Meletakkan impian untuk menjadi kaya, pasti terpahat dalam fikiran kebanyakkan hijabi, malah untuk kelihatan canyik adalah taruhan untuk terus ke hadapan.
Wanita genit dan manis ini, lebih dikenali dengan panggilan mesra Tecer Mass ini membuktikan hijabi tak salah jika berangan pasti mimpi akan menjadi kenyataan.
ARTIKEL BERKAITAN: Berkorban Demi Anak, Wawa Aeril Mahu Hayla Sambung Legasi Perniagaan
Bermula sebagai staf sebuah salun yang hanya membantu membuang sampah, pemilik dan pengasas The Beauty Expert Academy Spa atau nama sebenar, Mastura Idris kemudiannya berjaya keluar daripada kepompong kerjayanya untuk melangkah lebih maju ke hadapan. Dia akui perjalanan kariernya bukan semudah yang disangkakan.
“Saya masih ingat, waktu itu majikan di spa berkenaan bertanya sama ada saya berminat untuk belajar kemahiran mencuci muka dan sebagainya. Terus saya ambil peluang tersebut.
“Bermula dari situ saya belajar semua jenis kemahiran sehinggalah majikan saya percaya dan lepaskan saya sedikit demi sedikit untuk menguruskan spa berkenaan,” kongsinya ketika ditemui di premis kecantikannya.
Cuba menjadikan angan-angan jadi kenyataan, mesra dengan panggilan Tecer Mass, beliau kemudiannya memohon untuk berhenti kerja kerana ingin menambahkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang tersebut.
“Selepas berhenti kerja, saya ambil kursus kemahiran dan pada masa sama turut bekerja dengan orang lain. Sehinggalah saya berjaya meraih Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).
“Waktu itu, perasaan ingin membuka bisnes sendiri membuak-buak, saya terbayang impian sebelum ini untuk membeli rumah hasil titik peluh sendiri menyebabkan saya tekun berusaha.
2012 momen cukup bermakna Tecer Mas berjaya mencapai hasrat memiliki syarikat sendiri, maka tertubuhlah Beauty Expert Academy. Ibu kepada seorang cahaya mata itu mempunyai kelulusan Vocational Trainning Official (VTO), Sijil Kemahiran 1, 2 dan 3 dan juga menjalankan sesi perundingan dan rawatan kecantikan, beliau juga seorang tenaga pengajar dalam bidang estetik.
Selain itu, beliau turut mendapat pengiktirafan sebagai Pakar Kecantikan Malaysia (JPK). Nah, tidak hairanlah apabila wanita bertubuh kecil molek itu turut dilantik sebagai Penasihat Industri Kolej Komuniti Malaysia.
ARTIKEL BERKAITAN: Penawar Penyakit Dan Bagus Untuk Maju Dalam Perniagaan, Amalkan Bismillah 5
“Satu benda yang saya belajar dengan majikan lama, untuk menjadi bos katanya kena belajar gagal berkali-kali dan boleh uruskan bisnes sendirian tanpa bantuan orang lain.
“Malah, bergelar bos bukan bersandarkan kecantikan dan kekayaan semata-mata. Sebaliknya kena usaha lebih keras dan tidak mudah putus asa. Itulah yang menjadi pemangkin semangat,” kongsi Tecer Mass yang bersyukur berjaya mencapai semua impiannya selama ini.
Pasti setiap kejayaan, penuh pelbagai onak duri yang terpaksa ditempuhi sebelum berjaya. Jika tiada sokongan insan tersayang hampir membuatkan beliau berputus asa.
“Saya pernah jatuh berkali-kali. dengan tiada sebarang pinjaman dengan mana-mana pihak. Lebih mendukacitakan bila mana suami sendiri kurang yakin dengan pilihan saya buat. Beliau meminta saya fokus menjaga anak-anak sahaja. Kata suami, mana mungkin mencantikkan orang boleh buat saya jadi kaya.
“Bila jadi macam itu, bohonglah andai kata saya tidak pernah down. Sudah pelbagai cara dan ikhtiar saya lakukan namun belum menampakkan hasil. Malah, pernah juga ditipu pelanggan membuatkan saya hampir putus asa. Namun, saya bangkit semula,” kongsinya lagi.
Bergantung pada Maha Esa, selain itu perlu berusaha gigih, untuk membuka jalan kejayaan buatnya. Turut menerima pengiktirafan Malaysian Trustworthy Aestheticians & Beauticians 2023 (MTAB) dan Successful People In Malaysia – Britishpedia 2023 dan berkat kesabaran, lebih 18 tahun berkecimpung dalam insdutri kecantikan, Tecer Mass turut miliki ribuan pelajar.
Pusat estetik yang beroperasi di Cheras, Selangor bukan sahaja menawarkan rawatan kecantikan, bahkan setiap pelanggan boleh mendapatkan perkhidmatan perundingan daripada pakar estetik terlatih yang ada di situ.
“Sebelum ini, saya promosikan sendiri. Daripada satu katil dan tanpa ada bantuan staf, saya lakukan semua sendirian. Penat hanya Tuhan yang tahu, basah satu badan dengan peluh. Waktu itu belum ada kemudahan media sosial seperti sekarang untuk membantu promosikan salun.
“Namun, sedikit demi sedikit pelanggan mula datang dan saya terpaksa mengambil staf kerana tidak cukup tangan. Pun begitu, saya seorang yang mementingkan kualiti jadi setiap pekerja di akademi ini memiliki kemahiran yang saya ingini. Saya tak suka lambakan staf, saya juga mahu mereka belajar bekerja keras seperti saya dahulu,” ujarnya.
Perlu berketerampilan menarik berdepan dengan pelanggan, malah, menjadi kepantangannya jika ada staf yang tidak tampil cantik walaupun sekadar memakai lipstik.
“Paling saya utamakan adalah spa kena bersih kerana dari situ datangnya rezeki. Pelanggan datang lihat tempat bersih dan mendapat layanan baik staf membuatkan mereka akan datang lagi mendapatkan rawatan di sini. Itulah yang saya tekankan kepada staf,” ujar beliau yang juga Pemudah cara dan Penceramah di Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Akui tidak meletakkan mana-mana individu sebagai idola memandangkan beliau yang berusaha sendiri mencapai kejayaan tersebut. Untuk menjadi wanita yang hebat dan berjaya, kena yakin dengan keupayaan diri sendiri. Tanpa hiraukan kata-kata negatif orang sekeliling.
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini