Kulit memerlukan sumber vitamin, pelindung dan pelembap untuk kekal sihat. Tidak semua losen sesuai untuk mereka yang mempunyai masalah kulit kering.
Andai tersilap langkah, kesannya mungkin lebih buruk termasuk gatal, berminyak dan sebagainya. Selalunya, losen yang menjadi pilihan kita adalah losyen yang berbau wangi. Barulah rasa lebih yakin mahu bersalaman dengan orang ramai.
Tetapi ada satu perkara yang perlu anda tahu terutamanya cara untuk memakai losen yang tepat. Kebanyakan wanita selalu memakai losen dengan cara yang salah.
Jadi, ketahui 7 kesalahan ini supaya anda tak ulanginya kemudian hari.
1. Terus Sapu Pada Kulit Yang Kering
Sekiranya anda mempunyai kulit yang kering, anda pasti mahu terus memakai losyen pada tubuh. Sebaiknya, anda skrub dulu kulit anda sebelum memakai losyen. Jika tidak, losyen tersebut hanya akan berada di atas kulit dan tidak meresap dengan sempurna.
Jenis kulit ini biasanya bermasalah ketika musim hujan, bekerja dalam ruang berhawa dingin atau mengunjungi negara sejuk. Dalam situasi ini, amalkan penggunaan losen yang kaya dengan pelembap, mengandungi gliserin, minyak tumbuhan, asid alfa hidroksi dan lanolin.
2. Tidak Memakai Losen Selepas Mandi
Selepas mandi, anda seharusnya terus memakai losyen kerana kulit masih lembap dan memudahkan losyen untuk menyerap ke dalam kulit. Paling lambat adalah sekitar 30 minit selepas mandi.
3. Sapu Terlalu Kasar
Kerana ingin cepat, anda telah menyapu losen pada tubuh dengan kasar. Seharusnya, sapu dengan gerakan memutar bermula daripada kaki hingga ke leher.
4. Losyen Berbeza Untuk Bahagian Tubuh Berbeza
Rupa-rupanya anda tidak boleh menggunakan satu jenis losyen untuk semua bahagian tubuh. Gunakan losen jenis krim untuk bahagian yang terlalu kering seperti lutut dan siku. Untuk bahagian lain, gunakan losyen daripada jenis gel.
5. Memakai Losyen Terlalu Sedikit
Sama seperti memakai krim perlindungan matahari, losen juga perlu selalu dipakai pada tubuh kerana tubuh boleh hilang kelembapannya selama anda berada di luar rumah. Semakin banyak tubuh anda terkena panas atau sejuk, semakin cepat tubuh menjadi kering dan dehidrasi. Sebaiknya, sapukan losen setiap 6 atau 7 jam sekali.
6. Memakai Losyen Pada Muka
Jangan sesekali memakai losen pada muka kerana kandungan losen badan terlalu berat untuk wajah.
PANDUAN MEMILIH LOSEN TUBUH YANG TEPAT UNTUK KULIT:
1. Kenali kulit anda
Penggunaan losen bagi kulit berminyak, normal dan kering biasanya memberi kesan berbeza. Untuk mengenal jenis kulit, lihat situasi anda ketika di tempat sejuk, panas dan pada suhu bilik. Sekiranya kulit mudah berasa gatal di ruang berhawa dingin, kemungkinan besar anda memiliki kulit kering. Cuba garu bahagian kulit anda yang biasanya terlindung dengan pakaian. Jika nampak garis putih dan agak bersisik, anda sememangnya memerlukan losyen untuk melembapkan kulit!
2. Kulit normal
Selalunya jenis kulit ini kerap diabaikan kerana dianggap normal dan sihat. Bagaimanapun, sebenarnya kulit masih perlu dibelai dengan mandian dan losen bersesuaian. Pilih losen yang lembut dan ringan untuk kesan sempurna.
3. Kulit berminyak
Mungkin ramai berfikir kulit ini langsung tidak memerlukan losen. Hakikatnya, kulit berminyak memerlukan pelembap ringan yang bebas daripada sebarang kandungan minyak.
4. Kulit terbakar
Pilih losen berasaskan aloe vera sekiranya kulit anda terbakar atau terdedah lama di bawah sinaran mentari. Kesan menyejuknya bukan saja mengurangkan rasa pedih dan menenangkan, malah berupaya memberi kelembapan berpanjangan.
5. Baca label
Usah terpedaya dengan rupa botol dan bau losen yang harum. Ingat, setiap produk mengandungi bahan dan manfaat berbeza untuk kelompok berbeza. Membaca kandungan losen boleh membantu anda menghindar banyak risiko buruk termasuk kandungan bahan tidak sah dan kesan alahan. Ia juga membantu anda membeli losen tepat yang bersesuaian dengan keperluan dan jenis kulit.
6. Antioksidan
Losen mengandungi antioksidan sangat bagus untuk kulit. Ia bukan saja membantu pertumbuhan sel kulit baru, malah melindungi kulit daripada rasa kering dan kusam. Ia boleh ditemui dalam produk mengandungi vitamin C, ekstrak teh hijau dan delima.
7. Bahan pewarna
Jauhi produk yang mengandungi pewarna buatan. Kemungkinan besar bahan pewarna ini boleh mencetuskan kesan alahan pada kulit.
8. Uji kesesuaian
Sekiranya anda memiliki kulit sensitif, jangan gelojoh menyapu losen ke seluruh tubuh sebaliknya uji dulu di bahagian tubuh yang kurang berisiko. Jika timbul kesan iritasi, gatal, kulit merah dan bintik ruam, itu bermakna losen berkenaan tidak sesuai dengan kulit anda.
9. Hipoalergenik
Losen ini tidak menimbulkan alahan dan biasanya khusus untuk mereka yang berkulit sensitif. Berbanding dulu, losen jenis ini lebih mudah dijumpai di pasaran. Baca label dan uji dahulu sebelum menyapu pada tubuh.