Khabar berita ini mengejutkan peminat selebriti terkenal ini seolah-olah mendedahkan momen bahagia yang dinanti-nantikan akan tiba. Personaliti dan usahawan fesyen popular, Neelofa bersiaran secara langsung bersama pereka kasut terkemuka dunia, Giuseppe Zanotti di Instagram.
Sungguhpun berada dalam zon masa yang berbeza, Neelofa dan Giuseppe tetap meluangkan masa bersama untuk berbicara perihal dunia fesyen , sisi kreatif masing-masing dalam menerbitkan rekaan selain turut menyentuh mengenai sambutan Ramadan dan kesan wabak COVID-19 yang sedang melanda dunia.
“Seronok dapat bertemu dengan kamu. Saya sedar yang Malaysia sedang menyambut bulan Ramadan sekarang. Justeru, saya berharap agar semuanya berada dalam keadaan baik. Semoga mendapar Ramadan yang diberkati,” ujarnya membuka bicara.
Menerusi siaran langsung tersebut, Neelofa bertanya, bagaimanakah Giuseppe kekal kreatif dalam situasi yang memerlukan kebanyakan orang berkurung di rumah.
Giuseppe berkata: “Saya sentiasa berhubung dengan team saya – Facetime, Zoom, Skype sudah menjadi sebahagian daripada rutin harian. Buat masa ini, kami sedang menghasilkan koleksi SS21 yang boleh saya sifatkan sebagai lebih terperinci dan fokus.
“Bekerja adalah eskapisme saya sepanjang tempoh ini. Ia membenarkansaya untuk bermimpi dan memberi perhatian serta fokus terhadap kecantikan.
“Sejujurnya, situasi sekarang ini memperlahankan segala hal, kurangnya kekeliruan, banyaknya kesunyian dan saya mempunyai masa untuk bermuhasabah. Tempoh ini juga memberikan saya peluang untuk berhubung dengan diri sendiri sehingga mencetuskan kreaitivi,” ujarnya.
Selain itu Giuseppe turut memberitahu bahawa minatnya yang mendalam terhadap kasut bermula apabila dia melihat seorang wanita yang mengenakan dres cantik dengan kasut hodoh di kaki.
“Ibu saya seorang tukang jahit. Justeru, saya selalu melihat pelanggan wanita mencuba pakaian di rumah. Namun, pada suatu hari, saya melihat seorang wanita yang menyarung sepatu hodoh saat mencuba baju jahitan ibu saya yang cantik.
Dari situ, saya mula berimaginasi sesuatu yang luar biasa. Saya rasa, saya mewarisi perasaan sensitif melihat sesuatu daripada ibu saya,” ujarnya lagi.
Pernah berkolaborasi dengan Neelofa untuk menghasilkan koleksi kasut, Giuseppe turut menamakan kolaborasi bersama penyanyi papan atas Jennifer Lopez, Rita Ora dan Kanye West sebagai kolaborasi kegemarannya.
Usai berkongsi hal-hal berkaitan rekaan dan kreativiti, Giuseppe kemudiannya melakarkan rekaan kasut kahwin untuk Neelofa secara spontan.
Berusia 63 tahun, Giuseppe Zanotti turut mereka tas tangan dan barang kemas. Barangan mewah Giuseppe dihasilkan menerusi syarikatnya, Vicini S. p.A dan diedarkan di 75 buah negara di seluruh dunia.