Tirai program realiti Pencarian Nona Superwoman melabuhkan tirainya semalam. Tepukan gemuruh bergema di setiap penjuru studio apabila nama finalis, Norfazlina Mohd Faozi, atau Fazs Faozi diumumkan sebagai Juara, sekaligus mengatasi empat ‘seteru’ akhir yang bersaing di Putrajaya International Convention Centre (PICC).
Pada setiap episod, Fazs sering menampilkan prestasi yang konsisten dan seimbang dalam pelbagai aspek. Faktor kestabilan adalah asas berniaga yang sebenar, yang menjamin ‘kekuatan’ sesuatu perniagaan agar terus kekal dan bertahan lama. Ciri-ciri itulah yang membuatkan juri sebulat suara menobatkan usahawan kosmetik ini sebagai pemenang utama.
Menjelang malam finale Pencarian Nona Superwoman, wanita berusia 35 tahun dan lulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri itu berjaya memikat juri dengan pembentangan perniagaan syarikatnya, Fazsbeauty. Beliau bijak mengadaptasi segala ilmu sepanjang menyertai Pencarian Nona Superwoman, sekaligus mengukuhkan kedudukan di peringkat Top 3.
Turut bertanding di pentas akhir adalah usahawan bakeri Ana Najia dan Ayu Omar, usahawan sambal iaitu Syu Ramli serta usahawan percetakan gambar, Linda Roos. Juri-juri sepakat memilih Ana Najia sebagai pemenang ‘Most Favourite’ dan Syu Ramli sebagai pemenang ‘Most Inspiring’ dengan masing-masing membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000.
Setiap pemenang juga menerima sebuah trofi dan selempang serta sejambak bunga tajaan Aleeya Florist & Gifts.
SOKONGAN
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Yang Berhormat Datuk Seri Rina Mohd Harun menunjukkan sokongan penuh terhadap acara finale program realiti Pencarian Nona Superwoman yang diadakan di Putrajaya International Convention Centre (PICC) dan disiarkan secara langsung di Astro Prima saluran 105.
Turut hadir mengiringi Datuk Seri Rina ke PICC adalah isteri Menteri Besar Selangor, Datin Seri Masdiana Muhamad.
Daripada ratusan penyertaan, hanya 12 yang terpilih dan akhirnya lima finalis yang berjaya melangkah ke final. Program lapan episod yang bermula sejak 22 September lepas memberi peluang kepada usahawan B40 dan M40 yang terjejas pandemik untuk berkembang, menambah ilmu niaga dan merebut hadiah lumayan berjumlah RM70,000 keseluruhan.
Lima finalis yang menunjukkan prestasi cemerlang – Ana Najia, Ayu Omar, Fazs Faozi, Linda Roos dan Syu Ramli bakal bersaing merebut gelaran juara di pentas akhir. Masing-masing memburu ganjaran lumayan berupa wang tunai RM50,000 (Juara), RM10,000 (Most Favourite) dan RM10,000 (Most Inspiring).
Episod finale selama 1 jam, bermula 9.00 – 10.00 malam ini turut menyaksikan penampilan juri jemputan iaitu Dato’ Fazley Yaakob dan Datuk Rosyam Nor bersama juri-juri tetap iaitu Awal Ashaari dan Datin Adzliana Prof Dato’ Sri Dr Hasan. Ia turut dihoskan oleh pengacara jelita iaitu Uyaina Arshad. Program realiti ini dianjurkan oleh Nu Ideaktiv Sdn Bhd dan Majalah Nona.
Editor Pengurusan Majalah Nona, Kiffy Razak dalam ucapan beliau berkata, program Pencarian Nona Superwoman ini berjaya menggilap nilai keusahawanan yang tinggi serta bermanfaat untuk wanita yang menceburi bidang perniagaan.
“Saya bersyukur kerana program realiti ini berjaya mencapai tujuannya untuk memperkasakan kaum wanita berniaga. Kami di Majalah Nona sentiasa fokus terhadap usaha menjadi media utama yang memberi inspirasi kepada wanita bangkit dalam kerjaya dan gaya hidup.
Platform Pencarian Nona Superwoman anjuran Majalah Nona yang diperkasakan oleh USANITA selari dalam membantu wanita yang terjejas ekonomi akibat pandemik COVID-19. Kami merakam setinggi-tinggi penghargaan kepada USANITA yang sentiasa mewujudkan pelbagai peluang termasuk program pembangunan, bantuan kebajikan dan sosial, bantuan komuniti, seminar motivasi serta pendidikan yang berterusan kepada golongan memerlukan.”
Dengan pematuhan SOP yang ketat, pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial sepanjang rakaman berlangsung, acara finale bertemakan ‘Smart Elegant’ ini turut diserikan persembahan artis terkemuka Malaysia, Anuar Zain.
Bulan ini, Hijabista menghasilkan Majalah Hijabista Edisi Jawi menampilkan Nur Fazura sebagai penghias wajah hadapan. Menariknya, dengan setiap pembelian para pembeli akan menerima dua helai tudung istimewa.
Majalah ini boleh dibeli di laman Shopee Karangkraf Mall Official Store dengan harga RM29.90 sahaja. Berbaloi-baloi, beli majalah dapat pula dua tudung istimewa. Boleh dibeli di sini: Shopee