Sebut saja nama Amy Mastura pasti akan terlintas sikapnya yang kelakar dan comel. Tak dinafikan Amy Mastura antara artis yang bebas kontroversi.
Miliki keluarga yang bahagia, suami yang baik serta anak-anak yang bijak adalah rezeki buat Amy Mastura yang kini berusia 52 tahun.
Kesimpulannya bila jiwa kita tenang, bahagia dan positif secara tak langsung kecantikan semula jadi akan terserlah pada luaran seterusnya nampak awet muda seperti Amy Mastura.
Rezeki Amy Mastura terlihat muda berbanding usia sebenar.
“Saya percaya semua orang ada kecantikan masing-masing. Dari segi pemakanan saya makan semua tetapi secara sederhana.
“Untuk aktiviti kecergasan selalunya yang ringan saja contohnya berjalan laju atau berjoging sekali sekala.
“Bagi saya apa-apa pun yang kita buat eloklah bersederhana. Dari segi solekan pun begitu juga, harus bersederhana kecuali ke majlis-majlis tertentu,” kongsi Amy yang popular dengan lagu Sha Na Na.
Menurut selebriti kelahiran Perak ini, usia akan terus meningkat dan proses penuaan pasti berlaku.
“Kita tak boleh lari sebab akan menuju juga ke hari tua juga. Pastinya kita ada orang-orang terdekat yang sudah melalui proses itu terlebih dulu.
“Bila kita lihat mereka melalui pengalaman itu maka kita boleh ambil pengajarannya ke kehidupan kita kelak.”
Amy Mastura turut berpesan agar setiap wanita bersedia dengan segala perubahan seiring peningkatan usia.
“Contohnya dari segi penjagaan kesihatan gigi dan mata. Bersedialah kerana kita juga akan ke arah itu satu hari nanti dengan masalah yang sama.
“Bersedia lebih awal dan bila tiba masanya kita akan menghargai perjalanan proses itu.”
KEBAHAGIAAN 23 TAHUN
Sepanjang bergelar artis, tidak pernah lagi kita mendengar kisah-kisah yang kurang enak tentang rumahtangga Amy Mastura.
Sedar tak sedar sudah 23 tahun usia perkahwinan Amy Mastura dan suaminya, Alvin Tham Suffian. Mereka mendirikan rumahtangga pada 2000 dan dikurniakan dua puteri, Adriana (22) dan Adalia (19).
“Alhamdulillah syukur masih bertahan walaupun setiap hari ada benda baru dan perbezaan yang kami belajar. Setiap hari nak memperbaiki perhubungan dan diri masing-masing.
“Yang penting perbaiki diri sendiri dulu. Bukan mudah nak perbaiki orang lain kerana belum tentu orang akan suka dan terima.”
“Bila kita beri kebaikan Insha-Allah kita akan dapat kebaikan itu semula. Kebahagiaan itu dibina sama-sama antara suami isteri berserta doa.”
“Masing-masing ada tanggungjawab dan ada keinginan untuk bagi kebahagiaan kepada pasangan. Bukan asyik meminta saja. Jadilah isteri dan ibu yang terbaik buat keluarga,” tutur Amy Mastura.
Semoga Amy Mastura dan suami kekal bahagia selamanya. Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat buat kita semua khususnya para wanita.
Kredit Foto: Instagram Amy Mastura
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini