“Nak Tutup Sekarang Ke Atau Bila Dah Mati Nanti” – Nonny Nadhirah Bagi Pesanan Bab Tutup Aurat

Share

Tidak dinafikan hidayah Allah itu datang tanpa mengira siapa, bila dan di mana. Jika sudah ditakdirkan untuk menerima hidayah dari-Nya pastilah kita menjadi antara insan bertuah.

Seperti juga perkongsian pelakon serta penyanyi, Nonny Nadirah yang bersyukur menerima hidayah dari Allah dalam usia yang masih muda dan detik permulaan ketika menjadi tetamu-Nya awal tahun ini.

Dia menunaikan umrah di Tanah Suci dengan tujuan untuk beribadah, tetapi tidak menyangka hatinya telah dijentik oleh Allah untuk melakukan penghijrahan.

Sebaik pulang, Nonny mula berhijrah dengan memakai tudung sebagai menunaikan kewajipan menurut aurat bagi setiap wanita Muslim.

“Alhamdulillah saya diberi peluang untuk menunaikan umrah ketika itu. Dan itu adalah detik permulaan untuk mula memakai tudung. Perasaan ingin memakai tudung ini adalah dari diri saya sendiri dan bukan dipaksa oleh mana-mana pihak.

“Saya ingat lagi ketika itu mahu pergi buat satu recording untuk satu program. Dan bila habis saja tugasan di situ terus terdetik hati untuk memakai tudung. Waktu itu saya terus ambil satu selendang dan terus pakai di kepala,” ungkap Nonny menceritakan detik permulaan hijrahnya.

Balik umrah terus rasa nak berhijab

Menurut Nonny juga pada masa yang sama dia terus mengajak temannya itu untuk membeli tudung di Jalan Tunku Abdul Rahman.

“Saya terus beli 5 helai tudung bawal yang berharga RM10. Sebenarnya sebelum ini saya memang pernah pakai tudung terutama yang dituntut untuk sesi penggambaran drama. Tetapi waktu itu belum tergerak hati untuk memakai secara sempurna.

“Dan perasaan yang betul-betul saya rasa selesa untuk berhijab adalah apabila berada di Tanah Suci. Ini kerana di situ kita tahu wajib menutup aurat sepenuhnya. Dan selepas balik dari umrah saya rasa ada benda yang hilang dari atas kepala. Malah kepala rasa macam berangin saja. Kemudian barulah bermula episod saya mula memakai tudung.

“Perasaan pertama kali berhijab dengan kerelaan hati ini sukar untuk digambarkan dengan perkataan. Hanya saya dan Allah saja yang tahu. Biarlah jadi rahsia antara saya dengan Allah. Dan rasanya orang lain juga begitu. Perasaannya memang lain macam sedikit.

“Pada mulanya memang saya ada juga perasaan takut untuk berhijab ini. Maklum diri kita ini selebriti, apa yang kita buat jahat memanglah salah. Tetapi bila kita buat baik nanti akan dikatakan seperti acah-acah nak jadi baik pula. Tetapi bagi saya yang penting adalah niat berhijab itu kerana Allah,” tambah Nonny yang tidak menolak jika ada orang yang menganggap perhijrahannya itu sebagai ‘propa’.

Walau bagaimanpun sebagai hamba-Nya dia hanya meminta dipermudahkan urusan sepanjang di awal penghijrahannya ini.

“Memang orang akan beranggapan macam-macam pada kita. Tetapi sebagai hamba Allah, saya berbalik padaNya, saya minta padaNya, dipermudahkan segala urusan. Sebabnya kalau kita sedang menuju ke arah kebaikan dan berbuat baik, Allah akan mudahkan jalan kita. Malah Dia juga akan mengangkat darjat kita ke satu level yang lain.

“Saya rasa dengan berbuat baik, kita tidak perlu ada perasaaan malu. Lebih baik ada rasa malu dengan  Allah dan itulah yang saya buat. Bagi saya ketepikan saja cakap-acap orang. Bila kita asyik pikir cakap mereka, alamatnya tak akan maju ke depan la kita,” jelasnya yang memberitahu dia masih lagi Nonny Nadhirah yang dulu cuma berubah menjadi insan yang lebih baik.

Ibu insan paling gembira

Bercerita lanjut tentang penghijrahannya juga, Nonny bersyukur kerana seluruh keluarga menyambut baik keputusan untuk bertudung.

“Sudah tentu keluarga merupakan orang pertama yang saya beritahu tentang penghijrahan ini. Emak adalah insan paling gembira dengan penghijrahan saya. Saya percaya berkat doa ibu yang tidak pernah terlebih atau terkurang. Selama ini ibu tak pernah mengongkong. Dia telah jalankan tanggung jawab seorang ibu yang baik.

“Ibu tunjukkan perbuatannya. Memakai tudung, dia bersolat dan juga menegur dengan cara baik. Berkat doanya selama ini saya dibukakan hati untuk berhijab. Selepas bertudung memang tidak dinafikan ada dugaannya tersendiri.

“Maklumlah kita pertama kali berhijab dan tak reti nak belit sana belit sini. Kalau dulu zaman free hair senang tak payah gayakan sangat rambut. Bila bertudung, kita nak pastikan hijab digayakan itu kemas dan terletak di kepala.

“Untuk kemasan perlu jarum yang lebih dan pernah satu hari itu belum masuk kereta pin dah terjatuh dulu.  Momen ini akan saya ingat sampai bila-bila. Saya perhatikan macam-macam jenis gaya orang bertudung.

“Saya juga lakukan carian cara pakai hijab tanpa perlu pakai jarum yang banyak. Lama kelamaan barulah kita boleh belajar dan gayakan ikut cita rasa sendiri,” tambahnya yang suka gaya ringkas tetapi menyenangkan pergerakan.

Jadikan ibu ikon fesyen

Menurut Nonny, tidak susah sebenarnya seseorang itu untuk berhijab. Cuma pada permulaan kerana tidak tahu gayakan stail yang sesuai.

“Kita belajar perlahan-lahan dan lama-lama mesti pandai. Tak payah belit-belit sangat janji tutup kepala. Bagi saya bila masanya lagi untuk berhijab. Nanti bila mati kena tutup semua juga. Jadi tanya pada diri sendiri nak tutup sekarang atau masa mati nanti.

“Pesan saya pada mereka di luar sana, jika ada rasa terdetik sikit pun nak pakai tudung, teruskan saja niat berkenaan. Jangan berhenti sebab kita tak tahu bila lagi perasaan itu akan datang. Insya-Allah mohon pada Tuhan agar segala urusan nanti akan dipermudahkan,” jelasnya yang menjadikan ibunya sebagai ikon dalam berfesyen.

KREDIT FOTO: INSTAGRAM NONNY NADIRAH

Published by
webadmin