Berpeluang menuntut ilmu di negara orang adalah satu pengalaman yang sangat bermakna dan tidak dapat dilupakan buat sesiapa yang mendapat peluang sebegitu. Tidak semua di antara kita yang mendapat kesempatan begini jadi peluang yang sudah ada di depan mata haruslah dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.
Begitulah yang boleh kita kaitkan dengan kisah Amira Alisha Azhan,23, pelajar perubatan tahun enam di Jordan. Mesra dipanggil Alisha, Rezeki menimba ilmu di sana ternyata membuka banyak peluang untuk dirinya dan rakan-rakan untuk menjelajahi banyak negara selepas tamat musim peperiksaan.
“Saya selalu melancong bersama sekumpulan rakan saya ke destinasi pilihan selepas pada cuti musim panas atau musim salju. Kebiasaannya pada musim salju. Jadi kita akan pergi bercuti bersama-sama untuk menghilangkan tekanan selepas penat menelaah untuk peperiksaan.
“Kami juga akan mencari kesempatan untuk bercuti sewaktu mahu pulang ke Malaysia. Kadang kala transit untuk menunggu penerbangan pulang ke tanah air boleh mengambil masa yang lama. Oleh itu, saya dan rakan akan meneroka dahulu negara orang sementara menunggu waktu berlepas. Contohnya, pada waktu itu kami sempat ke Qatar, bak kata orang, sambil menyelam minum air!” ujar gadis yang berasal dari Shah Alam ini.
TAK SANGKA TERKENA DENGAN PENYELUK SAKU
Semakin banyak tempat yang diterokai maka semakin banyak jugalah cabaran yang perlu dihadapi. Alisha juga turut tidak terlepas daripada menerima dugaan sewaktu bercuti. Ceritanya, dia pernah dua kali mengalami insiden malang berkenaan si penyeluk saku dimana dia mengalaminya dua kali berturut-turut dalam satu trip percutian yang sama.
“Kejadian pertama yang berlaku sewaktu berada di Rome, Itali, saya memang tidak sedar beg duit saya yang mengandungi kad pengenalan, visa Jordan, wang, kad pelajar, kad bank semuanya hilang dikebas oleh si penyeluk saku. Itu sememangnya mengajar saya untuk menjadi lebih berhati-hati agar menjaga barang berharga dengan sebaik-baiknya dan tidak membawa beg duit ketika bercuti,” jelas anak sulung daripada empat beradik ini.
Namun, siapa sangka insiden malang itu berulang lagi dua hari selepas itu. “Saya tidak sangka kejadian sebegini menimpa diri saya sekali lagi. Ketika itu saya berada di stesen keretapi di Barcelona,Sepanyol. Saya sudah belajar daripada kejadian yan berlaku sebelumnya dengan memasang kunci pada beg tetapi entah bagaimana mereka ini terlalu licik.
Ads
“Mereka ini (penyeluk saku) membuat drama ataupun prank di situ seolah-olah keretapi itu tersekat hingga menimbulkan kekecohan. Ramai yang menjadi konco-konco mereka ini sebenarnya dan akhirnya mereka berjaya mencuri kaca mata hitam saya dari dalam beg tanpa saya sedari,” tambahnya lagi.
Bercerita mengenai kenangan manis, bagi Alisha itu sememangnya sukar untuk dijelaskan kerana terlalu banyak memori manis yang dilakar sewaktu bercuti ini. “Bagi saya, apa yang membuatkan saya gembira itulah kenangan manis. Misalnya apabila saya dapat melihat sesuatu yang baru, yang lain daripada apa yang ada di negara kita, benda yang boleh kita belajar seperti budaya masyarakat mereka, pemandangan negara yang cantik, jadi semua itu menjadi momen manis buat diri saya.
“Memang pengalaman sebegitu kita akan dapat juga jika kita melancong bersama keluarga tetapi ada sesetengah perkara yang keluarga kita tidak berminat atau tidak mahu lakukan contohnya menaiki permainan roller-coaster. Orang tua kita pasti agak keberatan untuk mencuba permainan sebegini berbanding dengan anak muda,” ujar hijabi yang bakal bergelar doktor ini.
Selain itu, Alisha juga turut menjelaskan banyak perbezaan dan cabaran yang dihadapi di antara melancong bersama kawan ataupun bersama keluarga. “Jika kita melancong bersama teman, kita haruslah betul-betul berdikari dan pastinya akan lebih berkira-kira mengenai soal bajet berbanding bercuti bersama keluarga.
“Jika bersama kumpulan rakan, kita harus berusaha dengan lebih lagi contohnya mencari tempat tinggal berpandukan alamat yang diberi, menjadi bagpackers, ataupun mengheret beg dari satu tempat ke satu tempat. Kita juga perlulah pandai dan tahu berkomunikasi dengan orang sekeliling dalam mencari arah makanan.
“Satu lagi cabaran jika kita travel bersama rakan pastinya berkenaan duit. Jika bercuti dengan keluarga, pastinya kita tidak perlu risau kerana ibu bapa akan menyediakan segalanya tetapi jika bersama teman, kita perlu bijak untuk menguruskan wang supaya boleh survive di negara orang. Inilah saat yang kita akan sedar besarnya nilai duit itu dan akan rasa sayang untuk menggunakannnya. Di sinilah kita akan mengeluarkan bajet mengikut kemampuan kita,” jelasnya lagi.
Ads
MENUNTUT ILMU WAKTU KEMBARA
Mengenai peranan setiap individu dalam sesebuah kumpulan ketika bercuti, Alisha menjelaskan caranya mungkin berbeza dengan kumpulan lain di luar sana. Jika mengikut cara dia dan kumpulannya, mereka akan membahagikan tugas tersebut mengikut hari. Misalnya, setiap orang dalam kumpulan itu akan mengambil tugas sebagai ketua untuk sehari dan ketua inilah yang akan menentukan destinasi dan aktiviti yang akan mereka pergi dan lakukan pada hari tersebut.
“Ketua ini juga perlulah mengetahui cara dan bagaimana itu ke lokasi berkenaan. Seperti pengangkutan apa yang perlu dinaiki dan lain-lain. Bagi saya dan kumpulan saya, kami mewajibkan untuk seorang ketua ini mengetahui sedikit ilmu mengenai tempat yang akan diterokai. Sebagai contoh, sewaktu kami ke Granada, Sepanyol, ketua ini perlu mengetahui sejarah tempat itu dan menerangkannya kepada kumpulan. Itulah yang kami amalkan,” kata bekas penuntut MRSM Tun Ghafar Baba ini.
Sememangnya cara yang diamalkan oleh Alisha dan kumpulan rakan percutiannya ini sangat membuka mata semua. Tidak hanya sekadar bercuti, ilmu juga boleh dikutip sewaktu melihat kebesaran ciptaan Tuhan.
SELESA BERCUTI DENGAN KUMPULAN SAMA
Banyak destinasi yang telah diterokai bersama rakan-rakannya seperti Turki, Sepanyol, Itali, Sweeden, Norway, Denmark, Qatar dan Saudi Arabia. Alisha juga mengakui sering bercuti dengan rakan-rakan yang sama kerana sudah selesa begitu dan kebiasaaannya hanyalah mereka bertiga sahaja.
Ads
“Saya selalu bercuti dengan orang yang sama kerana bila kita hendak bercuti ini kita perlulah mencari orang yang kita selesa bersama. Mereka yang sudah faham bagaimana perangai diri kita yang sebenar supaya percutian itu menjadi seronok kerana masing-masing sudah memahami antara satu sama lain.”
Tambahnya, dalam sesebuah kumpulan ini, perlulah ada banyak give and take untuk mengelakkan perselisihan faham. Disebabkan itu jugalah perlunya kita mencari teman bercuti yang betul supaya tiada masalah yang tidak dingini yang berpunca daripada seseorang individu itu berlaku di kemudian hari.
Alisha juga menjelaskan banyak manfaat yang boleh diterima sewaktu bercuti bersama kumpulan ini. “Menerusi cara ini, kita dapat belajar cara untuk berdikari di negara orang. Selain itu, kita juga akan lebih mengenali siapa rakan kita yang sebenar. Jujurnya, saya merasakan kita akan menjadi lebih rapat lagi dengan rakan kita selepas tamat waktu percutian itu.
KENALI SIAPA RAKAN KITA YANG SEBENAR
“Seterusnya, kita akan belajar bagaimana untuk menguruskan duit dengan bijak tetapi pada waktu yang sama dapat menikmati waktu percutian itu dengan sebaik-baiknya. Kita juga akan menjadi lebih prihatin dengan keadaan rakan kita jika mereka kurang berminat dengan aktiviti yang dicadangkan. Inilah pentingnya komunikasi dan pentingnya untuk kita memahami perasaan orang sekeliling,” luahnya lagi.
Sebelum mengakhiri perbualan, peminat setia warna merah jambu ini sempat menitipkan pesanan buat hijabi di luar sana yang ingin merancang percutian bersama. “Nasihat saya untuk gadis-gadis di luar sana, rancanglah percutian dengan sebaik mungkin. Kita boleh juga untuk ‘redah’ sahaja tapi lebih baik kita merancang dahulu dengan menyediakan jadual.
“Namun, kita tidak bolehlah menjadi terlalu rigid dengan mengikut jadual itu bulat-bulat sebab kita perlu ingat kita tidak tahu apa, musibah yang akan tiba-tiba berlaku di sana. Jadi kita perlu pandai membuatkan masa kita lebih flexible.
“Sememangnya tiada masalah pun untuk kaum perempuan untuk bercuti bersama asalkan kita tahu menjaga dan mengawal diri. Tahu batas kita supaya tiada masalah yang akan timbul. Selagi ada peluang untuk melancong, pergilah. Melancong bukan hanya membuka mata tetapi mampu menjadikan kita menjadi seorang yang lebih matang. Yang paling penting sekali, ingatlah bahawa kita ini hanya mampu merancang namun sebaik-baik perancang hanyalah Sang Pencipta,” tuturnya menutup bicara.
Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA! Download seeNI sekarang!
Pelakon cantik berasal Indonesia, Citra Kirana kini sudah berhijab. Apabila menonton sinetron Indonesia, Citra Kirana pasti salah seorang pelakon yang melakon watak wanita berhijab. Adakah itu titik permulaan buat Citra Kirana memilih untuk memakai hijab?
Sudah tentu penghijrahan hijab wanita muslim itu di terima baik pada kalangan kita. Menurut Citra Kirana, dia memakai hijab selepas sahaja pulang daripada umrah. Ternyata, doanya di sana menjadi kenyataan. Selepas sahaja pulang menunaikan umrah, Citra mula berjinak memakai hijab tanpa paksaan. Menurut Citra, memakai hijab merupakan keputusan yang besar pernah dibuat olehnya. Selain itu, Citra turut menyatakan beliau rasa tenang apabila memakai hijab berbanding tidak memakai hijab.
“Saya berhijab apabila pulang dari umrah. Saya rasa tenang apabila berhijab dan terasa selamat. Keluarga dan ibu bapa saya berasa tenang apabila melihat saya memakai hijab.
“Pujian demi pujian saya terima apabila memakai hijab malah banyak rezeki yang masuk terutama sekali dari segi pekerjaan,” ujar Citra kepada pemberita Wolipop.
Menurut Citra Kirana, dia bersyukur apabila masih diberi tawaran berlakon yang banyak. Pada awalnya, Citra beranggapan dia tidak akan mendapat kerja kerana batasan apabila memakai hijab. Ternyata dia silap. Selain itu, pelakon sinetron itu juga berpeluang berlakon bersama suaminya yang juga seorang pelakon, iaitu Rezky Aditya. Citra juga dapat banyak kerja seperti model muslimah.
Hatinya terasa ingin memakai hijab apabila Citra perasan banyak watak yang dilakonkan itu memerlukan dirinya untuk memakai hijab. Selain itu, Citra Kirana juga menyatakan hasrat syukur pada Allah kerana selepas sahaja memakai hijab, banyak urusannya dipermudahkan Malah, berhijab juga membantu dirinya menjadi lebih baik dari dirinya sebelum ini.
“Kerana niat saya adalah kerana Allah, jadi segala dipermudahkan. Saya sangat senang dengan keputusan ini.
“Allah sudah atur segalanya. Banyak pekerjaan saya terima setelah memakai tudung. Ia terasa seperti rezeki mengalir tanpa henti. Selain itu, hubungan antara saya, anak dan suami juga menjadi lebih rapat,” kata Citra Kirana
Akhir kata, penghijrahannya berhijab tidak menghalang dirinya berada di dalam dunia industri. Menurut Citra, dia hanya perlu menjaga batasnya sahaja. Citra gembira kerana doa yang dia inginkan telah dimakbul dan berharap agar dia akan kekal istiqamah memakai hijab.
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.
Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA! Download seeNI sekarang!
Ujian pantas ini boleh menjadi cara untuk mengetahui sama ada anda perlu minum lebih banyak air.
Badan anda menawarkan pelbagai petunjuk tentang perkara yang berlaku di dalamnya, jika anda tahu di mana hendak mencari. Apabila anda mengalami dehidrasi, cubitan kulit yang cepat boleh menjadi salah satu cara untuk mengetahui sama ada anda kehilangan lebih banyak cecair daripada yang diambil.
Dehidrasi bermakna badan tidak mempunyai cecair yang mencukupi untuk berfungsi dengan baik, keadaan ini yang berpotensi mengancam nyawa.
Melalui aplikasi TikTok Dr. Karan Raj, seorang doktor pembedahan dengan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan U.K., menyiarkan video yang menunjuk cubitan kulit, atau ujian turgor kulit, sebagai salah satu cara menyemak badan anda dihidrasi.
Apakah ujian cubitan kulit?
Hanya picit kulit pada salah satu buku jari anda seketika, kemudian lepaskan. Jika anda terhidrat dengan baik, kulit akan kembali ke kedudukan asalnya serta-merta. Tetapi jika anda mengalami dehidrasi, ia kehilangan keanjalannya dan akan kekal dalam kedudukan tersepit atau “terkurung” seketika.
Adakah ujian cubitan kulit untuk dehidrasi berfungsi?
Pendapat lain pakar diet berdaftar, mengesyorkan mencubit kulit selama kira-kira 3 saat. Apabila dilepaskan, ia akan kembali ke tempatnya dalam beberapa saat. Itu kerana kulit mengekalkan air, faktor dalam turgornya, atau keupayaan untuk menukar bentuk dan kembali normal.
Jika kulit menjadi kurang anjal, ia boleh menjadi satu cara untuk mengetahui sama ada anda mengalami dehidrasi, tetapi ia tidak mudah dan tidak bermakna berfungsi untuk semua orang.
Satu isu dengan ujian ini ialah individu yang lebih tua mempunyai kulit yang kurang anjal, jadi apabila dicubit, ia kekal berkhemah untuk tempoh yang lebih lama. Ini tidak semestinya menunjukkan dehidrasi.
Ujian cubitan kulit juga tidak boleh dipercayai pada kanak-kanak, keadaan lain yang boleh menyebabkan turgor kulit yang lemah termasuk dysautonomia – disfungsi sistem saraf autonomi yang menjejaskan kira-kira 70% orang yang menghidap COVID-19 yang lama – di mana pesakit mungkin mempunyai jumlah darah yang rendah, faktor keanjalan kulit. Kekurangan turgor kulit boleh menjadi tanda kehilangan cecair yang sederhana hingga teruk. Dehidrasi ringan ditakrifkan sebagai kehilangan cecair bersamaan dengan 5% berat badan, sederhana ialah 10% dan teruk ialah 15%.
Bagaimana untuk kekal terhidrat
Kaedah cubitan kulit dianggap sebagai “langkah awal” untuk menyaring dehidrasi, kajian telah menyatakan. Ia paling biasa dilakukan di belakang tangan, tetapi itu adalah peraturan biasa. Kulit pada lengan bawah atau perut juga boleh diperiksa. Intinya, mencubit kulit boleh mengesan dehidrasi, tetapi biasanya pada peringkat kemudian.
Cara lain untuk mengetahui sama ada anda memerlukan lebih banyak cecair adalah dengan memeriksa warna air kencing anda. Keadaan normal, jika air kencing kuning pucat. Jika kuning lebih gelap, itu adalah tanda anda perlu untuk minum air lebih banyak.
Jika ada kemungkinan anda mengalami dehidrasi sedikit, adalah idea yang baik untuk minum lebih banyak cecair. Jika anda mengalami dehidrasi yang ketara, anda mungkin mendapat manfaat daripada minuman elektrolit yang direka untuk membantu anda menyerap dan mengekalkan cecair lebih baik daripada minum air kosong.
+++Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.
Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA! Download seeNI sekarang!
Kadangkala bila hidup terlihat serba sempurna, itulah waktu dimana kita sering alpa dan semakin menjauh dari yang maha esa! Itulah juga apa yang dialami oleh usahawanita yang juga pengasas Mutyara, Tya Arifin.
Menurutnya, meski dikurniakan segalanya dalam kehidupan, namun dia tetap mempunyai ruang kosong dalam diri yang sering meminta untuk diisi.
Justeru, tidak mahu menjadi hambaNya yang kufur nikmat, ibu kepada dua anak ini mendedahkan, dia mula memikirkan secara mendalam soal rohani selepas melihat perubahan suami yang kian mendalami ilmu agama Islam.
Tak Mahu Kufur Nikmat
“Sebab terbesar saya memutuskan untuk menutup aurat ialah saya mahu berhijrah. Alhamdulillah Allah telah berikan saya pelbagai nikmat, keluarga, anak-anak dan perniagaan yang berjaya walau berhijrah dari Palembang ke Malaysia.
“Apa lagi yang Allah tidak kurniakan? Saya tidak mahu jadi wanita dan hamba yang kufur nikmat.
“Allah telah berikan lebih daripada apa yang saya minta, tapi sentiasa ada satu yang kurang. Saya berjaya menolong orang melalui perniagaan namun saya tidak mampu menolong diri sendiri.
“Dalam rumah tangga ada masa kita diuji dan ia menguatkan saya untuk berubah. Suami pula semakin dekat dengan ajaran Islam dan berubah menjadi lebih baik. Jadi tidak adil jika saya tidak mahu berubah.
“Allah sentiasa ada bersama saya di saat saya memerlukan pertolongan dan Allah berikan yang terbaik untuk saya. Sampai satu masa saya terfikir, Allah begitu baik dengan saya.
“Bila difikirkan ada satu titik yang belum dibuat iaitu saya tidak menjadi seorang Muslimah yang sempurna. Saya tidak menjadi hamba Allah yang baik,” ulasnya panjang lebar.
Jangan Lengahkan ‘Niat’ Untuk Buat Sesuatu Kebaikan
Tegasnya, jika terbit niat untuk berbuat baik dan memakai tudung, cuba segerakan niat.
“Sebelum ini saya fikirkan manusia yang bertudung dan menutup aurat ialah perkara biasa. Saya fikirkan untuk berhijab, nanti dahulu, akan datang hidayah.
“Saya mahu baikkan hati dahulu. Tapi sekarang saya fikirkan, alangkah baiknya andai saya cepatkan keputusan ini dahulu.
“Saya juga sedar saya tidak mahu suami menanggung dosa dan Prof Muhaya juga banyak menasihati saya mengenainya.
“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada orang sekeliling. Hijrah ini kerana saya dan Allah, Allah terlalu baik dengan saya. Saya tidak mahu menjadi contoh yang tidak baik kepada pengikut.
“Saya mahu menjadi ibu yang baik kepada anak-anak, isteri yang baik untuk suami dan contoh yang baik buat peminat kerana sebaik-baik manusia adalah yang memberikan manfaat kepada orang lain,” katanya lagi.
Tiga Tips Untuk Wanita Yang Mahu Berubah
Akur akan trend selebriti membuka hijab, jelasnya dia perlu mengawal diri sendiri agar dapat terus istiqamah dengan perubahan.
“Dalam dunia ini ada dua, perkara yang boleh dikawal dan tidak boleh dikawal. Kita boleh mengawal diri sendiri dan tidak mampu mengawal orang lain.
“Jadi sangat penting untuk saya tahu, saya mampu mengawal diri sendiri. Jika kita mahu fikir mengenai orang tidak sukakan kita, kita akan penat.
“Penghijrahan saya satu proses yang sangat panjang, selama 25 tahun baru saya mendapat hidayah dan tidak semudah itu untuk terus berubah.
Dia turut berkongsi tiga tips kepada wanita lain yang turut punyai rasa untuk berubah ke arah yang lebih baik.
“Pertama berubah kerana Allah, kedua kena cepat membuat tindakan, jika mahu memakai tudung, terus segerakan. Dan ketiga, yakin kepada rezeki yang Allah tetapkan,” titip Tya.
Untuk rekod, tatkala berkongsi kisah hijrahnya, pelakon dan usahawan Tya Arifin merasa sebak kerana pada mulanya dia langsung tiada perancangan untuk berhijab, namun Februari 2020 merupakan titik perubahan terindah dalam kehidupanya!
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari Media Hiburan
Kisah mualaf cantik dari Indonesia, Arnita Rodelina Turnip boleh dijadikan inspirasi. Sering mendengar ceramah agama di saluran Youtube telah membuka hati Arnita yang menuntut...