Sewaktu bercuti di negara orang, pasti banyak memori indah yang tersimpan di kotak minda dan terpahat di hati. Begitulah yang dirasakan oleh Shafinaz Roshaizad,apabila mendapat peluang untuk menerokai pelbagai negara dan tempat pada usia yang muda.
Jika hendak disenaraikan tentu panjang sekali namun antara yang berada di ingatannya ialah United Kingdom, Indonesia, Thailand, Australia, Hong Kong, Ireland, Poland, Brussels dan Dubai.
Jelas gadis ini, sememangnya semua tempat yang telah dijelajahi menyeronokkan tetapi ada satu negara yang menjadi kesukaannya. “Yang paling saya suka sekali ialah negara Poland. Seronok dan best skali rasanya apabila dapat bermain ski di situ ketika musim salju. Memang menjadi antara momen kegemaran dan kenangan terindah percutian saya.
“Namun,ada juga kejadian yang tidak disangka berlaku. Adik saya jatuh hingga berdarah ketika bermain. Ambulans bergegas ke tempat kejadian dan dia terpaksa berkerusi roda sepanjang percutian kami di sana. Ia seperti kelakar tetapi juga menakutkan,” tambahnya.
POLAND DESTINASI PILIHAN
“Kebiasaanya sewaktu bercuti, saya dan rakan ataupun keluarga tidak menggunakan perkhidmatan mana-mana agensi pelancongan. Kami memilih untuk merancang sendiri percutian kami kerana lebih selesa dengan cara begitu,” jelas hijabi yang berusia 24 tahun ini ketika ditanya bagaimana dia merancang percutiannya.
Tidak sah sesuatu percutian itu jika tidak dilengkapi dengan aktiviti membeli-belah yang sememangnya sinonim dengan diri seorang perempuan. Sekali lagi, negara Poland turut menjadi destinasi pilihannya untuk membeli-belah.
“Saya suka membeli-belah di Poland kerana harganya yang sangat murah. Memang rambang mata untuk membeli di situ. Semua pusat membeli-belah di situ juga besar dan cantik sekali. Ianya boleh dikatakan sebagai lokasi shopping heaven!’’ tutur gadis dari Ampang ini.
Ketika ditanya mengenai pencarian makanan halal sebagai santapan sewaktu melancong, Shafinaz atau mesra dipanggil Finaz ini menjelaskan bahawa perkara itu tidaklah sukar dan tidak menjadi masalah untuknya.
TEMUI BANYAK INSAN BAIK SEWAKTU BERCUTI
“Tidak susah untuk mencari atau mendapatkan makanan halal ketika bercuti di luar negara tetapi ada kalanya ada hari yang kita akan masak sendiri. Ataupun untuk lebih mudah, kita akan makan makanan segera yang dibawa dari rumah seperti yang selalu dilakukan oleh orang lain juga.
“Sepanjang pengalaman saya melancong di luar negara, Alhamdulillah saya selalu berjumpa dengan orang dan masyarakat yang baik. Semua yang saya jumpa sangat mesra dan selalu memberi pertolongan tatkala kita memerlukannya.
“Kebanyakkan daripada mereka memang suka membantu orang luar. Pemandu-pemandu yang membawa kami berjalan-jalan sewaktu bercuti juga sangat bagus kerana pandai carikan tempat yang menarik dan membawa kami ke lokasi yang murah untuk membeli-belah dan makan,” tambahnya lagi.
Bercerita mengenai fesyen yang digayakan, dia akan sentiasa membawa pakaian lebih kerana risau jika apa-apa berlaku. Shafinaz akan memadankan segala aksesori dengan pakaian serta kasut sebelum memasukkannya ke dalam beg.
“Tetapi yang paling penting saya akan memastikannya selesa supaya mood saya tidak terganggu tatkala bercuti nanti,” jelasnya.
Selain itu, ketika melancong, gadis ini sering membelikan rantai kunci ataupun magnet peti sejuk sebagai kenangan buat kenalannya. Walaupun kedengaran seperti perkara biasa, namun sebolehnya dia akan mencari rekaan yang paling menarik dan unik kerana setiap negara yang dijelajahi pasti ada keistimewaan rekaan mereka yang tersendiri.
Berazam untuk ke Santorini selepas ini kerana terpukau dengan keindahan tempat tersebut, Shafinaz juga menyifatkan percutian ini bukan sekadar mengisi waktu lapang tetapi juga sebagai momen indah bersama keluarga dan sahabat handai.
“Bahagian paling menarik sewaktu bercuti semestinya kerana kita dapat berkumpul bersama-sama keluarga atau kawan sambil menerokai tempat-tempat yang belum pernah kita pergi. Walaupun ianya boleh jadi mencabar, namun pengalaman itu sangat berharga dan menyeronokkan!
“Nasihat Shafinaz kepada semua yang ingin melancong, sebagai seorang gadis kita perlulah sentiasa berhati-hati dan pandai menjaga diri kerana perempuan ini selalu menjadi sasaran untuk diganggu. Pakailah pakaian yang sopan dan bersesuaian dengan diri kita. Tak salah untuk bergaya kerana kita boleh menggayakannya dengan stail yang tersendiri asalkan kita tahu batas-batasnya,” katanya sebelum menutup perbualan.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI