anda boleh ‘google’ jika mahu mengetahui lanjut namun saya tahu, ramai yang faham dan maklum.
Tidak timbul soal tidak diet dan sebagainya, malah beliau aktif beriadah, senaman dan menjaga pemakanan (sesuai saranan doktor) namun dalam masa yang sama rawatan ini juga memungkinkan saiz badan akan bertambah.
Beliau berkorban jika ada acara besar seperti konsert, mengenepikan rawatan dan kembali melangsingkan badan untuk lebih ‘presentable’ di atas pentas. Kemudian beliau mencuba lagi, lalu kembali fokus kepada acara besar dan meninggalkan sebulan dua rawatan. Begitulah rutin beliau selama 11 tahun ini.
Bukan sekali dua beliau berehat, namun kami bijak mengatur jadual lalu beliau kelihatan selalu aktif, walhal sedang di dalam rawatan. Apabila keputusannya negatif, beliau kembali bekerja seperti biasa.
Inilah pengorbanan wanita, demi mendapatkan cahayamata dan zuriat. Berita beliau hamil telah menggerakkan ramai wanita di luar sana menghubungi dan bertanyakan tentang rawatan yang @ctdk lakukan. Berita ini memberikan semangat dan harapan kepada wanita-wanita yang belum dikurniakan cahayamata. Nikmat sabar itu indah. Teruslah berusaha, setiap apa yang Allah uji kita ada hikmahnya.
SUMBER & KREDIT FOTO: INSTAGRAM ROZI SANG DEWI
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI