Setiap kali masuknya awal bulan Islam, maka akan tersebarlah hadis-hadis yang menceritakan akan kelebihan bulan tersebut. Ia sentiasa disebut atau disebarkan oleh sebahagian masyarakat kita pada hari ini.
Bulan Rejab merupakan salah satu bulan yang mulia dan ia termasuk di dalam bulan-bulan Haram sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW.
Apakah terdapat kelebihan atau amalan tertentu (khusus) dalam Bulan Rejab berdasarkan pendapat para ulama’?
Di sini dinyatakan beberapa pendapat para ulamak berkaitan kelebihan bulan Rejab, antaranya ialah:
*Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Tidak ada disebut di dalam hadith yang sahih (yang boleh dibuat hujjah) akan kelebihan bulan Rejab, berpuasa padanya, berpuasa daripadanya disebabkan sesuatu perkara yang tertentu dan solat yang khusus”. [Tabyin al-‘Ajab, 9]
*Imam Ibn al-Qayyim mengatakan: “Setiap hadith yang menyebut berkaitan puasa di bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu di dalam bulan tersebut adalah satu pendustaan yang direka”. [al-Manar al-Munif, 96]
*Imam al-Syaukani pula berkata: “Tidak ada disebut berkaitan amalan pada bulan Rejab secara khusus di dalam sunnah yang sahih, juga yang hasan dan juga yang dhaif (dhaif ringan). Bahkan, kesemua yang diriwayatkan berkaitannya secara khusus adalah palsu lagi dusta dan teramat dhaif”. [al-Sail al-Jarrar, 297]
*Imam Ibn Rejab berkata: “Tidak ada yang sahih pada kelebihan berpuasa di bulan Rejab yang khusus daripada Nabi SAW dan juga tidak ada yang khusus daripada sahabat Baginda SAW”. [Faidh al-Qadhir, 4:210]
Setelah dilihat dan menekuni pendapat para ulamak dalam masalah ini, cenderung untuk mengatakan bahawa bulan Rejab tidak mempunyai apa-apa kelebihan yang khusus daripada hadis-hadis yang sahih seperti amal ibadat tertentu.
Walaupun begitu, ini tidak menghalang seseorang itu untuk melaksanakan amalan seperti berpuasa, solat sunat, bersedeqah dan lain-lain lagi dengan syarat tidak beri’tiqad (mempercayai) bahawa amalan ini mempunyai kelebihan-kelebihan yang khusus atau tertentu. Ini kerana, bulan Rejab termasuk di dalam bulan-bulan haram yang mana diketahui akan kelebihan bulan-bulan haram berbanding bulan-bulan yang lain.
Apakah status hadis ini?
مَنْ يُبَارِك الـنَّاسَ بِهَذَا الشَّهْرِ الفَضِيْلِ – يَعْنِي رَجَب – تَحْرُم عَلَيْهِ النَّار
Maksudnya: “Barangsiapa yang memberitahu akan kemasukan bulan (1 Rejab) yang mulia ini kepada orang lain, maka haram baginya api neraka.”
Allah SWT juga berfirman berkaitan bulan Haram ini di dalam surah al-Taubah:
Firman Allah SWT:
إنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللَّـهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّـهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ ۚ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً ۚ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّـهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ [al-Taubah:36]
Maksudnya: “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa”.
Di antara kelebihan yang terdapat di dalam bulan Haram ini ada disebutkan oleh al-Hafiz Ibn Kathir di dalam tafsirnya, yang mana beliau telah menukilkan pendapat daripada Ibn Abbas RA yang menyatakan bahawa setiap kezaliman yang dilakukan di dalam bulan-bulan Haram ini, dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan yang lain. Begitu juga, amal soleh yang dilakukan di dalam bulan Haram ini adalah lebih besar (pahala) berbanding bulan-bulan yang lain. [Tafsir Ibn Kathir, 4:130]
Berdasarkan soalan di atas, hadis di atas adalah palsu dan tidak diketahui asalnya daripada kitab-kitab hadis yang muktabar. Ini merupakan salah satu pendustaan yang direka dan disandarkan di atas nama Nabi SAW. Bahkan, hadis ini juga turut digunakan pada bulan-bulan Islam yang lain seperti Zulhijjah, Sya’ban, Ramadhan, Muharram dan sebagainya.
Kesemua hadis yang menceritakan tentang kelebihan memberitahu akan kemasukan awal bulan-bulan Islam ini adalah palsu. Justeru itu, penyebaran hadis ini perlu dihentikan dengan serta-merta sama ada melalui meja-meja penceramah dan juga media sosial serta ia tidak boleh lagi disebarkan melainkan untuk menyatakan akan kepalsuannya.
Hukum Meriwayatkan Hadis Palsu
Para ulama menyatakan bahawa tidak dibolehkan atau haram bagi kita meriwayatkan hadis palsu apabila diketahui akan keadaannya (palsu) melainkan bagi menjelaskan akan kepalsuannya. Ini merupakan pendapat Imam Ibn Salah, Imam al-Nawawi, al-Suyuthi dan ramai lagi termasuk ulama-ulama hadith masa kini. Hukum ini terbina berdasarkan kepada hadith-hadith yang menceritakan berkaitan larangan keras Rasulullah SAW terhadap pendustaan di atas nama Baginda SAW.
Antara hadis tersebut adalah seperti berikut:
Nabi SAW bersabda:
مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang berdusta di atas namaku, maka siaplah tempatnya di dalam neraka.” [Riwayat al-Bukhari (107)]
Nabi SAW bersabda:
مَنْ يَقُلْ عَلَيَّ مَا لَمْ أَقُلْ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang berkata di atas namaku yang mana aku tidak perah mengucapkannya maka siaplah tempatnya di dalam neraka.” [Riwayat al-Bukhari (109)]
Nabi SAW bersabda:
وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang berdusta di atas namaku dengan sengaja maka siaplah tempatnya di dalam neraka.” [Riwayat al-Bukhari (110)]
Nabi SAW bersabda:
لاَ تَكْذِبُوا عَلَيَّ، فَإِنَّهُ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ فَلْيَلِجِ النَّارَ
Maksudnya: “Janganlah kamu berdusta di atas namaku, kerana ia iaitu yang berdusta di atas namaku tempatnya adalah neraka.” [Riwayat al-Bukhari (106) dan Muslim (1)]
Nabi SAW bersabda:
مَنْ حَدَّثَ عَنِّي بِحَدِيْثٍ يُرَىْ أَنَّهُ كَذِبٌ فَهُوَ أَحَدُ الْكَاذِبِيْنَ
Maksudnya: “Sesiapa yang menyampaikan daripadaku sesuatu hadith yang pada sangkaannya adalah dusta maka dia adalah termasuk dalam kalangan pendusta.” [Lihat: Muqaddimah Sahih Muslim]
Tanggungjawab Dan Peranan Kita
Sebagai seorang mukmin yang cinta kepada Rasulullah SAW seharusnya bagi kita menjaga nama dan diri Rasulullah SAW daripada dicemari dengan pendustaan dan pemalsuan golongan yang tidak bertanggungjawab. Ini merupakan bukti dan tanda cinta serta kasih kita kepada Rasulullah SAW sebagaimana di dalam sebuah hadis:
Sabda Nabi SAW:
لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ، حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ
Maksudnya: “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga dia kasih kepadaku lebih daripada dia kasih kepada ibubapanya, anakya dan manusia keseluruhannya.” [Riwayat al-Bukhari (15)]
Di samping itu juga, menjadi kewajipan kita semua sebelum membaca, menulis, mengajar, menyampaikan atau menyebarkan sesebuah hadis Nabi SAW, ia perlulah dikenalpasti terlebih dahulu akan sumber dan status (hukum) hadith tersebut. Ini kerana, bimbang dengan tidak menyatakan sumber dan hukum hadith tersebut, akan menyebabkan kita termasuk ke dalam ancaman Nabi SAW. Dengan cara ini, ia akan menjaga kesucian agama ini dan juga daripada penyelewengan golongan-golongan yang ingin menghancurkan Islam.
Kesimpulan
Kesimpulannya, hadis palsu merupakan peringkat hadis dhaif yang paling buruk sebagaimana yang telah disebutkan oleh Imam Ibn Salah:
اعْلَمْ أَنَّ الْحَدِيثَ الْمَوْضُوعَ شَرُّ الْأَحَادِيثِ الضَّعِيفَةِ
Maksudnya: “Ketahuilah olehmu bahawa sesungguhnya hadith palsu adalah termasuk di dalam hadith-hadith dhaif yang paling buruk.” [Lihat: al-Muqaddimah, 98]
Tambahan pula, hukum meriwayatkan hadis palsu adalah haram melainkan bagi menyatakan akan kepalsuannya dan akibatnya akan dicampakkan ke dalam neraka di akhirat kelak. Semoga Allah SWT memelihara lidah-lidah kita daripada berdusta di atas nama Nabi SAW.
Sempena kemasukan bulan Rejab ini, marilah sama-sama kita mempertingkatkan amalan baik kita dan semoga Allah SWT sentiasa memberi kita taufiq dan hidayah-Nya dalam setiap amalan yang kita lakukan agar ia tidak bercanggah dengan al-Quran dan juga sunnah Rasulullah SAW. Wallahua’lam.
Sumber kredit: Laman Web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Laman Web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Top image: Photo by Faseeh Fawaz from Pexels