Ramai orang melihat dunia fesyen sebagai dunia yang penuh dengan kemewahan, glamor dan warna-warni. Kerlipan cahaya lensa kamera, berjalan di atas karpet merah, menghadiri majlis yang serba mewah dan eksklusif juga bersosial bersama golongan elit merupakan impian pada mereka yang ingin meraih populariti yang tinggi.
Tidak hairanlah mengapa hingga hari ini, industri fesyen tidak pernah sunyi dengan kehadiran pereka mahupun pencinta fesyen khususnya golongan muda yang baru mula berjinak dalam industri fesyen tempatan.
Industri fesyen hari ini serba sengit dan kejam. Penuh dengan cabaran. ‘Cut-throat industry’. Bisa sahaja sesebuah majalah itu ditutup walaupun sudah bertahun di dalam industri. Bisa juga kamu disingkirkan dari sesebuah syarikat dek krisis kewangan walaupun setiap tahun kamu dilabel sebagai pekerja cemerlang. Apa yang lebih teruk lagi apabila jenama fesyen kamu tidak lagi menjadi pujaan orang ramai dan terus menjadikan kamu di antara mereka yang bankrap.
“It’s important for young women and men coming out of the fashion schools to think seriously before starting their own collections” – Anna Wintour
Penulisan ini bukanlah untuk membuang cinta dan minat kamu terhadap dunia fesyen, malah adalah lebih baik jika kamu bersiap sedia untuk menghadapi pelbagai kemungkinan dalam industri ini. Atur langkah kamu dengan lebih efektif dan tetapkan objektif yang jelas untuk kamu bertahan lama dalam industri ini. Terang lagi bersuluh. Dunia fesyen hari ini memaksa kita untuk bekerja keras bukan bersantai, menjadi lebih kreatif bukan menciplak idea orang lain dan bersaing secara sihat bukan menyimpan hasad dengki.
Hari ini situasi ekonomi negara tidak stabil. Sekali gus memberi kesan kepada syarikat-syarikat pengeluar pakaian, penerbitan majalah, penjualan secara online juga pereka tempatan untuk mengukuhkan institusi kewangan mereka. Sebagai contoh, hingga hari ini masih ada syarikat penerbitan majalah yang punya masalah kewangan sehingga terpaksa menutup majalah bagi menstabilkan keadaan syarikat. Jadi, jika anda menanam impian untuk menjadi Miranda Priestly seperti dalam filem The Devil Wears Prada, tingkatkan usaha keras kamu mencari klien hebat yang mampu menyumbang keuntungan pada majalah kamu. Skop tugas ini lebih tertumpu kepada sang editor yang diibaratkan
nakhoda kapal pelayaran. Keuntungan sesebuah majalah itu lebih tertumpu kepada skop tugas seorang editor. Ya! Bukan mudah untuk menjadi seorang editor.Begitu juga jika anda seorang pereka fesyen. Jangan hanya menghasilkan pakaian semata-mata. Rancang dahulu strategi pemasaran yang efektif supaya keuntungan dapat diraih setimpal dengan perbelanjaan besar yang kamu sudah laburkan. Saya percaya ramai anak muda yang begitu obses menjadi pereka. Namun, tidak tahu bagaimana untuk menjual dan hanya berfikir untuk tempoh yang singkat. Bagi mereka, erti glamor itu boleh dicapai sekiranya menjadi pereka dan menghasilkan rekaan yang “ke laut” dan akhirnya tersadai di tengah jalan. Timba ilmu dan belajarlah daripada barisan senior yang ada. Masih saya ingat pesanan pensyarah saya sewaktu dahulu;
“Fesyen itu bukanlah semata-mata menghasilkan pakaian. Malah, ia melibatkan segala hal perniagaan yang menyumbang kepada keuntungan sesebuah jenama itu.”
Natijahnya, penulisan akhir kali saya ini bukanlah seperti suara pemberontakan terhadap dunia fesyen yang kejam ini, namun saya istilahkan sebagai nasihat kepada mereka yang hanya memandang dunia fesyen ini sebagai dunia glamor semata-mata. Malahan, usaha keras, penat-lelah dan kerja kuat amat diperlukan untuk terus kekal lama bertahan dalam industri ini. Apa yang penting, tidak kiralah anda seorang pereka fesyen, editor, perunding fesyen, penulis web mahupun pencinta fesyen, hindari dari hasad dengki dan bersainglah dengan cara yang lebih sihat untuk menghasilkan industri yang lebih bermutu.
“In fashion, one day you’re in, and the next day you’re out”- Heidi Klum, Project Runway.