Isu penceraian bukanlah perkara asing dalam kehidupan masyarakat kita. Setiap hari pasti ada sahaja kes penceraian yang difailkan yang disebabkan oleh pelbagai faktor. Namun jika dilihat dari aspek yang meluas, penceraian bukanlah berlaku disebabkan oleh sebelah pihak sahaja. Sama ada si isteri ataupun si suami, masing-masing menggalas tanggungjawab perihal terjadinya isu penceraian.
Tetapi, majoriti masyarakat lebih menunding jari ke pihak lelaki apabila berlakunya penceraian dalam sebuah hubungan itu. Untuk mengulas lanjut berkaitan isu ini, peguam syariah dari Abdul Rahman Azubir & Co, Ahmad Hazieq Rozhali berkata, punca utama penceraian berlaku dek pemikiran kaum lelaki yang seringkali menganggap ‘kuasa ada pada mereka’.
“Apabila suami mempunyai tanggapan bahawa mereka berkuasa dalam rumah tangga, ia menyebabkan ego mereka semakin tinggi,” katanya.
Tambah beliau, faktor-faktor lain seperti tidak memahami asas tanggungjawab, tidak mendalami ilmu agama, tidak berusaha untuk memperbaiki hubungan dengan pasangan dan kerap membuat perbandingan juga antara punca berlakunya penceraian.
“Namun, terdapat kes penceraian yang disebabkan oleh pengabaian, contohnya apabila pasangan terlalu sibuk bekerja dan tidak memberi perhatian secukupnya. Ini akan menyebabkan suami kesunyian dan mempengaruhi mindanya untuk bercerai.
“Jangan sesekali mengabaikan pasangan masing-masing meskipun terlalu sibuk bekerja. Pasangan yang selalu diabaikan ini cenderung untuk mengalami masalah mental seperti depresi,” katanya.
KEPUTUSAN MAHKAMAH MENGIKUT KES BERDASARKAN AL-QURAN
Menurut Ahmad Hazieq, setiap keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Syariah adalah berpandukan ayat-ayat dari surah Ar-Rum Ayat 21 dan Surah An-Nisa’ Ayat 3 dan 128.
“Dan diantara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan- Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”
– Surah Ar-Rum, ayat 21.
Jelas Hazieq lagi, setiap masalah ataupun aduan yang dibuat oleh anak guam, akan dinilai sama ada masih terdapat ‘Mawadah wa Rahmah’ di dalam rumah tangga.
Seksyen 47 AKTA UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (WILAYAH- WILAYAH PERSEKUTUAN) 1984 Dalam situasi penceraian, terdapat permohonan cerai dan saman yang telah diserahkan kepada satu pihak lagi. Mahkamah akan mengeluarkan saman itu dan hendaklah mengarahkan pihak yang satu lagi itu hadir di hadapan Mahkamah untuk membolehkan Mahkamah menyiasat sama ada pihak yang satu lagi itu bersetuju atau tidak terhadap perceraian tersebut.
Seksyen 99 AKTA TATACARA MAL MAHKAMAH SYARIAH (WILAYAH- WILAYAH PERSEKUTUAN) 1998 Majlis Sulh di Mahkamah Syariah.
“Dan jika seorang wanita khuatir akan nusyuz atau sikap tidak acuh dari suaminya, maka tidak mengapa bagi keduanya mengadakan perdamaian yang sebenar-benarnya dan perdamaian itu lebih baik (bagi mereka) walaupun manusia itu menurut tabiatnya kikir. Dan jika kamu bergaul dengan isterimu secara baik dan memelihara dirimu (dari nusyuz dan sikap tak acuh), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
– Surah An-Nisa’ Ayat 128.
Peruntukan undang-undang menjadikan majlis sulh sebagai satu proses penyelesaian kes di mahkamah Syariah. Hasil daripada majlis sulh adalah dengan merekodkan kepada mahkamah penghaki- man persetujuan.
Seksyen 23 AKTA UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (WILAYAH- WILAYAH PERSEKUTUAN) 1984 – Permohonan Poligami di Mahkamah Syariah.
“Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yang yatim (bilamana kamu mengahwininya), maka kawinilah wanita- wanita (lain) yang kamu senangi: dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kah- winilah) seorang saja, atau budak-budak yang kamu miliki. Yang demikian, itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya.”
– Surah An-Nisa’ Ayat 3.
Seksyen 23 adalah selari dengan konsep KEADILAN yang telah digariskan di dalam Surah An Nisa’. Permohonan poligami di bawah seksyen 23 meliputi kuasa Mahkamah dalam menentukan bahawa seorang suami adalah berkemampuan dalam berlaku adil di dalam perkahwinan poligaminya.
Faktor-faktor yang diambil kira oleh Mahkamah adalah termasuk kesihatan suami, kemampuan dan tanggungan semasa suami, malah Mahkamah akan memanggil isteri atau isteri-isteri semasa dalam menentukan bahawa terdapat bantahan atau tidak ke atas permohonan suami tersebut.
Contoh kes penceraian berpunca dari kaum lelaki yang dikendali oleh Ahmad Hazieq:
1. Suami ketagihan pornografi dan sering mengambil gambar dan video ketika sedang melakukan hubungan kelamin bersama isteri, malah aktif berkongsi bahan tersebut di aplikasi Whatsapp. Akhirnya, isteri mengetahui bahawa suami berkongsi gambar atau video sulit mereka ke dalam kumpulan Whatsapp tersebut dan meminta cerai fasakh.
2. Pasangan bercerai kerana kesempitan hidup. Suami hanya bekerja sebagai tukang sapu sampah di hotel dan isteri tidak bekerja. Mereka mempunyai 5 orang anak. Penceraian adalah atas persetujuan bersama.
3. Pasangan yang sudah berusia ingin bercerai. Suami berumur 65 tahun dan isteri berumur 62 tahun. Suami mengadu tidak tahan mendengar
bebelan isteri dan “mahu mati dengan aman”. Proses cerai masih belum dimulakan di mahkamah.4. Suami ketagihan pornografi dan menjadikan isteri hanya tempat pemuas nafsu. Selalu melakukan kekasaran ketika melakukan hubungan kelamin. Lebih pelik apabila suami sering menyelitkan duit pada alat sulit isteri dan melayan isteri seperi perempuan murahan.
5. Isteri mengadu suami kerap bergaduh dengan sahabat lelakinya pada waktu malam. Suatu hari, isteri memeriksa aplikasi Whatsapp suami. Rupanya suami bergaduh dengan sahabatnya kerana masing-masing tidak mahu beralah untuk menghantar gambar bogel mereka. Suami tidak mengaku ‘gay’ dan tidak mahu menceraikan isteri. Kes akan dibawa untuk cerai secara fasakh.
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.
Bulan ini, Hijabista menghasilkan Majalah Hijabista Edisi Jawi menampilkan Nur Fazura sebagai penghias wajah hadapan. Menariknya, dengan setiap pembelian para pembeli akan menerima dua helai tudung istimewa.
Majalah ini boleh dibeli di laman Shopee Karangkraf Mall Official Store dengan harga RM29.90 sahaja. Berbaloi-baloi, beli majalah dapat pula dua tudung istimewa. Boleh dibeli di sini: Shoppe