Pamer Adegan ‘Panas’ Dalam Video Promosi, Ustazah Asma’ Harun Nasihat Penggiat Seni Tempatan

Share

Tular perkongsian trailer video filem ‘PULAU’ yang mempamerkan sedikit babak lucah sehingga mencetuskan diskusi di rata-rata sosial media.

Ekoran hal itu, pendakwah bebas Ustazah Asma’ Harun mengutarakan pendapatnya tentang filem tersebut. Tambahan lagi, cara promosi mereka juga kurang sesuai untuk umum.

Filem Seram Atau Sebaliknya?

Ustazah Asma’ Harun membuat hantaran di Instagram dengan menasihati cara mereka promosi dan elemen yang digunakan. TKatanya juga, penerapan budaya asing juga tidak menghormati masyarakat di Malaysia.

“Sungguh, saya runsing memikirkan tentang trailer filem Pulau yang secara terang-terangan mempromosikan babak ‘soft porn’ dan mempamerkan nilai budaya barat dan langsung tidak menghormati sensitiviti masyarakat Malaysia,

“Ia jelas menunjukkan filem ini berselindung di sebalik genre seram tetapi mempromosikan babak-babak panas yang memualkan.” katanya.

Artikel berkaitan: “…Temukanlah Di Mana-Mana Dengan Kak Ifa, Saya Nak Settle…” — Di Takdir Pertemuan Ifa Raziah Dan Ustazah Asma’ Harun

Pendakwah bebas itu juga memberikan nasihat serta beberapa hadis Nabi yang menolak perbuatan sedemikian. Ini juga satu peringatan buat penggiat seni lebih peka apabila berkarya, terutama sekali menjaga sensitiviti budaya dan agama dalam kalangan masyarakat.

“Perlu diketahui menonton atau melakonkan watak yang berunsur lucah adalah haram dan ia tergolong dalam sesuatu yang dikeji dan tercela, sama ada yang ringan atau berat,

Rasulullah SAW bersabda:

لَيْسَ الْمُؤْمِنُ بِالطَّعَّانِ وَلَا اللَّعَّانِ وَلَا الْفَاحِشِ وَلَا الْبَذِيءِ

Maksudnya: “Seseorang yang beriman itu bukanlah daripada golongan yang suka mengaibkan orang lain, bukan daripada golongan yang melaknat orang lain, bukan daripada golongan yang suka mencarut, dan bukan juga daripada golongan yang suka berkata-kata keji dan buruk.” (HR Tirmidzi, hadis sahih)

“Bukan semudah itu kita hanya pejam mata, tolong lihat sudut pandang yang lebih luas kerana industri filem ini di tonton oleh semua lapisan masyarakat,

“Buat para penggiat seni, saya nasihatkan jika kalian ingin berjaya dalam industri ini, hidangkan karya yang menjaga sensitiviti budaya dan agama serta sarat dengan mesej yang baik kepada masyarakat,
“Sungguh, kalian bukan sahaja berjaya membawa perubahan ke dalam jiwa orang ramai bahkan turut didoakan dan mendapat pahala yang mengalir sampai bila-bila. SubhanAllah, besarnya ganjaran orang yang mempunyai kesedaran tentang perkara ini.” ujarnya lagi.

+++Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.

Published by
Qee