Tahun Baru Cina bakal disambut tidak lama lagi, di negara Malaysia sudah tentu bukan sahaja bangsa Cina malah pelbagai bangsa lain juga turut meraikan bersama untuk memeriahkan lagi perayaan ini.
Menjadi salah satu perhatian adalah makanan yang menarik seperti Yee Sang yang menjadi simbolik setiap kali perayaan ini tiba. Pasti ada yang tertanya adakah boleh bagi umat Islam sertai perayaan ini? Boleh ke makan Yee Sang?
Artikel berkaitan: Elak Sakit Tekak Makan Limau Mandarin Di Musim Perayaan, Doktor Ini Kongsi Caranya
Persoalan ini telah pun terjawab di Portal Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
, Islam tidak melarang hak agama lain sedangkan pada ketika zaman Rasulullah SAW turut hidup bersama masyarakat Yahudi, Nasrani, dan juga kaum musyrikin.Firman Allah SWT:
وَمَنۡ أَحۡسَنُ قَوۡلٗا مِّمَّن دَعَآ إِلَى ٱللَّهِ وَعَمِلَ صَٰلِحٗا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ ٱلۡمُسۡلِمِينَ
Maksudnya: Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!”. (Fussilat: 33)
Islam juga menyuruh umatnya untuk ber-wala’ kepada Islam dan barra’ dari kekufuran. Sebagai umat yang soleh, kita juga perlu rasa bangga dengan pegangan Islam serta menunjukkan jati diri muslim yang dapat membezakan dari golongan kafir.
Menurut nukilan S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri, adat perayaan tahun baru Cina tiada kaitan dengan permasalahan akidah. Malah, ia menjadi satu cara bagi seorang muslim untuk bergaul dan memahami budaya orang bukan islam dalam pembentukkan masyarakat sosial yang harmoni.
Yee Sang atau juga dikenali sebagai Yusheng satu upacara makan bersama dengan sulaman ucapan kemakmuran sering dilakukan ketika perayaan tahun baru Cina. Ianya hanya popular pada kalangan masyarakat Cina di Malaysia dan Singapura, bahkan, tidak menjadi satu budaya di China, Hong Kong, dan Taiwan.
Hidangan ini terdiri dari campuran tujuh jenis warna yang berlainan seperti hirisan betik, lobak putih, lobak merah, salmon mentah, kekacang, aneka sayur-sayuran, dan juga aneka sos serta ramuan lain. Dari sudut pandangan Islam, tiada halangan jika makanan itu halal lagi baik. Firman Allah SWT:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ كُلُواْ مِمَّا فِي ٱلۡأَرۡضِ حَلَٰلٗا طَيِّبٗا وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِۚ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٌ
Maksudnya: Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.
(Al-Baqarah: 168)Amalan atau budaya ini dipandang tidak berkait dengan permasalahan akidah dan hukumnya harus bagi umat Islam yang diajak untuk turut serta dalam upacara Yee Sang ini selama mana makanan yang terhidang itu halal.
Artikel berkaitan: Acara Wajib Selfie Time Raya, Tapi 10 Cara Selfie Ini Boleh Membawa Malang Di Musim Perayaan. Kena Ingat Pantang Larang Terutama No 1.
Sumber: Portal Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
+++Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.