Pelajar Jurusan Penyiaran UiTM, Ayu Farhanis Juara The Missing Hijabi Yang Pertama

Share

Mei lalu, Hijabista telah menganjurkan sesi uji bakat The Missing Hijabi untuk mencari personaliti hijabi yang bakal duduk di kerusi pengacara The Hijabista Show yang merupakan rancangan signature yang diterbitkan jenama ini.

Walaupun singkat tempoh uji bakat diadakan, sebanyak lebih 100 penyertaan secara atas talian telah diterima dan mereka hadir ke pejabat Hijabista di Shah Alam untuk menonjolkan kebolehan masing-masing.

Ketika menghadiri uji bakat The Missing Hijabi

Akhirnya, gadis manis yang berasal dari Pekan, Pahang telah berjaya dipilih sebagai juara. Biarpun ini merupakan pengalaman sulungnya untuk tampil di hadapan layar yang lebih besar, ternyata kepertahan dan juga kebijakan dalam berkomunikasi menarik hati pihak editorial dan juri.

Ikuti temubual HIJABISTA bersama Ayu.

Boleh ceritakan serba sedikit tentang diri Ayu?

Nama diberi Ayu Farhanis binti Mohd Fadzil. Lebih dikenali dengan nama panggilan ayu, keluarga memanggil saya dengan panggilan ‘Lopa’ kerana saya amat meminati selebriti tanah air iaitu Neelofa sejak dari bangku sekolah menengah lagi. Berusia 22 tahun dan merupakan anak bongsu dari pada 2 beradik.

Saya berasal dari Pekan, Pahang. Saya seringkali up to date dengan perkara baharu media sosial samada fesyen, inspirasi dan sebagainya atau lebih dalam erti kata lain saya amat gemar ber’ootd’. Sering ditanya mengenai pakaian yang dikenakan, saya gembira apabila dapat berkongsi pakaian yang digayakan bersama rakan di media sosial.

Ayu sedang belajar dalam jurusan apa dan apakah cita-cita yang ingin dicapai?

Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia ‘SPM’, saya melanjutkan pelajaran di peringkat diploma dalam bidang Komunikasi dan Pengajian Media di UiTM Alor Gajah, Melaka. Kini saya merupakan mahasiswi Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa pengkhususan dalam bidang Penyiaran di UiTM Shah Alam dan bakal tamat pengajian pada 2024. Memandangkan saya amat meminati bidang penyiaran, pengacaraan dan balik tabir, memilih jurusan komunikasi adalah pilihan yang tepat di samping menambah ilmu-ilmu baharu mengenai bidang ini.

Bukan sahaja di hadapan kamera malah juga dibalik tabir. Setelah itu, saya berhasrat untuk mempunyai atau menghasilkan program bual bicara tersendiri yang berkonsepkan hijabi yang memaparkan isu-isu hijabi bukan sahaja di Malaysia malah antarabangsa seperti ‘Ban of Hijab In Sports’, ‘Diskriminasi jantina dalam pekerjaan’ dan sebagainya.

Bagaimanakah Ayu boleh terdetik di hati untuk menyertai The Missing Hijabi?

 Saya sememangnya mempunyai minat yang amat mendalam dalam bidang pengacaraan dan komunikasi. Saya juga sering ‘follow up’ program anjuran Hijabista dan Remaja magazine seperti Dewi Demaja dan Ratu Hijabista. Setelah melihat posting pencarian hos The Missing Hijabi, saya yakin ini adalah titik langkah saya untuk melebarkan lagi sayap saya dalam bidang pengacaraan. Platform The Missing Hijabi juga adalah tapak besar untuk mempelajari ilmu-ilmu baharu dalam pengacaraan yang sememangnya menjadi impian saya sejak dari bangku sekolah lagi.

Boleh ceritakan pengalaman menghadiri uji bakat? Ada rasa gementar? Atau biasa-biasa sahaja?

Overall, pengalaman menghadiri ujibakat tempoh hari adalah pengalaman yang amat menyeronokkan bagi saya terutamanya sewaktu mendapat soalan berkenaan dengan isu kewanitaan iaitu pembuangan bayi. Agak nervous namun saya sememangnya mengikuti perkembangan berkenaan topik ini.

Walau bagaimanapun, perspektif sebagai wanita Islam tetap perlu diutamakan. Dengan teknologi yang semakin maju, saya yakin pelbagai inisiatif dapat dilakukan demi menjaga sang ibu dan bayi itu sendiri. Sememangnya topik ini sangat menarik dan saya gembira kerana dapat berkongsikan pendapat dan pandangan bersama para juri yang mendengar dengan penuh tekun.  

Ayu beraksi sambil diperhatikan Qila Shahirah, Pengacara The Hijabista Show & Juara Ratu Hijabista 2020.

Setelah dinobatkan sebagai juara pertama dan bakal menjadi hos terbaru rancangan digital The Hijabista Show, apakah perasaan Ayu?

Perasaan semestinya sangat gembira dan membuatkan semangat saya semakin berkobar-kobar untuk menempa nama dalam industri ini. Bukan sahaja untuk diri sendiri, malah untuk menyebarkan kebaikan dan manfaat kepada masyarakat sekeliling terutamanya wanita berhijab yang seringkali masih malu dan takut untuk berdiri seiring dengan mereka yang telah berjaya.

Saya juga ingin menjadi ikon buat mereka untuk tampil lebih yakin dan percaya dengan kebolehan diri sendiri kerana keyakinan itu datang dari dalam. Bagi saya, wanita yang cantik adalah wanita yang yakin dengan dirinya, rupanya dan berani untuk menghadapi cabaran.

Harapan untuk perjalanan seterusnya sebagai seorang pelajar dan dalam masa yang sama turut menjadi hos sebuah rancangan?

Semestinya pendidikan adalah keutamaan saya. Untuk menjadi seorang pengacara juga memerlukan ilmu dan pendidikan yang betul kerana setiap apa yang disampaikan hendaklah betul, bernas dan bermanfaat. Selain itu, menjadi hos The Hijabista Show juga adalah satu ilmu baharu untuk saya lebih memperbaiki diri dalam lenggok pengacaraan dan penyampaian. Malah ianya turut memberi manfaat untuk bidang yang sedang saya pelajari iaitu komunikasi.

Lastly, apakah makna sehelai hijab bagi Ayu?

Hijab bagi saya adalah mahkota bagi seorang wanita bertudung. Ianya diibaratkan sebagai lambang kemashuran yang tidak boleh ditukar ganti. Seperti mahkota seorang raja, sentiasa gilap, teguh dan utuh sehingga ke akhirnya, begitulah hijab di pandangan saya. Sehelai hijab bukan sahaja mampu mengubah diri sendiri malah juga merubah dunia. Menjadi seorang wanita berhijab membuatkan saya merasa diri amat istimewa dan lebih yakin untuk tampil di mata dunia. Begitulah makna sehelai hijab untuk saya.

Sama-sama kita nantikan kemunculan sulung Ayu dalam The Hijabista Show yang akan datang!

+++Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.

Kredit foto: Instagram Ayu Farhanis & Jurufoto Ideaktiv

Published by
Fiezreen