Nak Wajah Cantik & Berseri Mengikut Islam, Amalkan 5 Tip Mudah Ini

Share

Memiliki wajah yang cerah tidak semestinya memerlukan anda menggunakan rawatan wajah menggunakan bahan alami atau sebarang krim pemutih wajah. Anda boleh melakukannya tanpa sebarang ubat dengan hanya menjalani perintah agama sahaja.

Dalam Islam, mendapatkan wajah yang berseri dan awet muda itu cukup mudah, asalkan anda rajin melaksanakan ibadah seperti solat dan lain-lain lagi. Hijabista kongsikan tip yang berguna untuk anda kekal cantik dan berseri dengan hanya mengikut apa yang digalakkan di dalam Islam.

Berwuduk

Berwuduk merupakan perkara yang akan kita lakukan sebelum bersolat. Berwuduk bermakna membasuh anggota badan mulai daripada wajah hingga kaki. Ia tidak hanya buat anda bebas dari kotoran tetapi baik untuk kecantikan kulit terutamanya wajah. Tidak hairanlah orang yang selalu berwuduk nampak lebih berseri, segar dan awet muda.

Murah Senyum

Senyum bukanlah satu perkara yang sukar, malah sangat mudah. Senyum juga termasuk dalam ibadah dan sebab itu kita sangat digalakkan untuk sentiasa senyum. Selain mendapat pahala, anda juga akan tampak lebih cantik, manis dan berseri apabila senyum hingga membuatkan anda kelihatan muda. Siapa tak nak nampak muda kan?

Hilangkan Sikap Iri Hati & Hasad Dengki

Perasaan iri hati dan hasad dengki ini tentu sahaja ada dalam diri setiap manusia. Namun, anda perlu bijak mengawalnya agar ia tidak menguasai diri. Jika anda perasan, individu yang suka mendengki ini memiliki wajah yang kusut dan kusam hingga menyebabkan mereka kelihatan lebih tua kerana jarang tersenyum. Jadi, hindari sikap iri hati agar jiwa tetap terjaga dan sentiasa damai. Apabila hati bersih, fikiran pun jadi lebih tenang.

Sayangi Anak Yatim

Dalam Islam, menyayangi anak yatim sangat digalakkan kerana ia juga merupakan salah satu cabang untuk anda ke syurga. Sebenarnya, menyayangi anak yatim akan membuatkan hati anda menjadi lebih lembut dan penuh dengan kasih sayang. Kelembutan akan terpancar melalui wajah hingga anda terlihat cantik luar dan dalam.

Solat

Solat merupakan kewajipan bagi setiap umat Islam kerana ia merupakan tiang agama. Ternyata gerakan dalam solat boleh membantu wajah anda kelihatan lebih segar dan berseri, terutamanya gerakan sujud. Ketika sujud, darah akan mengalir ke seluruh wajah dan memasuki otak sehingga tidak hanya menyihatkan, malah bermanfaat juga untuk kecantikan wajah.

Published by
Norhasliza