Tinggal sebulan sahaja lagi industri muzik tempatan bakal menyaksikan sebuah persembahan magis dan memukau dari penyanyi Aina Abdul yang terkenal dengan alunan vokal yang mantap serta memiliki aura yang tersendiri. Konsert A Night With Aina Abdul 2.0 bakal diadakan selama dua hari pada 25 dan 26 Jun 2022 di pentas tersohor, Istana Budaya, Kuala Lumpur.
Dalam sesi sidang medianya yang berlangsung hari ini, Aina menyatakan bahawa ini merupakan konsert pertamanya yang berskala besar. Berkongsi rasa keterujaannya, Aina turut kongsi rasa risau tentang konsert yang bakal berlangsung nanti.
“Sebanyak 30 lagu akan dipersembahkan pada konsert saya nanti dan saya berasa begitu gementar menanti tarikh 25 dan 26 Jun itu nanti,” kongsinya.
Bakal mendendangkan sebuah lagu baru bertajuk Terus Hidup, A Night With Aina Abdul 2.0 akan diarahkan Mac Chew bersama-sama dengan barisan pemuzik hebat seperti Jennychin, John Thomas, Andy Peterson, Jamie Wilson, Wan Gigi dan Pa’ang.
Berbicara tentang persiapan konsert ini, 50 peratus sudahpun siap terutamanya dalam aspek muzik. Selebihnya lebih kepada bahagian pementasan konsert itu nanti.
“Bahagian muzik merupakan proses paling cepat disiapkan. Cuma untuk masa ini, proses persiapan lebih tertumpu kepada pencahayaan pentas, proses keluar masuk pentas, penghafalan skrip dan lain-lain lagi,” kongsinya.
Mengenai konsep yang akan dibawakan untuk konsert ini, kongsi Aina, ia lebih kepada moden dan ‘clean’ dimana kekuatannya lebih tertumpu kepada emosi yang diletakkan dalam setiap lagu sambil dimeriahkan lagi dengan konsep ‘gig’ di atas pentas yang berprestij.
“Kami akan bawakan konsep ‘gig’ di atas pentas tetapi akan akan mempersembahkan sebuah kelainan dalam setiap lagu yang akan disampaikan. Konsert ini juga akan dibahagikan dengan tiga segmen berbeza. Setiap segmen memiliki kisah yang tersendiri namun basih berkait-rapat antara satu dengan yang lain,” ujarnya teruja.
“Semuanya sendiri tanpa pihak penaja”
A Night With Aina Abdul 2.0 merupakan sebuah konsert yang diusahakan oleh teamnya sendiri tanpa sebarang penajaan dari mana-mana pihak. Menurut Aina, biarpun ia merupakan kerjasama antara dia dan teamnya, Aina Abdul Entertainment, tetapi dia belajar banyak perkara sepanjang proses persiapan konsert ini.
“Selalunya saya dijemput untuk membuat persembahan. Tetapi kali ini, ia menjadi sedikit rumit apabila saya, pengurus dan pembantu serta team saya yang lain harus melakukan semua perkara. Namun saya percaya, hasil usaha yang kami lakukan ini akan membuahkan hasil yang terbaik,” tambahnya.
Namun, Aina bersifat terbuka sekiranya ada mana-mana pihak yang ingin menaja konsertnya pada kali ini kerana ia dilihat sebagai sebuah kemudahan dan bonus untuk memberi yang lebih baik kepada para penonton nanti.
“Nilai seorang penyanyi bukan pada usianya..”
Berkenaan dengan harga tiket yang dikatakan mahal, ramai yang memberi komen dimana harganya tidak setimpal dengan usia Aina berkecimpung dalam dunia hiburan. Ada juga yang turut membuat perbandingan dirinya dengan artis yang lebih senior yang mempunyai lebih banyak pengalaman.
Membidas kenyataan tersebut, Aina menegaskan bahawa harga atau nilai seseorang artis itu bukan diikur dengan tempoh atau pengalaman seseorang itu menjadi artis. Malah ia harus diukur dengan kejayaan dan kredibiliti seseorang artis itu menjayakan persembahannya dengan memuaskan hati para penonton dan peminat.
“Ramai yang marah saya tentang harga tiket dijual dengan harga mahal. Tidak kurang juga, ada yang membanding-bandingkan saya dengan artis lain yang lebih senior. Bagi saya, perbandingan ini tidak adil.
Jujur saya katakan, seseorang artis itu haruslah dinilai dari sudut perlaksanaannya dalam memastikan para penonton puas melihat persembahannya. Bukan berdasarkan usia mahupun tempoh artis itu berkecimpung dalam dunia nyanyian,”ujarnya tegas.
Tiket konsert A Night With Aina Abdul boleh dibeli di ticket2u dengan harga bermula dari RM109 sehingga RM1,199 dan bakal berlangsung selama dua hari iaitu pada 25 dan 25 Jun 2022.
Sumber gambar: Instagram Aina Abdul
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.