Berita

Pecahkan Stereotip, Model Berhijab Bertaraf Antarabangsa AMINA ADAN Jadi Inspirasi

Share

Amina Adan merupakan model berhijab pertama yang menandatangani kontrak dengan agensi peragaan Denmark.

Mempunyai gaya yang sungguh anggun dalam penggayaan hijabnya. Penampilannya juga sangat memukau dan mencetuskan inspirasi dalam berfesyen.

Dikenali sebagai Adan, dia dilahirkan dan dibesarkan di Copenhagen bersma keluarga.

Adan banyak terlibat dalam pentas runway antarabangsa. Runway pertamanya ialah untuk Blanche di Copenhagen.

“Keluarga saya sangat menyokong terutama ibu. Ibu mempunyai beberapa kebimbangan namun saya nampak kepercayaannya terhadap saya. Ibu dan salah seorang kakak saya juga memakai tudung.

“Saya mula memakai tudung sejak berumur 12 tahun kerana ingin kelihatan manis seperti ibu. Ketika itu saya rasa seperti seorang gadis dewasa yang cantik.

“Lama kelamaan, bertudung menjadi sebahagian daripada hidup saya. Walaupun ia bukan keseluruhan identiti saya, tetapi ia adalah bahagian penting.

“Saya tidak rasa mencabar untuk menjadi model bertudung. Saya telah bertemu dengan beberapa orang yang paling baik dalam industri ini. Mereka menghormati pilihan saya, dan saya juga menghormati pilihan mereka.”

Adan turut berpendapat, kebanyakan hijabi mempunyai tanggapan yang salah tentang tudung.

Antara tanggapan salah yang sering diterima, “Adakah anda mandi dengan tudung?” “Adakah anda dipaksa oleh ibu bapa untuk bertudung?” “Adakah anda dibenarkan melakukan ini atau itu?”

Adakalanya Adan terpaksa menjawab “Ya, saya mandi di dalamnya!” Menurut Adan, kebanyakan orang takut untuk bertanya dan bercakap mengenainya walaupun mereka benar-benar ingin tahu.

Kini, segala tanggapan mulai berubah. Lihat sahaja supermodel berhijab, Halima Aden yang memiliki aura luar biasa termasuklah vlogger dan blogger hijabi yang terkenal di media sosial.

Mereka bukan hanya memiliki keistimewaan tersendiri bahkan turut menjadi inspirasi khususnya di kalangan para hijabi untuk berfesyen.

Kredit Foto: Instagram Amina Adan

Published by
Amy Mohd