Niat Baiki Diri Sendiri Sewaktu Berdakwah, Ikon Dakwah Media Sosial Tak Gentar Dikecam Netizen.

Share

Baru berusia 20 tahun, empunya nama Aisyah Hijanah Azhari ini sememangnya seorang yang gigih berusaha dan bijak menguruskan masanya  sebagai seorang pelajar, isteri, ahli perniagaan dan juga duta kepada beberapa jenama pakaian. Jika anda suka melihat video dakwah di laman sosial Instagram, akaun @aisyahhijanah pasti menjadi antara pilihan.

Ketika ditanya bagaimana dia menggalas segala tanggungjawab itu pada usia yang masih muda, Aisyah mengakui ia bukanlah suatu perkara yang mudah.

“Sebenarnya sangat susah untuk seimbangkan segalanya dalam kehidupan seharian. Oleh itu, saya akan selalu mengekpresikan perasaan di hadapan cermin. Apabila saya penat, saya akan cakap pada diri, ‘Aisyah, kau yang pilih jalan ini jadi you have to be strong in anything that you choose’.

“Jika Allah takdirkan jalan ini, maka ini adalah yang terbaik. Selalu kena bersyukur sebab banyak lagi insan kekurangan yang mahu berada di tempat kita. Saya akan bagi semangat pada diri sendiri sebab bila Tuhan sudah memilih kita, so you have to be the best! “ ujar anak sulung daripada dua beradik ini memulakan perbualan.

PENGALAMAN HIDUP MEMATANGKAN DIRI

Walaupun masih muda, pembawaan dirinya yang matang membuatkan ramai yang tidak menyangka usia sebenarnya. Aisyah ternyata ada kisah tersendiri yang menarik untuk dikongsikan bersama.

“Sebenarnya, ayah saya meninggal sewaktu saya masih kecil lagi. Ibu saya pula menghidap kanser tiroid sewaktu zaman belajarnya di luar negara. Jadi apabila dia melakukan pembedahan di sini, doktor secara tidak sengaja terputuskan urat suara ibu.

“Semenjak daripada itulah saya yang menjadi ‘suara’ buat ibu memandangkan dia sudah tidak boleh bercakap. Kami duduk menumpang di rumah nenek dan tiada kenderaan untuk bergerak dan hanya menggunakan teksi sebagai pengangkutan untuk ke mana sahaja,” ujar cinta hati kepada Alif Teega ini.

Petah berbicara, jelas Aisyah dia sememangnya suka melihat dan meniru aksi ustazah yang memberi ceramah di kaca televisyen sejak dari kecil lagi. Malah dia juga  akan mengambil sejadah dan Al-Quran kemudian melakonkan semula di hadapan cermin di rumahnya.

 

Sememangnya bukan mudah menjadi terkenal kerana mudah terpalit kecaman orang ramai terutama sekali pengguna media sosial. Pernah rasa tertekan apabila video yang dimuat naik di laman Instagram disalah tafsir oleh netizen,  namun Aisyah cepat bangkit daripada kesedihannya.

“Apabila dikecam, ia sangat susah kerana mereka di luar sana tidak tahu hal yang sebenar. Saya pernah juga menangis, rasa menyesal hingga mahu menutup akaun medial sosial. Tetapi disebabkan belajar dalam bidang psikologi, ia membuatkan saya mudah untuk memahami perangai masyarakat dan keadaan sekeliling. Mereka mungkin tiada niat sebegitu untuk mengecam saya.

“Saya juga akan memikirkan dari sudut sebagai seorang usahwan yang mana kita tidak perlu melayan perkara yang tidak penting dan hanya tertumpu pada matlamat dan anggap mereka memberi pemasaran percuma pada kita.

“Seterusnya, saya akan fikirkan daripada sudut sebagai seorang manusia biasa. Tidak mengapalah, mungkin ini ujian daripada Tuhan. Mungkin Allah mahu diri kita ini ubah sesuatu dan sentiasa ingat padaNya dan kerana itulah Dia datangkan kesedihan ini,” jelas pelajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini.

NIAT BAIKI DIRI SENDIRI SEWAKTU BERDAKWAH

Menggemari fesyen yang ringkas, manis dan yang pastinya mengikut syariah, Aisyah menjelaskan sasarannya dalam berdakwah adalah golongan remaja.

“Mungkin dengan karakter saya yang sememangnya hyper dan swag begini memudahkan golongan remaja untuk mengikuti dakwah yang ingin disampaikan. Saya mahu mereka berasa selesa dan tidak merasakan ianya sesuatu yang berat untuk diterima.

“Sebenarnya, saya menyasarkan untuk memperbaiki diri sendiri apabila membuat video dakwah di Instagram. Tidak pernah terniat langsung untuk mengecam sesiapa. Itu adalah cara untuk saya memberi semangat pada diri sendiri bagi mengubah diri ke arah kebaikan,” tambahnya lagi.

Bergelar isteri pada usia yang muda iaitu 19 tahun, Aisyah mengakui ianya tidak mudah namun segalanya akan jadi senang jika kita sandarkan sepenuhnya harapan pada Yang Maha Esa.

“Saya berkahwin awal di atas permintaan ibu. Sebenarnya cita-cita saya mahu menjadi doktor seperti arwah ayah. Namun, saya percaya apabila kita mengikut permintaan ibu, pasti Tuhan akan memberi yang lebih baik seperti yang terkandung dalam Surah An-Nur ayat 32.

“Kadang kala ada juga perasaan ingin berseronok dengan teman-teman tetapi alhamdulillah, saya dikurniakan seorang suami yang sangat memahami dan tetap memberi keizinan untuk saya meluangkan masa bersama rakan-rakan. Percayalah, aturanNya itu yang terbaik apabila kita redha dengan ketentuan Ilahi,”  jelasnya mengakhiri bicara.

Foto : Nana Azman Solekan: Fatin Kamalia Busana: Minima Lace, Seksyen 7 Shah Alam

Published by
SH