Pengambilan makanan berkarbohidrat dalam jumlah yang banyak dan masa makan yang tidak menentu boleh menyebabkan paras gula dalam darah tidak teratur. Nak turunkan berat badan perlu makan beras ni, penting parboiled atau kukus nasi!
Keadaan ini akan menyebabkan seseorang itu mendapat pelbagai komplikasi penyakit terutama mereka yang sudah ada penyakit dan juga mereka yang sedang dalam usaha menurunkan berat badan.
Makan nasi adalah satu kemestian bagi kebanyakan rakyat Malaysia. Pendek kata jika tidak makan nasi dalam sehari, tubuh rasa tidak bermaya dan tidak bertenaga. Namun dalam apa jua perkara, pengambilan nasi biarlah berpada-pada bukan hanya mengikut selera tekak.
Beras mempunyai kanji amylopectin dan amylose. Amylopectin adalah beratus unit glukosa yang diikat dengan ikatan alfa glukosidik pada lokasi 1->4 dan akan membentuk ranting pada setiap 25 unit glukosa dengan ikatan 1->6.
Amylopectin lebih mudah dicerna berbanding amylose kerana ia mempunyai lebih banyak ruang untuk bertindakbalas dengan enzim pencernaan kita. Amylose pula hanya diikat dengan ikatan glikosidik alfa pada lokasi 1->4 dan membentuk barisan yang panjang dan tidak bercabang. Ia lebih sukar dicerna enzim amylase.
Jadi, beras yang tinggi kandungan amylose akan mempunyai indeks glisemik yang lebih rendah. Contohnya beras basmathi mempunyai indeks glisemik lebih rendah dari beras biasa. Manakala beras tinggi amylopectin akan lebih mudah dicerna dan lebih tinggi indeks glisemik.
Proses memasak beras itu sendiri adalah proses pengelatinan kanji. Cara kita memasak beras dengan merebus sehingga air kering itu menyebabkan kanji kekal sedia ada, lebih mudah dicerna dan lebih melekit. Indeks glisemik juga lebih tinggi.
Apabila beras direbus dan air rebusan dibuang, kita membuang sebahagian kanji. Proses membasuh dengan air sejuk adalah untuk menggalakkan retrogradasi dalam proses pengelatinan kanji. Hasilnya beras lebih kenyal, lebih berbutir dan tidak melekit.
Beras parboiled dihasilkan dengan cara yang sama, iaitu merebus atau kukus dan air kanji dibuang, dan dikeringkan semula. Sebab itu rasanya tidak ‘semanis’ beras biasa dan harganya lebih mahal kerana proses tambahan ini.
Kaedah lain adalah beras dimasak dan dimasukkan dalam peti sejuk. Proses retrogradasi menjadikan beras kenyal, berbutir dan lebih sukar dicerna berbanding beras yang dimasak panas-panas makan pula dengan ikar bakar cicah air asam.
Tetapi kita harus ingat. Apa yang rendah adalah indeks glisemik iaitu kadar gula dilepaskan sama ada cepat atau lambat selepas makan. Kalau kita ambil jumlah nasi yang banyak, beban glisemik atau jumlah gula yang kita ambil tetaplah banyak.
Cara terbaik untuk mengawal berat atau gula adalah dengan mengurangkan makanan bergula dan berkanji seperti nasi, pulut, roti dan tepung. Bukan sekadar membeli beras basmathi, parboiled atau mengukus nasi.
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.
Sumber kredit: Che Puteh Osman Top image: Photo by vitchakorn from Unsplash.