Kerohanian

Oki Setiana Dewi Raih Gelaran Dr Falsafah Kali Kedua, Bukti Hijabi Juga Mampu Berjaya Dunia & Akhirat!

Share

Siapa yang pernah menonton filem islamik ‘Ketika Cinta Bertasbih’ yang popular selepas filem ayat-ayat cinta pasti kenal dengan heroin utama Anna Althafunnisa yang dilakonkan oleh Oki Setiana Dewi.

Siapa sangka hijabi manis bertudung litup itu telah berjaya menamatkan pengajian pada peringkat Doktor Falsafah (Phd) dan mendapat gelaran Doktor dari Institut Perguruan Tinggi Ilmu Al-Quran Jakarta pada 1 November lalu.

Ini merupakan gelar doktor kedua bagi Oki setelah menghabiskan masa menjalani pengajian di Universiti Islam Negeri Syarif Hidayatullah, Jakarta dalam jurusan Pengkajian Islam Konsentrasi Komunikasi dan Dakwah pada tahun 2020 yang lalu.

Akan Pertimbangkan Tawaran Jadi Pensyarah

‘Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu’ itulah perumpamaan yang sesuai untuk menggambarkan rezeki yang dikecapi oleh Oki, apabila beliau terus ditawarkan jawatan pensyarah Universiti di kampus sama sebaik sahaja menamatkan pengajian.

Malah, Oki bersetuju untuk mempertimbangkan tawaran berkenaan, kerana menurutnya, lagi banyak kita memberi ilmu (mengajar) kepada orang lain, maka lebih banyak ilmu yang akan diperolehinya nanti.

Artikel berkaitan: Ditawar ‘Bayaran Lumayan’ Jika Sanggup Buka Tudung – Ini Pendedahan Oki Setiana Dewi!

“Mungkin, rasa-rasanya saya akan mulai memikirkan perkara ini. Kerana, kalau kita mengajar kita juga bakal memperoleh ilmu,” ucap Oki Setiana Dewi lapor kompas.com ketika ditemui di kawasan Lebak Bulus, Jakarta Selatan.

Selain itu, Oki berkata menjadi tenaga pengajar di Universiti memang menjadi impian yang sudah lama diidamkannya.

“Sebenarnya untuk jadi Pensyarah itu sudah difikirkan sejak beberapa tahun yang lalu. Karena, saya sangat suka belajar. Tapi kerana sibuk dengan jadual yang padat, akhirnya terpaksa menangguhkan niat itu,” kata Oki Setiana Dewi.

Oki Sangat Suka Mendalami Ilmu & Belajar

Kakak kepada pempengaruh Youtube, Ria Ricis itu mendedahkan bahawa dia sangat suka menimba ilmu. Oleh sebab itu, dia memilih untuk terus menuntut ilmu meskipun sudah berumah tangga.

“Saya fikir, kerana saya orang yang cintakan ilmu dan saya suka belajar, saya suka dengan kampus, saya suka bertemu dengan guru-guru dan masih ada banyak ilmu yang saya tak tahu, dan hanya mengetahuinya setelah menuntut ilmu,” jelas Oki Setiana Dewi.

Artikel berkaitan: Permintaan Ibu Yang Sakit Mahu Dia Jadi Anak Solehah, Detik Permulaaan Hijrah Oki Setiana Dewi 13 Tahun Lalu

Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.

Sumber: Kompas.com & Instagram Oki Setiana Dewi

Published by
Haifa Nasir