Pastikan Tidur & Rehat Yang Cukup, Rahsia Elfira Loy Elak Wajah Alami Breakout Waktu Hamil

Share

Selebriti kecil molek, Elfira Loy memang sangat bertuah kerana baru beberapa bulan berkahwin, dia telah disahkan hamil anak pertama. Kata orang rezeki dari Tuhan dan kini pelakon berkening tebal ini melalui fasa trimester ketiga dalam meniti saat kelahiran bayi pertamanya nanti. Namun begitu walaupun sedang hamil, Elfira tetap tidak mengetepikan soal penjagaan wajah.

Menurut Elfira, memang ada mengalami masalah kulit kering pada mulanya, tetapi dia segera mencari alternatif menyelesaikan masalah itu dari terus berlarutan.

“Sebenarnya El memang ada mengalami masalah kulit ketika awal kehamilan, tetapi tidaklah sampai breakout. Cuma masalah kulit jadi terlalu kering disebabkan perubahan hormon, tetapi lama kelamaan jadi normal kembali.

“Ini kerana El akan pastiikan diri El cukup rehat, makan pun terjaga, minum air banyak dan El juga cari produk bersesuaian dengan kulit kita. Jadi kulit El cepat terpelihara dan tidak rosak,” ujarnya ketika di temui sebaik selesai menjadi tetamu jemputan untuk program Bual Bicara Mingguan Wanita.

Menceritakan pengalaman hamil anak pertama hasil perkongsian hidup dengan suami tercinta, Faris K Anuar, El yang mengakui teruja memberitahu tidak mengalami alahami seperti ibu hamil lain.

“Saya bersyukur sepanjang kehamilan ini El tak alami alahan yang terlalu teruk. Cuma memang ada rasa nak muntah dan mual tapi masih boleh terkawal.

“El juga lakukan rutin harian seperti biasa di rumah cuma lebih berhati-hati demi menjaga kandungan sulung ini. Jadi El pun tak rasa lemah dan masih boleh ‘maintain’ macam biasa,” jawabnya yang juga tidak melakukan workout sebaliknya hanya membuat kerja rumah seperti biasa.

Walaupun hamil, Elfira juga dilihat rajin menghadiri pelbagai majlis yang membabitkn dirinya sebagai tetamu jemputan. Dan penampilan Elfira juga dilihat sangat cantik hingga menyerlahkan seri ibu mengandung.

Menurut Elfira, sewaktu hamil ini dia memang suka menggayakan busana longgar yang selesa dengan penampilan dirinya.

“Tidak dinafikan, kebanyakan wanita hamil memang gemar pakai dress sebab senang, tak ketat. Lagipun masalah bila hamil ini kita tidak tahu nak pakai seluar letak di bahagian atas atau bawah.

“Jadi kadang-kadang pemakaiannya boleh sebabkan kesakitan. Oleh sebab itu pakaian dress atau jubah adalah pilihan terbaik dan selesa untuk digayakan sepanjang hamil ini,”  ujarnya yang turut mengamalkan doa atau bacaan tertentu sepanjang kehamilan ini.

Jelas Elfira, dia tidak ada amalan tertentu yang diamalkan untuk ‘baby’ ini tetapi sebelum tidur biasanya dia akan membaca ayat kursi dan berdoa lebih lama dari sebelumnya agar segala urusan dipermudahkan nanti.

Elfira dijangka akan melahirkan anak sulungnya ini pada Oktober nanti. Hijabista doakan segala urusan dalam proses kelahiran akan dipermudahkan.

KREDIT FOTO: INSTAGRAM ELFIRA LOY

 

Published by
Siti Zurina