Pakai Topeng Muka, ‘Goggle Ski’ & ‘But’ Getah: Cara Lelaki Ini Lindungi Diri Dari Covid-19

Share

Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ada ketikanya ketua keluarga perlu keluar membeli barang-barang keperluan keluarga. Masing-masing punya cara tersendiri untuk melindungi diri.

Memakai mask (topeng muka) dan bersarung tangan itu mungkin sudah jadi perkara biasa. Berlainan pula dengan lelaki ini. Demi memastikan dirinya dilindungi daripada Covid-19, seorang jurutera sanggup memakai pakaian perlindungan diri yang dibuatnya sendiri daripada beg plastik sampah, ketika mengunjungi sebuah pasar raya, di Kuala Terengganu.

Bagi melengkapkan set pakaian keselamatannya itu, Zamakhyari Khairiri, 41, turut memakai topeng muka, bercermin mata ‘goggle ski’ dan berkasut ‘but’ getah.

Bapa kepada tiga anak yang tinggal di Kampung Bukit Payong itu berkata, walaupun ada yang memandang pelik apabila melihat penampilannya, namun beliau tidak mengambil kisah mengenainya, asalkan beliau berasa selamat berada di tempat awam.

“Saya tidak kisah dengan keadaan ini, malahan merasa bangga kerana ia boleh menjadi satu cara berkempen, bagi mengingatkan orang awam akan langkah yang perlu dilakukan bagi membendung virus ini.

“Tempat seperti ini (pasar raya) mempunyai potensi yang tinggi untuk terkena jangkitan virus itu (Covid-19), dan ini adalah ikhtiar kecil yang saya lakukan demi menjaga keselamatan keluarga dan orang sekeliling daripada virus itu,” katanya ketika ditemui Bernama, semalam.

Beliau mengambil masa kira-kira 10 minit untuk memakai semua kelengkapan itu dengan dibantu anak-anaknya.

Zamakhyari menambah semalam kali pertama beliau keluar dari rumah, untuk membeli barangan makanan dan keperluan keluarganya, setelah lapan hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Sumber kredit: Harian Metro dan BERNAMA (foto)

Published by
Norhasliza