Bagi wanita berhijab, penggayaan tudung sangat penting dalam memberikan kesan yang on point, terutama ketika merakamkan gambar kenangan. Jika salah pilih tudung yang tidak kena dengan bentuk muka akan menyebabkan penampilan nampak hodoh dan tidak begitu stailo
Jadi sebelum menggayakan apa juga hijab, paling penting kenali dulu bentuk wajah. Pilih hijab yang sesuai dengan bentuk wajah dan hasilnya pasti akan membuatkan gaya anda sentiasa vass.
Penggaya hijab selebriti yang popular, Didiyana Ehsan berkongsi tip memperagakan tudung mengikut empat jenis bentuk wajah seseorang itu.
1. Bujur
Wanita yang bermuka bujur memiliki ukuran vertikal wajah yang lebih panjang sedikit berbanding kelebaran wajahnya. Wajah bujur adalah bentuk muka yang universal dan ramai wanita memiliki bentuk wajah seperti ini. Anda bertuah kerana sesuai mengayakan semua jenis style hijab.
2. Lonjong
Jika anda memiliki muka yang lonjong pula, panjang ukuran vertikal wajah anda lebih ketara berbanding kelebarannya. Wanita yang berwajah lonjong harus elak mengenakan tudung yang mempunyai awning tinggi agar tidak membuatkan muka anda lebih panjang. Cuba gunakan inner untuk membuatkan bentuk muka anda kelihatan lebih seimbang.
3. Bulat
Mereka yang bermuka bulat memiliki panjang dan lebar wajah yang sama dan tidak mempunyai suduh di bahagian rahang. Gaya tudung yang sesuai dengan anda adalah jenis flowy kerana dapat menyorok bahagian pipi dan penampilan akan lebih trendy jika dipadankan dengan sepasang cermin mata hitam.
4. Petak
Bentuk rahang pada wajah wanita yang memiliki bentuk muka petak agak tajam dan mereka mempunyai lengkok yang minimum di setiap ‘bucu’ wajah. Gunakan tudung daripada warna-warna pastel atau lembut untuk mengurangkan garisan rahang yang membuatkan wajah anda kelihatan maskulin. Anda juga boleh memakai tudung paling hampir dengan garisan dahi (sedikit tinggi) untuk menampakkan wajah lebih panjang.
Selain tujuan utama mengenakan hijab adalah untuk menutup aurat, golongan wanita juga harus bijak menyesuaikan gaya yang diingini dengan bentuk wajah mereka agar penampilan jadi lebih menarik.
Pemilihan gaya tudung yang sesuai akan menyerlahkan lagi keanggunan seorang wanita.Mudah-mudahan dengan petua ini, ia memberi panduan untuk anda memilih tudung sesuai. Tentu sekali suami atau si dia akan lebih terpesona dengan penampilan baharu anda bersama tudung yang sesuai.
SUMBER: MSTAR ONLINE