“Saya reda apabila ditakdirkan anak saya, Sharifah Fariesha Syed Fathi,21, meninggal dunia disebabkan kejadian itu, walaupun dia satu-satunya anak yang saya ada tetapi Allah dah ambil semula,” kata Hasnida Hassan,47.
Jelasnya, anak tunggalnya seorang anak yang baik dan sangat menghormati orang tua. Jika diikutkan perancangan, arwah bakal bernikah dengan tunangnya pada Oktober tahun depan.
“Tapi semuanya Allah dah atur, dia pergi dulu buat selamanya.”
Hasnida berkata, Sharifah Fariesha bertunang dengan lelaki pilihannya pada Ogos lalu dan dia pernah menyatakan impiannya untuk kahwin dengan tema yang sangat cantik.
Ujarnya, arwah memang gemar bersolek dan sentiasa bersiap untuk kelihatan cantik kerana dia memang sukakan kecantikan.
“Ketika saya menatap wajahnya kali terakhir ketika hendak dikafankan semalam, wajahnya sangat berseri dan bersih.
“Dia memang seorang anak yang manja, malah hubungan saya dengan dia bukan saja sebagai seorang ibu dan anak, malah dia jadikan saya sebagai kawan serta tempat dia mengadu masalah,” katanya yang bekerja sebagai pembantu makmal di sebuah sekolah di Sungai Petani, Kedah.
Menurut Hasnida, dia dan suaminya, Syed Fathi Syed Zain, 60, cuba menghubungi telefon bimbit anak mereka beberapa kali, sejak jam 9 malam kelmarin namun tidak dijawab dan pesanan WhatsApp yang dihantar pada jam 11 malam juga tidak dibalas lalu membuatkan hatinya semakin berdebar.
“Arwah jarang tidak membalas setiap WhatApp yang dihantar menyebabkan saya meminta tunang arwah yang bekerja di Sarawak untuk membantu menghubunginya,” katanya.
Hasnida berkata, tunangnya berjaya menghubungi telefon bimbit arwah dan dimaklumkan mereka ditemui dalam keadaan “tertidur” dalam kereta di stesen minyak di Pulau Pinang dengan enjin dan penghawa dingin yang masih terpasang.
“Masa tu dah jam 1 pagi dan saya terus ke Hospital Seberang Jaya di Pulau Pinang dan dimaklumkan arwah anak saya sudah meninggal dunia menyebabkan seluruh badan saya seolah-olah lumpuh kerana kehilangannya,” tambahnya.
Dalam kejadian jam 1 pagi semalam, keempat-empat sahabat karib, Sharifah Fariesha Syed Fathi, Ayuni Shazwanie Shabri, Nor Adilah dan Nor Aqilah masing-masing berusia 21 tahun berhenti rehat di stesen minyak berkenaan sebelum meneruskan perjalanan pulang ke rumah masing-masing dekat Sungai Petani dan Gurun, Kedah.
“Saya dimaklumkan oleh tunangnya, arwah sempat berpesan kepadanya supaya jaga diri baik-baik kalau dia tiada nanti.
“Dia sempat meminta izin dari tunangnya sehari sebelum kejadian untuk ke Pulau Jerejak bersama tiga rakan baiknya sebelum tragedi itu berlaku,” ujarnya.
Jelas Hasnida, anaknya sempat mencium tangannya sebelum keluar dari rumah kelmarin sambil memberitahu sudah berjanji untuk melancong bersama tiga rakannya di Pulau Pinang sempena cuti Hari Malaysia yang lalu.
Namun, perubahan pada arwah yang boleh dilihat adalah dia kurang bercakap sejak tiga hari lalu sedangkan sebelum ini arwah memang ceria.
“Pada 20 Oktober ini hari kelahirannya yang ke-21 dan saya rasa sangat sedih kehilangan anak namun sebagai ibu, saya reda dengan ketentuan Ilahi.
“Saya minta semua tolong doakan roh anak saya dicucuri rahmat kerana saya dah kehilangan anak yang paling disayangi,” katanya.
Jenazah Sharifah Fariesha selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Laguna, Merbok, petang semalam.
kredit: Berita Harian
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI